Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan khidmat sosial main peranan penting walau guna teknologi, AI

Masagos: Tidak boleh asingkan sentuhan manusiawi daripada kerjaya khidmat sosial
Jul 9, 2025 | 5:30 PM
Open Mic Day, Duta Tribe, MSF, NCSS
Antara ‘Duta Tribe’ yang membentangkan idea mereka (dari kiri) Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), Cik Lorraine Lim; Pengarah Eksekutif, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Sugyanto Suryono; bersama Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di acara ‘Open Mic Day’ di The Pod@Perpustakaan Negara (NLB). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Peranan karyawan perkhidmatan sosial kekal penting walaupun Singapura akan memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan industri tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Kita tidak boleh mengasingkan sentuhan manusia daripada kerjaya khidmat sosial. Saya percaya setiap individu ada hati, minda dan perasaan.

“Objektif menggunakan teknologi hanya dengan tujuan kecekapan dan bukan untuk menggantikan para karyawan. Ia tidak boleh menggantikan rasa empati yang ada pada diri anda,” katanya. 

Encik Masagos berkata demikian semasa berucap pada acara, Open Mic Day, pada 9 Julai.

Acara itu merupakan sebahagian daripada program, ‘Duta Tribe’, anjuran Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Turut hadir ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming. 

‘Duta Tribe’ merujuk kepada karyawan perkhidmatan sosial daripada pelbagai latar belakang yang dipilih untuk membantu membina masyarakat ihsan.

Program itu bertujuan meningkatkan kemahiran karyawan supaya mereka boleh terus menyokong usaha perkhidmatan sosial sambil memupuk rasa bangga dalam diri mereka. 

Encik Masagos turut gembira melihat ramai karyawan perkhidmatan sosial tampil sebagai ‘Duta Tribe’.

Selain menjadi suara yang memberi inspirasi kepada anak muda yang ingin menceburi bidang itu, ‘Duta Tribe’ turut menggalak masyarakat umum bertindak dengan rasa empati.  

Selain itu, ‘Duta Tribe’ juga menjadi sumber kekuatan dan harapan kepada klien mereka. 

Dilancar pada Februari, program itu memberi peluang kepada karyawan mempelajari kemahiran menghasilkan kandungan daripada pakar media termasuk Publicis Groupe, TikTok, LinkedIn, Singapore Media Academy, podcast Yah Lah BUT dan wadah terapi yang bergerak aktif di media sosial, Goodity.co.

Di acara yang diadakan di The Pod@Perpustakaan Negara (NLB), 36 ‘Duta Tribe’ daripada 31 agensi perkhidmatan sosial berkongsi idea kandungan yang dapat meningkatkan kesedaran mengenai kerjaya dalam bidang tersebut. 

Salah seorang ‘Duta Tribe’ yang membentangkan idea kandungan video mengenai kesedaran bagi bidang perkhidmatan sosial ialah Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid.
Salah seorang ‘Duta Tribe’ yang membentangkan idea kandungan video mengenai kesedaran bagi bidang perkhidmatan sosial ialah Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Salah seorang ‘Duta Tribe’ yang menyertai program itu ialah Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid. 

Beliau bersama anggota kumpulannya membentangkan idea menghasilkan siri video yang mengetengahkan kerjaya sebenar pemimpin agensi perkhidmatan sosial.

Anggota kumpulannya terdiri daripada Pengarah Eksekutif, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Sugyanto Suryono; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), Cik Lorraine Lim; dan Pengarah Eksekutif, Perkhidmatan Penjagaan Masyarakat Lutheran, Encik Justin Mui.

Mereka berharap menerusi siri video bertajuk, What’s in My Calendar, ia dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dengan pekerja dan mengetengahkan sisi manusiawi, menepis persepsi bahawa seorang pemimpin hanya mengejar penunjuk prestasi utama (KPI).

Mengulas mengenai pengalaman bersama pakar media, Encik Mohksin berkata beliau dapat belajar daripada lawatan ke syarikat wadah rangkaian sosial, LinkedIn.

“Saya melihat bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat memanfaatkan wadah seperti LinkedIn untuk membina jenama dan rangkaian sosial.

“Saya tertarik bagaimana LinkedIn membantu majikan dan pekerja membina hubungan demi masyarakat,” kongsinya yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam khidmat sosial.

Pengarah Eksekutif, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Sugyanto Suryono, yang juga antara 36 ‘Duta Tribe’ yang membentangkan idea di acara ‘Open Mic Day’ menyifatkan program itu sebagai peluang baik untuk anak muda mengenali kerjaya dalam bidang perkhidmatan sosial dengan lebih mendalam.
Pengarah Eksekutif, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Sugyanto Suryono, yang juga antara 36 ‘Duta Tribe’ yang membentangkan idea di acara ‘Open Mic Day’ menyifatkan program itu sebagai peluang baik untuk anak muda mengenali kerjaya dalam bidang perkhidmatan sosial dengan lebih mendalam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pada suku kedua 2025, MSF dan NCSS akan terus bekerjasama dengan ‘Duta Tribe’ untuk merealisasikan idea itu menjadi kandungan seperti video ringkas, podcast dan kandungan media sosial yang akan diterbitkan bagi khalayak ramai.

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif penting Tahun Meraikan Karyawan Khidmat Sosial pada 2025, yang mengiktiraf sumbangan 20,000 karyawan dalam sektor masyarakat. 

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), bersama 36 ‘Duta Tribe’ yang merupakan karyawan daripada industri perkhidmatan sosial pada acara ‘Open Mic Day’. Acara itu sebahagian daripada inisiatif Tahun Meraikan Karyawan Khidmat Sosial pada 2025, yang mengiktiraf sumbangan 20,000 karyawan dalam sektor masyarakat. 
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), bersama 36 ‘Duta Tribe’ yang merupakan karyawan daripada industri perkhidmatan sosial pada acara ‘Open Mic Day’. Acara itu sebahagian daripada inisiatif Tahun Meraikan Karyawan Khidmat Sosial pada 2025, yang mengiktiraf sumbangan 20,000 karyawan dalam sektor masyarakat.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg