Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhidmat jalur fiber pulih sepenuhnya pada 19 Apr selepas gangguan
Khidmat jalur fiber pulih sepenuhnya pada 19 Apr selepas gangguan
Khidmat jalur fiber pulih sepenuhnya pada 19 Apr selepas gangguan
Perkhidmatan jalur fiber di beberapa lokasi yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan pada 18 April telah pulih sepenuhnya.
Dalam kenyataan di laman webnya pada 19 April, pembekal infrastruktur telekomunikasi, NetLink Trust, berkata perkhidmatan di sebahagian kawasan Ang Mo Kio, Bishan, Sengkang dan Punggol telah pulih sepenuhnya pada 7 pagi.
Kira-kira 5,000 pengguna perkhidmatan jalur lebar di kawasan tengah dan timur laut Singapura terjejas pada 18 April akibat gangguan perkhidmatan fiber, dengan tiga syarikat telekomunikasi utama Singapura – Singtel, StarHub dan M1 – turut termasuk dalam kalangan yang terjejas.
NetLink Trust berkata pada 19 April bahawa pasukannya telah bekerja sepanjang malam untuk memulihkan perkhidmatan dengan selamat dan secepat yang mungkin.
Gangguan itu disebabkan oleh kerosakan pada infrastruktur fiber semasa kerja pembinaan pihak ketiga, tambahnya.
“Kami mengambil serius sebarang kejadian yang menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi penting dan sedang menjalankan semakan menyeluruh,” kata NetLink Trust.
Pihaknya berkata tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil selepas siasatan selesai.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang ditimbulkan dan mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang terjejas atas kesabaran dan kefahaman mereka,” tambahnya.
Mereka yang masih mengalami masalah perkhidmatan dinasihatkan untuk menghubungi Pembekal Perkhidmatan Internet masing-masing untuk mendapatkan bantuan.
Dalam kenyataan lewat malam pada 18 April, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata kabel perkhidmatan fiber telah rosak pada sekitar 10.40 pagi semasa kerja pembinaan bagi projek Koridor Utara-Selatan.
Sistem Anggaran Masa Ketibaan (ETA) untuk bas turut terjejas, menyebabkan sistem memaparkan waktu bas yang tidak tepat dan masa menunggu yang lama di perhentian bas dan pada aplikasi mudah alih.
Dalam hantaran Facebook pada 19 April, LTA berkata sistem ETA telah pulih seiring dengan pemulihan perkhidmatan fiber.
Perkhidmatan bas terus beroperasi seperti biasa sepanjang kejadian berlaku dan tidak terjejas, tambahnya.
LTA berkata pihaknya sedang mengkaji kejadian itu bagi mencegah pengulangan kejadian yang sama.
NetLink Trust berkata pada 18 April bahawa pihaknya mengambil serius gangguan perkhidmatan yang “disebabkan oleh kontraktor yang cuai dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap pihak yang bertanggungjawab.”
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) berkata pada 18 April ia akan meneruskan siasatan terhadap kejadian itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuai sekiranya mereka didapati telah melanggar peraturan.
