Pada usia 60 tahun, Cik Mariah Mohd Yusoff terus menabur bakti di Masjid Alkaff Kampung Melayu, setelah memulakan kerjayanya di masjid itu pada akhir 2014 sebagai Pegawai Sokongan Korporat.

Tugas menguruskan keperluan jemaah pada awal kerjayanya kemudian membuka laluan kepada bidang kewangan.

Sepanjang lapan tahun dalam peranan khidmat pelanggan, beliau turut membantu bahagian kewangan dengan menguruskan derma, pembayaran dan rekod transaksi.

Pengalaman tersebut mengasah kemahiran dan keyakinannya sehingga beliau diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai Pegawai Eksekutif Kewangan.

Sepanjang lebih sedekad berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu, antara perubahan paling ketara yang disaksikannya ialah penggunaan teknologi dan sistem digital dalam operasi serta penyampaian maklumat kepada jemaah.

“Pendigitalan menjadikan urusan dan penyampaian maklumat kepada jemaah lebih cepat dan mudah,” kata Cik Mariah.

Namun, perubahan itu turut membawa cabaran, khususnya bagi jemaah yang kurang biasa dengan aplikasi, pembayaran dalam talian dan akses kepada maklumat digital.

Bagi membantu mereka, pihak masjid terus menyediakan kaunter fizikal serta bantuan petugas, selain memberi panduan apabila diperlukan.

Dari sudut kewangan, pendigitalan menjadikan pengurusan sumbangan dan pembayaran lebih teratur serta telus.

Jemaah kini boleh menyumbang melalui pelbagai saluran seperti pindahan bank, kod QR dan wadah dalam talian.

Menurut Cik Mariah, penerimaan derma secara dalam talian pada awalnya agak mencabar kerana jumlah transaksi yang banyak memerlukan semakan teliti.

Namun, proses itu kini lebih tersusun, manakala resit derma boleh dikeluarkan secara digital, sekali gus mengurangkan penggunaan kertas.

Sepanjang Projek Peningkatan Masjid (MUP), beliau turut melihat pemantauan kewangan diperketat bagi memastikan sumbangan, pembayaran dan perbelanjaan diurus dengan teliti serta digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.

Antara pengalaman yang paling menyentuh perasaannya ialah melihat seorang jemaah menangis selepas selesai urusan derma.

“Saya sangat tersentuh melihat keikhlasan dan kesungguhan mereka menderma,” jelasnya.

Bagi Cik Mariah, bekerja di masjid memberikan ketenangan dan kepuasan kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat Islam.

Beliau berharap masjid yang dinaik taraf kelak bukan sahaja lebih selesa untuk beribadah, malah terus berkembang sebagai pusat perkhidmatan dan kegiatan masyarakat.

Kepada golongan muda, pesannya supaya tidak takut mencuba kerana kerjaya di masjid turut menawarkan peluang dalam pentadbiran, kewangan, teknologi, komunikasi dan pengurusan. 

“Yang penting, ada minat, ikhlas dan bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat.”

SEKILAS

CARA MENDERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

5. Pergi ke pejabat masjid, Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.

 * Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.