Seorang pegawai kanan polis dari Malaysia telah dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang kerana memainkan peranan aktif dan penting dalam meningkatkan hubungan kukuh antara Cawangan Khas Malaysia (MSB) dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura.
Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Sri Mohd Khalid Ismail, dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Upacara penyampaian anugerah tersebut diadakan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada pagi 18 Ogos, dan turut disambut oleh tetamu daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan pegawai MHA.
Menurut kenyataan media oleh ISD pada 18 Ogos, Datuk Mohd Khalid telah dilantik sebagai Pengarah MSB dalam PDRM pada 10 April 2023.
Selepas memegang jawatan Pengarah MSB itu selama dua tahun, beliau seterusnya mengambil jawatan Ketua Polis PDRM pada 23 Jun 2025.
Beliau memulakan kerjayanya di PDRM pada 1987 dan telah melalui pelbagai pangkat untuk mencapai jawatannya kini.
Datuk Mohd Khalid dianugerahkan pingat tersebut sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan profesional antara MSB dengan ISD semasa beliau memegang jawatan Pengarah MSB.
Ia juga mengiktiraf sumbangan signifikan beliau dalam meningkatkan tahap keselamatan di Malaysia, Singapura dan wilayah ini.
Menurut ISD, Datuk Mohd Khalid memainkan peranan penting dan aktif dalam membantu ISD dan MSB menjalin hubungan dua hala yang kukuh, pertukaran maklumat risikan dan kerjasama yang meluas, khususnya dalam usaha memerangi keganasan.
Kerjasama rapat antara kededua agensi itu penting dalam mengekang kegiatan yang menyokong ideologi kumpulan pengganas, pro-negara ISIS, serta pengganas lain yang membahayakan rantau ini.
Encik Shanmugam mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mohd Khalid atas kepimpinan beliau yang bijaksana, dalam sebuah hantaran Facebook pada tengah hari 18 Ogos.
“Hubungan erat yang berterusan antara MSB dengan ISD membuktikan komitmen beliau untuk terus bekerjasama dengan Singapura dalam mencapai kepentingan keselamatan bersama.
“Kerja keras dan usaha tanpa jemu daripada beberapa generasi pegawai MSB dan ISD telah menjamin keselamatan Singapura, Malaysia dan rantau ini selama ini,” tambah Encik Shanmugam.
“
“Hubungan erat yang berterusan antara MSB (Cawangan Khas Malaysia) dengan ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) membuktikan komitmen beliau untuk terus bekerjasama dengan Singapura dalam mencapai kepentingan keselamatan bersama. Kerja keras dan usaha tanpa jemu daripada beberapa generasi pegawai MSB dan ISD telah menjamin keselamatan Singapura, Malaysia dan rantau ini selama ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg