Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat MRT Laluan Timur-Barat kembali normal selepas gangguan 6 hari

Oct 1, 2024 | 12:14 PM
Penumpang yang menuju ke arah barat di Laluan Timur-Barat (EWL) telah dinasihatkan untuk mengambil kira lima minit tambahan dalam masa perjalanan mereka.
Penumpang yang menuju ke arah barat di Laluan Timur-Barat (EWL) telah dinasihatkan untuk mengambil kira lima minit tambahan dalam masa perjalanan mereka. - Foto ZAOBAO

Khidmat kereta api telah kembali beroperasi antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista di sepanjang Laluan Timur-Barat (EWL) sejak perkhidmatan penumpang disambung semula pada 1 Oktober, menyusuli gangguan selama enam hari akibat kerosakan landasan yang meluas.

Apabila The Straits Times (ST) mengunjungi stesen Jurong East pada 5.30 pagi 1 Oktober, papan tanda dan papan digital menunjukkan bahawa semua perkhidmatan MRT di laluan itu telah disambung semula.

Papan tanda yang sebelum ini mengarahkan penumpang ke perkhidmatan kereta api ulang-alik sementara ke arah stesen Boon Lay telah dialihkan.

Kereta api pertama menuju ke timur tiba sekitar 5.40 pagi.

Dari 5.45 pagi, ST memerhatikan kereta api arah timur tiba secara berselang-seli pada kadar yang stabil.

Terdapat sekurang-kurangnya satu kereta api kosong yang bukan untuk dinaiki melalui stesen itu, selepas setiap tren yang mengambil penumpang.

Kereta api arah barat yang bergerak di bahagian trek yang telah dibaiki, seperti antara stesen Dover dengan Clementi, akan mematuhi had laju sementara 40 kilometer sejam (kmj) hingga 3 Oktober, sebagai sebahagian proses standard selepas penggantian rel.

Kereta api MRT biasanya bergerak pada kelajuan 60kmj hingga 80kmj.

Penumpang yang menuju ke arah barat di EWL telah dinasihatkan untuk mengambil kira lima minit tambahan dalam masa perjalanan mereka.

Penumpang yang ditemu bual oleh ST gembira kerana perkhidmatan kereta api di sepanjang laluan terjejas telah disambung semula.

Cik Canmy Lim berkata beliau berasa lega kerana beliau dapat menaiki kereta api ke arah timur dari rumahnya di Jurong East ke tempat kerjanya di Buona Vista melalui MRT “seperti biasa”.

Wanita berusia 42 tahun itu, yang bekerja dalam perkhidmatan pelanggan, berkata beliau tiada masalah dengan kereta api yang menuju ke barat bergerak lebih perlahan, selagi perkhidmatan di sepanjang laluan berjalan terus.

Pekerja pembersihan pusat jagaan kanak-kanak, Cik Kavitha Simachallan, berkata beliau gembira dapat memulakan semula perjalanan biasa dari Jurong East ke tempat kerjanya di Clementi.

Wanita berusia 44 tahun itu terpaksa menaiki bas penghubung dari Jurong East ke stesen Clementi apabila perkhidmatan kereta api terputus.

Pelajar, Seow Yi Xin, 16 tahun, berasa gembira kerana perkhidmatan kereta api telah dipulihkan walaupun kelajuan tren arah barat lebih perlahan.

Perjalanan ulang-alik dari rumahnya di Dover ke sekolahnya di Boon Lay sejak beberapa hari lalu mengambil masa sejam 15 minit dengan menaiki bas.

Ia biasanya mengambil masa 45 minit dengan MRT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg