Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat hantar bungkusan ke AS patuhi tarif dilancar SingPost

Sep 14, 2025 | 6:01 PM
Singpost, tarif, Amerika Syarikat
SingPost menawarkan dua pilihan pembungkusan kepada pelanggan yang menghantar bungkusan ke Amerika Syarikat dengan kadar rata, dan juga akan mengira sebarang duti serta cukai untuk mereka. - Foto fail

Pelanggan yang ingin menghantar bungkusan ke Amerika Syarikat kini boleh berbuat demikian melalui perkhidmatan penghantaran baru Singapore Post (SingPost) pada kadar sama rata.

Mereka juga perlu membayar duti dan cukai terlebih dahulu sebelum penghantaran dibuat, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Bermula 15 September, perkhidmatan baru ini diperkenalkan susulan perubahan tarif Amerika pada 29 Ogos, yang telah menghapuskan pengecualian de minimis bagi penghantaran pos ke Amerika bernilai kurang daripada AS$800 ($1,026).

Pengecualian de minimis adalah pengecualian cukai kastam ke atas bungkusan bernilai rendah.

Sebelum ini, pengecualian tersebut membolehkan kebanyakan penghantaran antarabangsa bernilai di bawah AS$800 memasuki Amerika tanpa duti atau cukai.

SingPost berkata ia telah menggantung perkhidmatan pos standard bagi barangan komersial ke Amerika pada 25 Ogos untuk melindungi pelanggan daripada kemungkinan kelewatan atau rampasan bungkusan.

Mereka menambah bahawa sistem pos tradisional tidak dapat menangani perubahan tersebut, yang mengenakan duti, cukai dan pemeriksaan lebih ketat ke atas semua barangan komersial.

Namun, mereka kini dapat menyambung semula penghantaran pos ke Amerika melalui perkhidmatan Speedpost Direct International (Retail), yang dikatakan merupakan alternatif yang patuh dan boleh dipercayai.

Pengirim boleh memilih menghantar bungkusan menggunakan sampul berlapik ‘honeycomb’ berharga $29 dengan berat maksimum 0.5 kilogram, atau kotak karton standard berukuran 31 sentimeter x 23 sentimeter x 9 sentimeter berharga $69 dengan berat tidak melebihi 2 kg.

Nilai setiap penghantaran harus tidak melebihi AS$100 dan penghantaran dijangka mengambil masa antara lima hingga lapan hari bekerja.

Kadar sama rata tersebut tidak termasuk cukai dan duti kastam, yang akan dikira oleh SingPost untuk pengirim sebelum penghantaran dibuat.

Ketua Pegawai Operasi (COO) SingPost, Cik Neo Su Yin, berkata perkhidmatan baru itu menawarkan ketelusan kepada pelanggan dan mengelakkan sebarang caj tersembunyi.

“Kakitangan pejabat pos kami akan membantu pengirim mengira dan mengutip semua duti serta cukai yang diperlukan terlebih dahulu, sekali gus menghapuskan kejutan bayaran tidak dijangka kepada penerima.

“Ini memberikan pengalaman yang lancar dari awal hingga akhir,” jelas beliau.

SingPost berkata pelanggan yang mempunyai keperluan penghantaran lebih kerap atau pelbagai digalak untuk membuka akaun korporat, di mana pengurus akaun khusus boleh membantu mereka dengan penghantaran pelbagai saiz.

Ini termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME) serta penjual di platform pasaran.

Bungkusan yang melebihi 2 kg atau bernilai lebih daripada AS$100 pula harus dihantar melalui perkhidmatan premium Speedpost Express International, tambahnya, yang akan menyiapkan penghantaran dalam tempoh tiga hingga enam hari bekerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg