Ketika Encik Mohamed Fareez Mohamed Fahmy mula bekerja sebagai pekerja sosial bersama Pusat Khidmat Keluarga Ang Mo Kio pada 2006, antara tanggungjawabnya dahulu adalah untuk bekerja rapat dan melalui perjalanan bersama individu dan keluarga susah.
Tugas hariannya termasuk menjalankan lawatan ke rumah, membuat penilaian kes, menyediakan perancangan penjagaan dan menjalin hubungan yang kukuh dengan individu, keluarga dan rakan kongsi di dalam masyarakat.
Pada waktu itu, beliau berusia 24 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian dan meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Kerja Sosial dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Tidak terlintas pada ketika itu bahawa beliau akan berkhidmat lama dalam organisasi tersebut, dan diberi peluang menaiki tangga kerjaya ke peringkat pengurusan kanan.
Kini, hampir dua dekad kemudian, Encik Fareez, 43 tahun, terharu diberi peluang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi perkhidmatan sosial itu, yang kini dikenali sebagai Allkin Singapore.
Encik Fareez memberitahu Berita Harian (BH), beliau bersyukur mempunyai mentor yang telah memberi kepercayaan dan memberinya peluang berkembang dalam kerjaya.
“Saya tidak pernah membayangkan menjadi CEO.
“Saya menyertai (syarikat) sebagai lulusan kerja sosial yang baru dan bercita-cita menjadi pekerja sosial klinikal, dengan kepakaran dalam mengendalikan kes dan kaunseling.
“Tetapi lama-kelamaan, saya sedar bahawa kepimpinan memainkan peranan penting dalam membentuk program yang memberi impak, memacu perubahan sistem dan menyokong mereka yang berada di pinggir masyarakat,” kata Encik Fareez.
Sebagai CEO, beliau bertanggungjawab menerajui kepimpinan strategik dan eksekutif merentasi pelbagai bidang.
Ia termasuk dalam perkhidmatan keluarga, pembangunan kanak-kanak dan belia, penjagaan warga emas, kesihatan mental dan penyepaduan semula masyarakat.
Sebelum ini, beliau telah menggalas beberapa peranan kepimpinan termasuk sebagai Ketua Pusat di Pusat Khidmat Keluarga Cheng San; Timbalan Pengarah, dan juga sebagai Pengarah Divisyen sepanjang kerjayanya di Allkin Singapore.
Ditanya bagaimana peranannya berubah sejak beliau bermula 19 tahun lalu, Encik Fareez berkata prinsip teras kerja sosial seperti mendengar secara mendalam, kerjasama, amalan berasaskan kekuatan dan pemikiran sistem kekal sama.
Beliau, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia 20 dan 12 tahun, berkata beliau bersyukur dapat bekerja rapat dengan karyawan yang berfikiran serupa dan bersemangat sepertinya.
“Kesinambungan tujuan, perhubungan dan nilai yang dikongsi bersama adalah sebab utama mengapa saya kekal dengan syarikat ini.
“Sebagai pekerja sosial, saya melalui perjalanan bersama individu dan keluarga.
“Kini, sebagai CEO, saya berjalan bersama masyarakat, kakitangan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan.
“Skalanya telah berkembang, daripada kerja secara langsung hingga kini mengawasi visi organisasi, landskap dasar yang menarik, dan membina budaya di mana kerja yang baik berkembang maju,” kata Encik Fareez yang dilantik sebagai CEO pada Jun.
Membesar dengan seorang abang dan seorang ibu tunggal, yang kini menghidap penyakit Alzheimer, Encik Fareez berkata pengalaman tersebut telah memberi kesan yang mendalam terhadap pemahamannya tentang isu penuaan.
Ia juga telah memberikan beliau kesedaran tentang keperluan kritikal bagi penjagaan warga emas berasaskan masyarakat dan sokongan penjaga.
Menurut Encik Fareez, pengalaman itu turut mengingatkannya tentang peranan penting Allkin Singapore dalam menyokong keluarga memerlukan, dan membina sistem penjagaan berdaya tahan bagi golongan mudah terjejas.
Atas perkhidmatan, kepimpinan dan sumbangan beliau kepada sektor perkhidmatan sosial, Encik Fareez, menerima Anugerah Cemerlang untuk Karyawan Perkhidmatan Sosial oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 2 Julai.
Beliau adalah antara 13 individu dan dua pasukan yang menerima Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial semasa acara yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, sempena Sidang Puncak Perkhidmatan Sosial anjuran Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).
Anugerah Cemerlang itu mengiktiraf karyawan perkhidmatan sosial yang mempunyai pengalaman lebih lapan tahun dan telah memberi khidmat cemerlang, menunjukkan keupayaan kepimpinan kukuh dan meninggalkan kesan ke atas kehidupan pelanggan atau masyarakat.
Encik Fareez juga merupakan penerima Anugerah Pekerja Sosial Harapan pada 2011 dan Anugerah Perkhidmatan Sosial Perdana Menteri pada 2012, yang mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangan besar beliau dalam bidang kerja sosial.
Seorang penyokong kuat terapi naratif dan pendekatan berasaskan masyarakat, Encik Fareez percaya perubahan yang mampan bermula daripada dialog dan pemilikan bersama – falsafah yang telah membentuk gaya kepimpinan dan kerjayanya.
“Bagi saya, kepimpinan bererti mendengar dahulu, kemudian bertanya soalan yang bermakna supaya kita boleh membentuk hala tuju dan penyelesaian secara kolektif,” ujar Encik Fareez.
Berkongsi pengalaman berharga yang telah membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin yang lebih prihatin, Encik Fareez memetik kisah tentang interaksinya dengan sekumpulan ibu tunggal yang tinggal di flat sewa awam.
Apabila kumpulan tersebut diajar tentang cara menggunakan masa rehat atau ‘time-out’ untuk menguruskan tingkah laku anak-anak, seorang ibu, yang mempunyai tujuh orang anak bertanya bagaimana beliau boleh menggunakan ‘nasihat’ tersebut jika keluarga sepertinya tinggal di flat satu bilik.
“Itu sesuatu pengalaman yang merendahkan hati saya.
“Ia menunjukkan kepada saya bahawa walaupun istilah psikopendidikan itu penting, campur tangan mestilah dengan cara yang relevan, hormat dan dicipta bersama, dan bukannya melakarkan strategi yang tidak sesuai dengan realiti mereka.
“Kami menukar strategi kami. Kami mendengar strategi keibubapaan daripada golongan ibu itu sendiri yang sedang berdepan dengan kesusahan, dan menyusun kisah mereka ke dalam buku panduan,” kata Encik Fareez.
“
“Saya tidak pernah membayangkan menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif). Saya menyertai (organisasi) sebagai lulusan kerja sosial yang baru dan bercita-cita menjadi pekerja sosial klinikal, dengan kepakaran dalam mengendalikan kes dan kaunseling. Tetapi lama-kelamaan, saya sedar bahawa kepimpinan memainkan peranan penting dalam membentuk program yang memberi impak, memacu perubahan sistem dan menyokong mereka yang berada di pinggir masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg