Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Dakwah Masjid Alkaff kongsi panduan pantau anak dalam zaman teknologi canggih

May 23, 2025 | 5:50 AM
masjid alkaff kampung melayu, kanak-kanak, permainan dalam talian
Kanak-kanak di Masjid Alkaff Kampung Melayu mengikuti kegiatan seperti melukis yang lebih memanfaatkan kreativiti dan minda daripada bermain permainan dalam talian atau gajet. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Era digital yang sarat dengan teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI) kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia. Kehadiran pelbagai gajet dalam rumah tangga moden dilihat semakin “mengancam” nilai-nilai kekeluargaan, khususnya daripada segi interaksi dan komunikasi antara ahli keluarga.

Fenomena ini kian ketara apabila hubungan kekeluargaan mula digantikan dengan skrin, dan masa bermutu bersama semakin terhakis.

Mengulas isu ini, Ketua Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz berkata:

“Hari ini, anak berusia lima tahun sudah pandai buka dan menonton saluran YouTube. Keluarga makan semeja, tetapi sibuk dengan telefon pintar masing-masing. Dalam dunia digital hari ini, ibu bapa perlu menggunakan pendekatan yang sesuai jika ingin menerapkan agama dalam kehidupan anak-anak. Cara ibu bapa mendidik anak-anak dua puluh tahun dahulu, sudah tidak berkesan.”

Di sebalik kemajuan era digital, timbul persoalan besar: bagaimana ibu bapa dapat mengekalkan peranan rumah sebagai madrasah atau sekolah pertama bagi anak-anak? Dalam dunia hari ini, keselamatan anak-anak semakin teruji apabila mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh baik yang positif mahupun yang negatif hanya melalui skrin di tapak tangan mereka.

“Ramai kanak-kanak di Singapura menghabiskan masa yang panjang dengan gajet. Kajian oleh NTUC First Campus mendapati bahawa kanak-kanak berusia dua tahun hingga tiga tahun di Singapura menghabiskan purata 2.5 jam sehari di hadapan skrin. Ini melebihi had yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), yang mencadangkan penggunaan skrin tidak melebihi satu jam sehari bagi kanak-kanak berusia 18 bulan hingga enam tahun.

“Pendedahan berlebihan terhadap skrin boleh meningkatkan tekanan dan kegelisahan, dan mengakibatkan masalah tingkah laku serta mengurangkan kemahiran sosial kanak-kanak. Dalam jangka panjang, perkembangan emosi dan akhlak mereka mungkin terjejas jika penggunaan teknologi ini tidak dipantau,” jelas Ustaz Umar, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Islam (ROMM),

Tambahnya: “Bagaimanapun majunya zaman, rumah tetap madrasah atau sekolah pertama bagi anak-anak. Ibu bapa adalah guru utama. Anak-anak belajar melalui pemerhatian di rumah. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencoraknya.

“Rasulullah saw pernah berpesan mengenai peranan keluarga dalam mendidik, ‘Tidaklah seorang ayah memberikan pemberian kepada anaknya yang lebih baik daripada adab yang bagus’. (Hadis Riwayat Imam At-Tirmidzi)

“Jelas sekali, agama menekankan bahawa ibu bapa yang paling utama mendidik anak, membentuk peribadi dan iman mereka sebelum pengaruh luar mengambil tempat. Namun, mendidik anak pada era digital memerlukan penyesuaian pendekatan. Ibu bapa kita dahulu mengehadkan siaran televisyen atau mengawal pergaulan secara fizikal. Dalam dunia Internet tanpa sempadan ini, ia tidak lagi relevan. Ibu bapa perlu lebih proaktif, memahami teknologi serta dunia digital yang dihadapi anak-anak.”

Untuk mengekalkan rumah sebagai madrasah pertama, Ustaz Umar berkongsi tiga panduan.

Yang pertama, ibu bapa harus menjadi contoh utama kepada anak-anak seperti mengehadkan masa penggunaan gajet ketika bersama keluarga. Elakkan kerap melihat telefon sewaktu makan atau berbual dengan anak-anak. Tunjukkan kepada anak cara menggunakan teknologi yang seimbang. Ibu bapa yang mengutamakan interaksi dan ibadah berbanding skrin, anak akan terdorong untuk meniru perkara yang sama.

Kedua, wujudkan peraturan batasan waktu penggunaan jelas mengenai masa dan tempat bebas gajet di rumah. Contohnya, tiada penggunaan telefon atau tablet semasa makan, waktu belajar, atau sebelum tidur.

Ketiga, memanfaatkan teknologi secara bijak sebagai alat mendidik. Pilih kandungan digital yang positif dan Islamik untuk tontonan anak. Contohnya, kartun pendidikan tentang akhlak atau video kreatif tentang sirah Nabi. Ibu bapa yang melibatkan kegiatan digital bersama anak-anak akan membuat anak-anak rasa dihargai sebab ibu bapa turut ambil tahu minat mereka. Teknologi yang digunakan secara bijak boleh menjadi medium mengukuhkan lagi fungsi rumah sebagai tempat belajar dan berkasih sayang.

SEKILAS:

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg