Perkhidmatan tren biasa di Laluan Timur-Barat (EWL) disambung semula pada 10 Disember, selepas kerja trek selesai sehari lebih awal daripada jadual.
Awal sebelum ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan perkhidmatan biasa akan digantung dari 7 hingga 10 Disember di stesen Tanah Merah, Simei, Tampines, Pasir Ris, Expo dan Lapangan Terbang Changi.
Ia bagi membolehkan kerja dilakukan pada trek untuk menghubungkan EWL ke Depoh Bersepadu East Coast (ECID) yang baru.
Namun, dalam satu hantaran di Facebook pada 9 Disember, LTA berkata perkhidmatan akan disambung bermula dari waktu perkhidmatan penumpang pada 10 Disember, sehari lebih awal daripada jadual, lapor The Straits Times.
LTA berkata pasukan kerja telah menyelesaikan ujian menyeluruh, termasuk ujian keselamatan dan ultrasonik pada trek, bekalan kuasa dan sistem isyarat kereta api.
Ia menambah bahawa lebih 500 kakitangan LTA, pengendali pengangkutan awam dan kontraktor telah bekerja sejak 7 Disember untuk menggantikan dan menguji trek, serta membantu penumpang.
Dalam satu hantaran Facebook yang berasingan pada 9 Disember, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pasukan yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut.
Ini termasuk jurutera, teknisyen dan pekerja yang “menyusun trek tanpa henti serta melakukan perancangan dan ujian yang menyeluruh”, pengendali bas yang menjalankan perkhidmatan ulang-alik, serta kakitangan di stesen yang membantu penumpang.
“Saya juga amat menghargai kesabaran dan pemahaman semua penumpang, serta sokongan anda terhadap pekerja pengangkutan awam,” kata Encik Chee.
LTA berkata bahawa trek akan ditutup pada 2025 dan 2026 untuk menyelesaikan kerja-kerja di depoh dan butiran lanjut akan diberikan pada masa akan datang.
Pada November, LTA dan SMRT berkata ECID dijadual siap pada 2026, dengan 97 peratus kerja struktur sudah selesai.
Apabila beroperasi, depoh bersepadu itu akan menempatkan 220 tren dari Laluan Downtown, Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan EWL, bersama dengan depoh bas yang boleh menampung lebih 500 bas.
Semasa penggantungan perkhidmatan, tren ulang-alik beroperasi setiap lima minit antara stesen Tampines dengan Pasir Ris; setiap lapan minit antara stesen Tanah Merah dengan Expo; serta setiap 11 minit antara stesen Expo dengan Lapangan Terbang Changi.
Terdapat juga perkhidmatan bas ulang-alik, Shuttle 7, yang beroperasi pada setiap tiga hingga lima minit, berhenti di stesen Tampines, Simei dan Tanah Merah.
Cik Junaidah Abdul Rahman, 35 tahun, berkata beliau gembira mendengar bahawa perkhidmatan tren biasa di EWL disambung semula lebih awal daripada yang dijangkakan.
Jururawat di Hospital Parkway East berkata beliau lewat untuk syif pada 9 pagi pada 7 Disember apabila beliau menaiki tren dari stesen Pasir Ris dan diminta turun di stesen Tampines.
Beliau berkata: “Ini pasti berita baik untuk saya. Ia menjimatkan masa dan kira-kira $20 untuk perjalanan Grab ke tempat kerja.
“Walaupun perjalanan dengan kereta sewa persendirian lebih cepat, saya lebih suka berjimat dengan menaiki MRT.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg