Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif (DCE) kedua Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada April 2023, kini disenaraikan dalam Direktori Pemerintah Singapura (SGDI) sebagai Pengarah (Dilantik) Pusat Kenderaan Elektrik Nasional di bawah Kumpulan Pembangunan Teknologi dan Industri, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Semakan oleh Berita Harian (BH) turut mendapati nama dan profil Encik Khairul Anwar tidak lagi dipaparkan di laman web Pengurusan Kanan Muis sejak Mei 2026, yang sebelum ini menyenaraikan beliau sebagai DCE.

Sebelum peranannya di Muis, beliau menghabiskan masa selama 14 tahun dalam jawatan teknikal dan kepimpinan di Enterprise Singapore (dulu International Enterprise Singapore).

Beliau memantau rancangan internalisasi Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di Timur Tengah dan Afrika, bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa dan pemerintah asing berkaitan projek pembangunan kolaborasi prasarana Singapura, dan menjadi pengarah bagi Asia Tenggara.

Beliau juga pernah dipinjamkan ke Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), di mana beliau menguruskan pelan induk bagi Daerah Tasik Jurong.

Setakat ini, Muis belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai perubahan pada senarai pengurusan kanannya mahupun jawatan DCE.