Pengumuman pelbagai bentuk bantuan bagi keluarga besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 membawa sedikit kelegaan kepada Cik Haliejah Raship, ibu tiga anak lelaki berusia tujuh, lima dan dua tahun.
Terutamanya, beliau menyambut baik Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) baru yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari.
Ibu bapa akan menerima $1,000 dalam LFLC bagi setiap anak ketiga dan seterusnya sepanjang tahun-tahun anak itu berusia satu hingga enam tahun.
Oleh kerana anak bongsu Cik Haliejah masih menggunakan lampin dan minum susu tepung, LFLC akan membantu meringankan beban kewangan keluarga tersebut dalam membeli keperluan anak kecil itu.
LFLC boleh digunakan di kedai dalam talian atau fizikal yang menerima bayaran melalui PayNow UEN kod QR atau NETS kod QR, dan bertujuan membiayai pelbagai perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, kos pengangkutan dan bil api air.
Di samping itu, ibu bapa dengan anak warga Singapura yang berusia sehingga 12 tahun akan menerima Kredit LifeSG Anak sekali sahaja bernilai $500 bagi setiap anak.
Kredit LifeSG Anak bagi anak berusia satu hingga 12 tahun pada 2025 akan diberikan pada Julai 2025 sementara kredit sama bagi anak yang dilahirkan pada 2025 akan diberikan pada April 2026.
Dihubungi Berita Harian (BH), Cik Haliejah, 34 tahun, yang bertugas sebagai guru prasekolah berkata sokongan yang diberikan itu merupakan “kelegaan besar”.
“Saya mengalu-alukan sokongan ini. Saya percaya dengan skim ini (Skim Keluarga Besar), ia membantu menggalakkan perbelanjaan yang bertanggungjawab dan konsisten dalam menguruskan kewangan kita dengan lebih berkesan,” katanya.
Sebelum ini pun, beliau dan suami, Encik Kamarul Arifin Sulong, 35 tahun, yang bertugas sebagai pegawai hartanah, memanfaatkan Akaun Pembangunan Anak (CDA) anak mereka untuk membiayai kos perubatan anak bongsu yang mempunyai ekzema (keadaan kulit gatal).
“Apabila pemerintah beri wang dalam CDA, sejujurnya kami telah menggunakan banyak hanya untuk perubatan.
“Dengan adanya kredit LifeSG ini yang boleh kami gunakan di farmasi untuk membeli krim kulit, saya fikir ia akan sangat membantu meringankan beban kami kerana satu botol krim boleh berharga sehingga $10.
“Bagi anak ketiga saya, kami juga sediakan satu botol krim dalam beg sekolahnya yang digunakan setiap hari... jadi dalam sebulan, adalah dua, tiga botol yang digunakan,” kongsi Cik Haliejah.
Dalam ucapan Belanjawannya, Encik Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah akan mengurangkan had yuran bulanan bagi penjagaan anak sehari penuh (full-day childcare) di prasekolah yang disokong pemerintah.
Yuran tersebut akan dihadkan kepada $610 bagi pusat pengendali utama dan $650 bagi pusat pengendali rakan kongsi.
“Setelah subsidi penjagaan anak asas, keluarga dwipendapatan akan membayar sekitar $300 bagi setiap anak.
“Keluarga berpendapatan rendah dan sederhana akan membayar kurang sedikit setelah subsidi tambahan.
“Pengurangan ini akan memastikan pembiayaan prasekolah sehari penuh sejajar dengan gabungan yuran sekolah rendah dan penjagaan murid selepas sekolah,” ujar Encik Wong.
Selain itu, setiap anak warga Singapura berusia 13 hingga 20 tahun pada 2025 juga akan menerima tokokan sekali sahaja sebanyak $500 dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) mereka.
Tokokan itu membantu keluarga dengan anak lebih besar dan boleh digunakan untuk membayar yuran dan program pengayaan yang diluluskan.
Secara umumnya, pakar yang dihubungi BH menyambut baik sokongan bagi keluarga yang diberikan dalam Belanjawan kali ini.
Pengerusi Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Encik Ishak Ismail, berkata Skim Keluarga Besar (LFS) menunjukkan bahawa pemerintah memahami bahawa keluarga merupakan asas masyarakat.
Skim sedemikian juga merupakan “sokongan yang padat dan sangat membantu” bagi keluarga yang mempunyai tiga anak atau lebih.
Ketua program, Focus on the Family Singapore, Cik June Yong, pula berkata skim itu baik kerana ia membantu menyokong pasangan yang terbuka untuk mempunyai keluarga besar, terutamanya ketika anak-anak masih kecil.
Zamil Penyelidik Kanan, Institut Kajian Dasar di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Tan Poh Lin berpendapat:
“Bagi saya, ini adalah langkah ke arah yang betul, kerana ia menunjukkan bahawa dasar baru ini bukan sekadar untuk memberi insentif kepada mempunyai anak, tetapi juga merupakan campur tangan yang mempunyai pelbagai matlamat selaras dengan pelan Singapura Mesra Keluarga 2025, yang bertujuan menyediakan persekitaran lebih baik untuk membina keluarga.”
Namun, pakar melahirkan harapan bahawa sokongan yang diberi pemerintah akan bersifat lebih jangka panjang serta melebihi bantuan kewangan sahaja.
Pengasas MuslimParents.sg, Cik Suliyati Berori, berkongsi bahawa dalam bengkel dan sesi kaunseling yang dijalankannya, banyak keluarga mengatakan bahawa geran hanya berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek bagi keluarga.
“Meskipun LFS dapat membantu menyokong ibu bapa yang sedang mempertimbangkan untuk mempunyai lebih daripada tiga anak, jumlah $1,000 (dalam LFLC) setiap tahun tidak mencukupi jika kita mempertimbangkan bil hospital dan penjagaan bayi.
“Oleh itu, pemerintah boleh mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan tekanan kewangan tambahan seperti mengurangkan kos penjagaan anak supaya kedua-dua ibu bapa dapat pergi bekerja untuk menyara keluarga mereka,” kata Cik Suliyati.
Cik Yong dan Encik Ishak pula berpendapat lebih banyak sokongan dalam bentuk kemahiran keibubapaan patut dipertimbangkan.
Kata Encik Ishak: “Jurangnya terletak pada memperkukuh perkahwinan dan keibubapaan.
“Walaupun sokongan kewangan penting, tanpa memperbaiki perkahwinan dan kemahiran keibubapaan, cabaran kekeluargaan akan berterusan.
“LFS boleh memainkan peranan penting bukan hanya dengan menawarkan bantuan kewangan, tetapi juga dengan memperkukuh asas keluarga, menyokong pasangan dalam membina perkahwinan yang berkekalan dan kemahiran keibubapaan.”
Berkongsi pandangan serupa, Cik Yong berkata:
“Terdapat banyak penekanan terhadap bantuan untuk perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak, tetapi jika terdapat bentuk kredit bagi ibu bapa menghadiri kursus keibubapaan, ia juga akan sangat membantu keluarga.
“Keibubapaan bukanlah sesuatu kemahiran yang datang secara semula jadi untuk semua, dan kelas atau bengkel dapat membina hubungan lebih baik dan berkualiti antara ibu bapa dan anak.
“Lantas kemahiran untuk mengatasi konflik serta mengurus perbezaan anak dan ibu bapa dapat mengukuhkan mutu kehidupan berkeluarga yang akhirnya memberi manfaat kepada generasi seterusnya.”
Diminta mengulas tentang skim baru itu, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata ia merupakan sokongan yang dibentangkan adalah atas saranan dan maklum balas warga Singapura semasa perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura. – Laporan tambahan oleh NUR SYUHRAH HASSAN, INSYIRAH MOHD SHUKOR, BATRISYIA BAHARIM
“
“Bagi saya, ini adalah langkah ke arah yang betul, kerana ia menunjukkan bahawa dasar baru ini bukan sekadar untuk memberi insentif kepada mempunyai anak, tetapi juga merupakan campur tangan yang mempunyai pelbagai matlamat selaras dengan pelan Singapura Mesra Keluarga 2025, yang bertujuan menyediakan persekitaran lebih baik untuk membina keluarga.”“
“Walaupun sokongan kewangan penting, tanpa memperbaiki perkahwinan dan kemahiran keibubapaan, cabaran kekeluargaan akan berterusan. LFS boleh memainkan peranan penting bukan hanya dengan menawarkan bantuan kewangan, tetapi juga dengan memperkukuh asas keluarga, menyokong pasangan dalam membina perkahwinan yang berkekalan dan kemahiran keibubapaan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg