Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF lancar kempen kumpul dana bagi mangsa di Gaza

Sep 18, 2024 | 6:15 PM
Seramai 1.9 juta orang di Gaza dianggar kehilangan tempat tinggal, dengan seramai 1.7 juta daripada bilangan itu terperangkap dalam sebuah kawasan yang hanya seluas 48 kilometer persegi.
Seramai 1.9 juta orang di Gaza dianggar kehilangan tempat tinggal, dengan seramai 1.7 juta daripada bilangan itu terperangkap dalam sebuah kawasan yang hanya seluas 48 kilometer persegi. - Foto EPA-EFE

Buat julung-julung kalinya, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan untuk melancarkan satu daya usaha pengumpulan dana bagi menawarkan bahan bantuan kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas ekoran krisis di Gaza.

Dalam satu kenyataan pada 18 September, RLAF berkata, daya usaha yang dikendali bersama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), serta badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM), akan berlangsung hingga 13 Disember.

Matlamatnya adalah untuk menghantar bekalan bahan bantuan kesihatan, kemanusiaan, perubatan, dan pembelajaran kepada mangsa yang terjejas.

RLAF dalam kenyataannya berkata dianggarkan seramai 1.9 juta mangsa di Gaza kehilangan tempat tinggal ekoran ketegangan berterusan di wilayah itu, dengan seramai 1.7 juta daripada bilangan tersebut terperangkap dalam sebuah kawasan hanya seluas 48 kilometer persegi.

“Kesesakan yang teruk ini bakal mendatangkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada kanak-kanak, lantas meningkatkan pendedahan mereka kepada penyakit berjangkit dan memburukkan lagi cabaran yang dihadapi keluarga mereka,” kata RLAF.

Kemudahan sanitasi serta akses kepada air jernih yang berkurangan turut memburukkan lagi keadaan mangsa, tambah kenyataan itu.

Menurut RLAF, tinjauan terkini mendedahkan sekitar 194,190 kanak-kanak di Gaza mengalami pemakanan yang berkurangan, dan ramai antara mereka memerlukan rawatan.

Khidmat pendidikan di wilayah tersebut turut disekat dengan hampir 524 sekolah dilaporkan rosak atau musnah.

Ini merupakan kempen pengumpulan dana yang ketiga bagi RLAF.

Sebelum ini, RLAF telah mengumpul lebih $10 juta bagi mangsa konflik di Gaza dalam dua usaha pengumpulan dana berasingan pada lewat 2023 dan Ramadan lalu.

Orang ramai boleh menderma menerusi beberapa wadah termasuk platform dalam talian, serta usaha pengumpulan dana di jalanan serta masjid.

Derma secara dalam talian boleh dibuat menerusi kaedah PayNow, laman GivePlease dan Giving.sg.

RLAF berkata, dana yang dikumpul itu akan disalurkan kepada rakan kerjasama Unicef, JHCO, dan Humanity Matters dan akan digunakan untuk mendapatkan bahan kritikal seperti makanan, air, bahan perubatan dan sanitasi bagi mangsa yang terjejas.

Sementara itu, RLAF turut menggalak orang ramai supaya melibatkan diri dalam urusan pembungkusan bahan-bahan tersebut serta menyertai daya usaha pengumpulan dana di jalanan.

Butiran kegiatan tersebut bakal disebarkan dalam beberapa minggu mendatang.

“Kami ingin meluahkan simpati kepada mangsa-mangsa yang tidak bersalah dalam krisis kemanusiaan ini dan keluarga mereka,” tambah RLAF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg