Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tren LRT Sengkang-Punggol kembali operasi sepenuhnya

Aug 13, 2025 | 4:12 PM
Dalam satu catatan di wadah X, SBS Transit memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang dihadapi pada 12 Ogos, disebabkan gangguan khidmat LRT.
Dalam satu catatan di wadah X, SBS Transit memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang dihadapi pada 12 Ogos, disebabkan gangguan khidmat LRT. - Foto ST

Perkhidmatan LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) kembali beroperasi sepenuhnya pada pagi 13 Ogos, menurut SBS Transit.

Dalam satu catatan di wadah X sekitar 5.30 pagi, pengendali pengangkutan tersebut memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang dihadapi pada 12 Ogos, disebabkan gangguan khidmat LRT tersebut yang terjejas selama sekitar 10 jam.

Sekitar 11 pagi pada 12 Ogos, perkhidmatan MRT di 11 stesen – antara Farrer Park dengan Punggol Coast – di Laluan Timur Laut (NEL) dan keseluruhan SPLRT, terhenti akibat gangguan kuasa.

Khidmat LRT Sengkang mula dipulihkan pada 3.34 petang, dan khidmat LRT Punggol pula kembali beroperasi pada 4.04 petang.

Namun, kedua-dua khidmat tersebut beroperasi dengan hanya satu landasan semasa waktu sibuk petang sehingga perkhidmatan disambung sepenuhnya pada 9.20 malam, menurut SBS Transit dalam satu catatan Facebook pada 12 Ogos. 

Dalam satu kenyataan pada 12 Ogos, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, berkata gangguan tersebut disebabkan kegagalan papan suis kuasa di pencawang depoh NEL.

Keadaan tersebut menyebabkan berlakunya insiden ‘flashover’ – pelepasan elektrik yang tidak disengajakan – pada pengubah voltan yang digunakan untuk mengawal bekalan kuasa, lapor The Straits Times (ST).

“Ini mengakibatkan kedua-dua bekalan kuasa utama dan simpanan terputus, sebagai sebahagian daripada mekanisme perlindungan kuasa,” tambah beliau.

Bekalan kuasa kemudian diambil daripada pencawang SBS Transit yang lain di Dhoby Ghaut kerana pengubah voltan yang rosak di pencawang depoh NEL tidak dapat dibaiki dengan segera selepas gangguan tersebut.

Khidmat kereta api di sepanjang NEL dipulihkan secara berperingkat di stesen yang terjejas sebelum ia disambung semula sepenuhnya di semua stesen mulai 2.10 petang.

Semasa gangguan perkhidmatan MRT pada 12 Ogos, SBS Transit turut menyediakan khidmat bas biasa dan bas ulang-alik percuma di perhentian bas yang ditetapkan antara stesen Dhoby Ghaut dengan Punggol Coast.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg