Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kg Gelam, Geylang Serai lebih moden tapi kekal ciri Melayu

Nov 10, 2024 | 2:31 PM
Taman Warisan Melayu, yang kini ditutup bagi kerja pembangunan semula, akan menampilkan galeri baru, program dipertingkat, dan menawarkan pengalaman pengunjung yang lebih baik apabila ia dibuka semula dalam jangkaan dua tahun lagi (2026).
Taman Warisan Melayu, yang kini ditutup bagi kerja pembangunan semula, akan menampilkan galeri baru, program dipertingkat, dan menawarkan pengalaman pengunjung yang lebih baik apabila ia dibuka semula dalam jangkaan dua tahun lagi (2026). - Foto fail

Kawasan kebudayaan Kampong Gelam dan Geylang Serai akan diperbaharui, dengan beberapa rancangan menarik kini sedang dijalankan untuk menyokong kawasan tersebut menjadi moden dan progresif, namun masih mengekalkan budaya dan tradisi unik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Forum M Kuasa Tiga (M³) pada 10 November.

Encik Wong membentangkan beberapa rancangan menarik di dua kawasan itu, termasuk pembangunan semula Taman Warisan Melayu (TWM) di Kampong Gelam dan pemulihan Masjid Sultan, serta peningkatan Tanjong Katong Complex (TKC) di Geylang Serai.

Beliau berkata kedua-dua Kampong Gelam dan Geylang Serai adalah kawasan dengan kepentingan istimewa buat masyarakat Melayu Singapura.

“Kami akan bekerja rapat dengan masyarakat memperbaharui kawasan tersebut, dan menjadikan ia moden dan bertenaga, sementara memastikan ia mengekalkan ciri-cirinya yang unik dan tersendiri,” kata beliau.

Forum M³, diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio dan meraikan ulang tahun kelima rangkaian tiga institusi utama – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

Encik Wong berkata pemerintah akan perbaharui kawasan kebudayaan, bermula dengan Kampung Gelam di mana terletaknya TWM.

TWM, yang kini ditutup bagi kerja pembangunan semula, akan menampilkan galeri baru, program dipertingkat, dan menawarkan pengalaman pengunjung yang lebih baik apabila ia dibuka semula, dalam jangkaan masa dua tahun (2026).

Ini supaya ia dapat berkongsi kisah unik orang Melayu Singapura dan sumbangan penting mereka kepada negara dengan lebih baik.

“Pusat ini menjadi batu asas kawasan bersejarah Kampong Gelam, yang menceritakan kisah-kisah yang kaya dengan sejarah dan budaya masyarakat Melayu,” ujarnya lagi.

Sebutir lagi permata kawasan itu, Masjid Sultan, juga sedang menjalani kerja pemulihan untuk memberi nafas baru kepada rumah ibadat itu demi memelihara kedudukan dan kepentingannya.

“Masjid ini baru menyambut ulang tahunnya yang ke-200. Ia simbol kepercayaan masyarakat Islam, dan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pemahaman antara masyarakat berbeza,” kata Encik Wong.

Di Geylang Serai pula, Encik Wong berkata Gerbang Ikonik di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai baru sahaja dilancarkan dua bulan lalu (7 September), dan adalah sebahagian pembangunan Jalur Budaya Geylang Serai.

Di bahagian barat jalur budaya itu, pusat beli-belah TKC kini sedang menjalani kerja-kerja peningkatan untuk diberi nafas baru dan akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 2029.

Pada 18 Oktober lalu, Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah mengumumkan pelancaran penjualan TKC melalui tender Konsep dan Hasil Harga dengan tempoh pajakan 30 tahun.

“Apabila dibuka semula pada 2029, TKC akan menjadi satu lagi nod utama bagi masyarakat Melayu/Islam, di samping Wisma Geylang Serai; dan ia akan juga menjadi destinasi bertenaga bagi rakyat Singapura,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg