Dedikasi dua individu ini dalam berkhidmat untuk memastikan Singapura selamat mendapat pengiktirafan semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan Home Team yang diadakan pada 29 Julai di Akademi Home Team. Dua individu ini merupakan antara 103 pegawai Pasukan Home Team yang menerima anugerah di majlis tersebut. Berita Harian melaporkan.

Hampir 15 tahun lalu, Encik Abdul Ahalid Hasmuni, terpaksa membatalkan janji temu makan malam dengan isterinya di Pusat Penjaja Adam Road pada saat-saat akhir.

Beliau yang pada ketika itu berusia 41 tahun dan bertugas sebagai Pegawai Bertanggungjawab bagi Unit Penyelenggaraan di bawah Pasukan Home Team telah dikerah untuk kembali bertugas, apabila satu kebakaran besar berlaku di Pulau Bukom pada September 2011.

Tugas harian Encik Ahalid, antara lain, adalah memastikan kapal-kapal Home Team sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk operasi, termasuk mengisi semula bahan api, menjalankan pemeriksaan dan mengembalikannya ke laut secepat mungkin.

Pada malam September 2011 itu, beliau dan pasukannya diarah memberi sokongan kepada armada marin Home Team yang dikerah menyertai operasi yang berlangsung hampir 32 jam itu.

Operasi itu kini disifatkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai antara kebakaran paling rumit dan mencabar untuk dikawal, dengan lebih 13 lori bomba dan 21 kenderaan sokongan dikerahkan.

Pengalaman itu kekal sebagai antara detik paling mencabar sepanjang hampir 25 tahun berkhidmat di Home Team, kata Encik Ahalid, semasa ditemui Berita Harian (BH).

Kini, selaku Timbalan Pengarah bagi Sistem Platform di Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX), beliau mengetuai hampir 100 jurutera dan teknisyen yang memastikan armada marin Home Team sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk beroperasi.

Encik Ahalid, menyifatkan kerjayanya sebagai satu perjalanan penuh cabaran dan peluang.

Beliau mengakui sentiasa bersedia menghadapi sebarang keadaan.

Satu cara ialah dengan terus belajar untuk mempertingkat dirinya.

Beliau menyertai Home Team berbekalkan diploma dalam Teknologi Pengeluaran, tetapi kini memiliki ijazah dalam Pengurusan Kejuruteraan dari Universiti Western Sydney.

“Antara titik perubahan terbesar dalam kerjaya saya adalah apabila saya mula diberi tanggungjawab yang lebih besar dan memikul peranan kepimpinan.

“Ketika itu, cara saya berfikir turut berubah.

“Saya bukan lagi diharap untuk menyelesaikan masalah kejuruteraan sendiri, bahkan juga memimpin dan membimbing orang lain supaya mereka turut berjaya.

“Maka, apabila melihat semula kelayakan diploma saya, saya sedar ia agak khusus kepada bidang tertentu.

“Sebab itu saya ingin meningkatkan kemahiran saya agar dapat membangunkan tenaga kerja dan memastikan pegawai Home Team terus bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” kata beliau.

Encik Ahalid merupakan antara 103 pegawai Home Team yang diiktiraf atas kecekapan mereka dalam Majlis Memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team pada 29 Julai.

Sumbangan seramai 17 lagi sukarelawan Home Team, sembilan pertubuhan, tiga projek berpasukan serta 23 orang awam turut diiktiraf semasa majlis tahunan itu yang dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, selaku tetamu kehormat.

Encik Ahalid menerima Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri (Individu) dalam majlis tersebut.

Encik Ahalid menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai satu penghargaan kepada komitmen pasukannya dalam memastikan aset-aset marin sentiasa bersedia dan terus berkembang seiring peredaran zaman.

“Apabila orang ramai melihat sebuah kapal Home Team bertindak dalam sesuatu insiden, perhatian mereka lazimnya tertumpu kepada para pegawai yang berada di atas kapal.

“Namun, di sebalik setiap misi yang berjaya, terdapat sekumpulan jurutera yang bekerja tanpa mengenal penat di sebalik tabir, bagi memastikan kapal tersebut selamat, boleh dipercayai dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas.

Malah, beliau berbangga dengan pendekatan penyenggaraan armada kini jauh lebih canggih berbanding ketika beliau mula menyertai Home Team pada 2001.

Ini disebabkan teknologi yang membantu mempercepatkan proses pengumpulan dan analisis data untuk mengesan petanda awal kerosakan sebelum menjejas operasi.

“Dahulu, kami lebih bergantung kepada penyenggaraan berkala dan hanya bertindak apabila mesin menunjukkan tanda-tanda kerosakan.

“Namun, kami kini menggunakan data untuk meramalkan potensi kerosakan lebih awal dan merancang penyenggaraan dengan lebih tepat.

“Matlamatnya bukan lagi sekadar menyenggara kapal, bahkan meningkatkan kebolehpercayaan dan ketersediaan armada melalui pendekatan kejuruteraan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Apabila ditanya mengenai harapannya dalam tempoh lima tahun akan datang, Encik Ahalid berharap dapat terus menyumbang kepada HTX, di samping membimbing generasi jurutera seterusnya dalam menerajui bidang kejuruteraan marin.

“Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan apa yang ada pada hari ini.

“Kita perlu sentiasa belajar, melupakan perkara yang tidak lagi relevan dan mempelajari semula perkara baharu.

“Saya berharap dapat terus menyumbang dan melihat generasi jurutera seterusnya membawa keupayaan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

*Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.

“Saya bukan lagi diharap untuk menyelesaikan masalah kejuruteraan sendiri, bahkan juga memimpin dan membimbing orang lain supaya mereka turut berjaya. Maka, apabila melihat semula kelayakan diploma saya, saya sedar ia agak khusus kepada bidang tertentu. Sebab itu saya ingin meningkatkan kemahiran saya agar dapat membangunkan tenaga kerja dan memastikan pegawai Home Team terus bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.”
Encik Abdul Ahalid Hasmuni.