Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naik taraf masjid mesra warga emas, alam sekitar

Projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal berlangsung hujung April
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Masjid Alkaff Kampung Melayu
Sebuah ruang legar di kawasan Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal ditutup untuk memudahkan kerja naik taraf. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Projek Peningkatan Masjid (MUP) bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal dimulakan tidak lama lagi. Masjid yang terletak di Bedok Reservoir Road ini telah beroperasi lebih daripada 30 tahun. Bangunan dalam masjid yang semakin tua, memerlukan peningkatan demi keselesaan dan keselamatan jemaah.

Menyentuh tentang projek menaiktaraf bangunan luaran dan dalaman masjid ini, Pengurus Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail, berkata:

“Fasa pertama projek ini akan bermula pada 28 April 2025. Ini langkah penting dalam usaha kami meningkatkan kemudahan serta persekitaran masjid demi keselesaan jemaah. Keseluruhan projek ini dijangka mengambil masa lebih kurang dua tahun. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat supaya kita dapat menguruskan operasi harian masjid sebaik mungkin sepanjang tempoh tersebut.”

Pelbagai kerja peningkatan masjid akan dijalankan dalam fasa pertama ini. Ustaz Taufiq menambah:

“Antara kerja utama yang akan dilaksanakan dalam fasa pertama ini adalah pembinaan lif baru, pemasangan panel solar, serta peningkatan kemudahan dewan serbaguna, bilik darjah, tandas dan tempat berwuduk. Ini adalah antara keperluan asas yang telah kami kenal pasti untuk dibaiki bagi kemudahan semua jemaah masjid.”

Masjid Alkaff Kampung Melayu serta Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut prihatin dan mahu menjadikan bangunan masjid yang mesra alam. Sehubungan itu, langkah utama yang diambil ialah pemasangan sistem panel solar.

Kata Ustaz Taufiq:

“Ini adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Masjid Alkaff Kampung Melayu sebagai bangunan green building, atau bangunan mesra alam. Kami ingin melangkah ke arah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan dilestarikan, atau renewable and sustainable energy, sejajar dengan prinsip penjagaan alam sekitar dalam Islam. Ini mencerminkan usaha kami untuk mengurangkan kos jangka panjang melalui penjimatan tenaga, di samping menerapkan teknologi hijau yang inovatif dalam reka bentuk bangunan masjid.”

Dalam tempoh kerja naik taraf ini dijalankan, langkah-langkah tertentu diambil untuk menguruskan keadaan dan persekitaran masjid yang terjejas.

Jelas Ustaz Taufiq:

“Persekitaran kawasan yang terlibat dalam fasa pertama akan ditandai sebagai kawasan larangan demi keselamatan semua. Jemaah tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan tersebut. Sebahagian dewan solat akan ditutup buat sementara waktu. Ini menjadikan ruang terhad untuk pelbagai kegiatan ibadah khususnya solat Jumaat dan solat Hari Raya. Sesi kuliah yang biasanya dijalankan di Dewan Serbaguna juga akan dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu.”

Dengan sekatan sementara yang didirikan, pihak masjid memohon kerjasama dan kesabaran jemaah. Demi keselamatan dan keselesaan semua, diharap jemaah mematuhi laluan yang telah ditetapkan dan menuruti arahan petugas serta papan tanda yang disediakan.

Biaya keseluruhan projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu ialah sekitar $15 juta. Namun, usaha pengumpulan dana masih gigih dijalankan.

“Anggaran kos keseluruhan projek ini sekitar $15 juta. Setakat ini, alhamdulillah, kami telah berjaya mengumpul sekitar $7 juta.

“Masjid Alkaff Kampung Melayu masih memerlukan lebih kurang $8 juta lagi. Kami mengalu-alukan sokongan dan sumbangan daripada masyarakat agar projek naik taraf ini berjaya disempurnakan sepenuhnya demi kebaikan bersama. Insya-Allah,” tambah Ustaz Taufiq.

DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ , nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.

* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 0242-7244 untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg