Beberapa perkhidmatan bas akan melangkau perhentian bas pada 11 dan 12 September akibat penutupan jalan raya.
Perkhidmatan bas yang akan terjejas ialah 24, 27, 53, 151 and 195, menurut SBS Transit pada 10 September.
Mulai 11 pagi hingga 4 petang, perkhidmatan bas 24, 27 dan 53 akan melangkau perhentian bas di Airport Boulevard selepas Terminal 2, Lapangan Terbang Changi. Begitu juga bagi perkhidmatan bas 858 Tower Transit.
Pada 12 September, perkhidmatan bas 151 akan dilencongkan ke laluan alternatif dan melangkau lapan perhentian bas di Kent Ridge Crescent untuk memberi laluan kepada acara di Pusat Budaya Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Lencongan itu akan bermula dari awal bas mula beroperasi hingga 8 malam.
Dalam acara yang sama, perkhidmatan bas 96 Tower Transit akan melangkau perhentian bas NUS Raffles Hall di Kent Ridge Crescent.
Perkhidmatan 96A akan beroperasi sewaktu tempoh sibuk pagi hari bekerja dan ditamatkan di perhentian bas berhadapan Yusof Ishak House.
Perkhidmatan 96B tidak akan berhenti di perhentian ini semasa tempoh sibuk petang hari bekerja.
Ia akan dilencongkan ke pusat tukaran bas Clementi dan akan beroperasi dari perhentian bas sebelum Architecture Drive.
Bagi memberi laluan kepada acara di Bangunan Parlimen, perkhidmatan bas 195 akan melangkau perhentian bas di Parliament Place, berhadapan dengan Mahkamah Agung.
Paus (Pope) Francis, 87 tahun, akan membuat lawatan pertamanya ke Singapura mulai 11 hingga 13 September.
Ini merupakan pusingan terakhir perjalanan 12 harinya, termasuk lawatan ke Indonesia, Papua New Guinea dan Timor-Leste.
Beliau akan menyambut sekitar 50,000 penganut Roman Katolik di Stadium Negara dan bertemu pemimpin Singapura di samping memberi ucapan dan mengadakan sesi dialog antara agama dengan golongan muda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg