Orang ramai boleh bantu meringankan penderitaan mereka yang memerlukan di Gaza, Palestin.
Mulai 20 hingga 26 September 2024, sumbangan boleh disalurkan melalui kotak derma yang diletakkan di masjid seluruh Singapura, menurut satu hantaran Facebook oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) pada 20 September.
“Kami berterima kasih atas kemurahan hati masyarakat serta masjid-masjid di seluruh Singapura atas sokongan mereka dalam usaha untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan di Gaza,” kata RLAF.
Dinamakan ‘Bantuan Kemanusiaan untuk Gaza 2024’, atau Humanitarian Aid for Gaza 2024, kempen yang akan berlangsung hingga 13 Disember itu juga menerima sumbangan dalam talian.
Menurut satu laporan Berita Harian (BH), ia adalah julung-julung kalinya RLAF bekerjasama dengan beberapa pertubuhan untuk melancarkan satu daya usaha pengumpulan dana bagi menawarkan bahan bantuan kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas ekoran krisis di Gaza.
Daya usaha itu dikendali bersama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), serta badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM).
Dalam satu hantaran di Facebook pada 20 September, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi bahawa beliau gembira dengan perkembangan RLAF dalam mengusahakan inisiatif mengumpul dana untuk Gaza.
“Saya amat gembira rancangan RLAF melancarkan satu lagi kempen mengumpul dana untuk Gaza telah membuahkan hasil.
“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menghantar bekalan kesihatan, keperluan pendidikan dan perubatan.
“Sejajar dengan usaha ini, kempen pengumpulan dana ini akan menggembleng tenaga orang ramai di Singapura untuk membungkus bekalan dan terlibat dalam pungutan dana daripada orang awam,” kata beliau.
Dalam hantaran Facebook itu, beliau mengesyorkan agar Singapura terus bekerja rapat dengan semua rakan kongsi dalam usaha menghulur bantuan kemanusiaan di Gaza.
Pada 4 September, Encik Masagos telah menyaksikan satu penyerahan sekeping cek simbolik bernilai AS$854,000 ($1.1 juta dolar) dari RLAF kepada Unicef bagi membantu warga di Gaza.
Ini sedang beliau melakukan lawatan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan dari 1 hingga 5 September.
Cek tersebut diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, kepada Timbalan Pengarah Wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara Unicef, Encik Marc Rubin, di Amman, Jordan.
Keterangan lanjut untuk menghulurkan sumbangan bagi kempen RLAF/Unicef/JHCO/Humanity Matters boleh didapatkan dengan melungsuri laman web www.rlafoundation.org.sg/. – SYED MUHAMMAD FIRDAUS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg