Perkhidmatan LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) disambung semula sepenuhnya sekitar empat jam selepas ia mengalami kerosakan tenaga yang menyebabkan khidmat kereta api tergendala pada awal pagi 15 Ogos.
Khidmat LRT Sengkang pulih sepenuhnya pada 12.54 tengah hari, manakala khidmat LRT Punggol disambung semula sepenuhnya pada 12.32 tengah hari, menurut pengendali pengangkutan awam SBS Transit dalam satu kemas kini di Facebook.
Gangguan tersebut bermula sekitar 8.40 pagi, yang menjejas kesemua 29 stesen di laluan tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, dalam satu hantaran di Facebook.
Laporan awal mendapati satu kerosakan kabel antara dua stesen telah menyebabkan tenaga di rangkaian LRT tersebut terputus, mengakibatkan 10 kereta api terhenti di landasan, tambah beliau.
Kerja pemulihan dimulakan selepas semua penumpang, termasuk mereka yang menggunakan alat bantuan pergerakan, selamat turun dari kereta api, lapor The Straits Times (ST).
Gangguan pada 15 Ogos itu adalah kali kedua dalam tempoh empat hari perkhidmatan SPLRT tergendala akibat bekalan kuasa terputus.
Pada 12 Ogos, khidmat di laluan LRT tersebut terhenti selama 10 jam sebelum ia disambung semula sepenuhnya pada 9.20 malam.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada 13 Ogos bahawa lonjakan elektrik telah merosakkan satu daripada dua papan suis di sebuah pencawang di depoh MRT Laluan Timur Laut (NEL) di Sengkang, yang menyalurkan kuasa ke sistem rel terjejas.
Pada masa yang sama, lonjakan elektrik turut mencetuskan ciri keselamatan yang bertujuan melindungi papan suis kedua daripada kerosakan, menyebabkan ia juga ditutup, kata LTA.
Encik Sim berkata: “Berikutan kejadian sebelum ini pada 12 Ogos, yang merosakkan papan suis sistem kuasa yang bertindak sebagai sokongan, kini kami hanya beroperasi menggunakan papan suis utama dan tunggal.
“Tanpa papan suis sokongan, kerosakan kabel ini menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan masa pemulihan lebih panjang.
“SBS Transit sedang berusaha mempercepat kerja pembaikan sistem kuasa sokongan ini.”
Apabila khidmat LRT tersebut terhenti, khidmat bas biasa percuma disediakan dari pusat tukaran bas Sengkang dan Punggol, serta perhentian bas berhampiran stesen yang terjejas.
Khidmat bas penghubung percuma juga disediakan untuk membantu penumpang yang terjejas.
Dengan khidmat LRT tersebut kini kembali beroperasi seperti biasa, khidmat bas percuma telah dihentikan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg