Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Pertahanan FPDA ikrar pakatan kekal relevan

May 30, 2025 | 5:03 PM
FPDA, FDCC
Ketua-ketua pertahanan negara anggota Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) – (dari kiri) Laksamana David Johnston dari Australia; Jeneral Mohd Nizam Jaffar dari Malaysia; Laksamana Madya Aaron Beng dari Singapura; Marsyal Udara Tony Davies dari New Zealand; dan Laksamana Tony Radakin dari Britain – bergambar di Persidangan Panglima Pertahanan FPDA (FDCC) ke-23 di Hotel Conrad Orchard pada 29 Mei. - Foto ZAOBAO

Ketua-ketua pertahanan Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan Britain menegaskan semula komitmen negara masing-masing untuk memastikan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) kekal relevan serta dapat menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau.

Mereka menegaskan kepentingan mengekalkan rentak latihan berkala pakatan tersebut dan meningkatkan keupayaan ketenteraan untuk beroperasi secara lancar bersama. 

Selain itu, mereka turut meneliti cara menangani ancaman keselamatan baru, termasuk terhadap prasarana dasar laut di Asia seperti kabel kuasa dan data.

Demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat pada 29 Mei.

Berucap kepada wartawan The Straits Times (ST) selepas Persidangan Panglima Pertahanan FPDA (FDCC) ke-23 di Hotel Conrad Orchard, Panglima Pasukan Pertahanan Singapura, Laksamana Madya Aaron Beng, berkata kelima-lima negara telah membincangkan untuk memberi tumpuan tambahan kepada bidang ancaman yang “sangat pesat berkembang” itu, memandangkan Asia mempunyai jumlah prasarana dasar laut yang besar.

Ketua-ketua pertahanan turut ditanya sama ada perlindungan prasarana tersebut menjadi keutamaan, memandangkan Singapura dan Malaysia merancang untuk menjadi hab prasarana digital seperti pusat data.

“Seperti yang sentiasa dilakukan FPDA sebelum ini, kami akan terus meneliti ancaman baru, tahap keupayaan negara anggota, kebimbangan bersama dan menyesuaikan kegiatan kami mengikut keperluan,” kata Laksamana Madya Beng.

FPDA mula ditubuhkan pada 1971 untuk menjaga pertahanan luar Singapura dan Malaysia, selepas pengunduran tentera British dari Singapura.

Persidangan FDCC berfungsi sebagai forum ketenteraan profesional tertinggi bagi FPDA.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas FDCC, kelima-lima ketua pertahanan menegaskan latihan konvensional akan kekal sebagai teras kerjasama FPDA.

Ia membantu meningkatkan keupayaan operasi bersama antara angkatan tentera negara anggota di samping mengukuhkan hubungan pelbagai hala.

FPDA kekal relevan dengan menyesuaikan diri kepada cabaran keselamatan semasa, di mana latihannya merangkumi unsur seperti keselamatan maritim, menentang pengganasan, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, sebagai pelengkap kepada siri latihan konvensional berskala besar yang dijalankan secara berkala, tambah kenyataan itu.

Siri latihan merujuk kepada kegiatan atau pergerakan khusus yang dirancang semasa latihan ketenteraan.

Dalam sidang media, Ketua Staf Pertahanan Britain, Laksamana Tony Radakin, dan rakan sejawatnya dari Australia, Laksamana David Johnston, sepakat bahawa sepanjang 54 tahun penubuhannya, peranan FPDA kini lebih relevan berbanding sebelum ini.

Mengenai usaha mengekalkan kerelevanan FPDA, ketua-ketua pertahanan menekankan bagaimana latihan bersama yang dianjurkan telah berkembang dengan merangkumi keupayaan siber dan teknologi tanpa pemandu dalam kalangan angkatan tentera, serta iltizam pakatan itu untuk terus meneliti ancaman yang bakal muncul.

Dalam kenyataan bersama, FPDA berkata penyertaan keupayaan generasi baru dalam latihan pelbagai hala oleh negara anggota mencerminkan “perpaduan dan kekuatan” pakatan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg