Cik Siti (bukan nama sebenar), 20-an tahun, berkata beliau lebih gemar mendapatkan khidmat pengangkutan kereta melalui wadah chat Telegram berbanding melalui khidmat kereta sewa privet yang berlesen demi menjimatkan wang.
Katanya, beliau lebih rela berbuat demikian kerana khidmat yang diperoleh menerusi Telegram selalunya berharga lebih rendah.
Sebagai contoh, beliau hanya membayar $15 apabila menempah khidmat pengangkutan menerusi Telegram untuk perjalanan dari rumahnya di kawasan timur ke kampusnya di Barat. Ini berbanding sekitar $30 jika mendapatkan khidmat menerusi platform seperti Grab, Gojek dan Tada.
Namun, tanpa disedarinya, menggunakan khidmat sedemikian yang ditawarkan pengendali atau pemandu yang tidak bertauliah atau tidak berlesen diiringi pelbagai risiko.
Ini termasuk risiko tidak dilindungi insurans kerana menggunakan khidmat kereta tanpa lesen serta risiko keselamatan peribadi jika dipadankan dengan pemandu yang berniat jahat.
Menurut Cik Siti, beliau kini lebih sedar akan risikonya dan tidak lagi menggunakan khidmat tersebut.
“Ada juga saya dengar tentang pemandu yang mengganggu penumpang, jadi saya tak naik lagi,” ujar Cik Siti.
Namun, permintaan bagi khidmat sedemikian terus wujud dan berdasarkan pemeriksaan Berita Minggu (BM) baru-baru ini, mungkin kian rancak.
BM mendapati ada dua jenis perkhidmatan yang disediakan – khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) di Singapura yang ditawarkan kededua pemandu setempat dan pemandu dari Malaysia, serta khidmat rentas Singapura-Johor Bahru (JB) yang lazimnya ditawarkan pemandu dari Malaysia.
Menurut seorang pemandu teksi yang ingin dikenali sebagai Encik JJ, pemandu kereta tidak berlesen itu akan berhimpun di Terminal Ban San Street dekat Kampung Jawa sekitar 5 petang.
Dari sana, mereka akan berjalan kaki ke Arab Street yang berdekatan dan menghampiri penumpang yang sedang beratur untuk menaiki bas dari Singapura ke JB.
Mereka menawarkan harga lebih murah sekitar $10 untuk membawa penumpang ke JB. Ini berbanding harga $15 yang ditawarkan oleh teksi bertauliah.
Encik JJ berkata perkara ini akan berterusan sehingga jam 11 malam.
Malah, kebelakangan ini, ada juga pemandu bas yang menawarkan untuk membawa penumpang ke JB dengan harga serendah $5.
BM difahamkan bas persiaran ini sepatutnya pulang ke Malaysia selepas menurunkan penumpang di Singapura. Namun, pemandu ini mengambil peluang untuk mendapatkan wang tambahan.
Bercakap kepada BM, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengatakan di bawah Akta Trafik Jalan Raya (RTA), semua kenderaan termasuk kenderaan berdaftar asing harus mempunyai Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah untuk menyediakan perkhidmatan teksi dan kereta sewa privet (PHC).
Satu-satunya penyedia perkhidmatan teksi rentas sempadan berlesen ialah teksi berdaftar Singapura dan Malaysia yang diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awan Darat Malaysia dan LTA Singapura.
Selain dari PSVL, teksi yang didaftarkan di Malaysia juga mesti mendapatkan Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean (PSVP) untuk menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia.
Menurut LTA, individu yang didapati menggunakan kenderaan untuk perkhidmatan sedemikian tanpa PSVL yang sah boleh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 101(1) RTA.
Jika sabit kesalahan, pesalah berdepan denda sehingga $3,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan yang digunakan juga boleh dirampas.
Dalam menghadapi peningkatan permintaan untuk perkhidmatan pengangkutan murah, penting untuk penumpang menyedari risiko yang terlibat dengan menggunakan perkhidmatan sedemikian.
Sejak 2022, LTA telah menahan sekitar 32 pemandu yang menyediakan perkhidmatan rentas sempadan secara haram. Pemandu yang disabit kesalahan menghadapi denda yang tinggi, dan kenderaan mereka pula dirampas.
Seorang warga Malaysia, Fong Tong Zjin, pernah dipenjara 14 bulan serta tiga sebatan dan turut dikenakan denda sebanyak $1,800 atas kesalahan mencabul seorang wanita dan menyediakan khidmat kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen yang sah.
Wanita itu telah menempah khidmat pengangkutan yang ditawar Fong menerusi Telegram.
Fong yang memandu kereta plat lesen Malaysia telah mencabul wanita itu di dalam kereta ketika membawanya dari Yishun Ring Road ke Primz Bizhub, 21 Woodlands Close.
Ketika dihubungi BM, Persatuan Insurans Umum (GIA) berkata pemandu yang menawarkan perkhidmatan tidak berlesen tidak mempunyai insurans yang sah untuk melindungi penumpang sekiranya terlibat dalam kemalangan.
Encik Satwant Singh, pemilik dan peguam di Satwant & Associates, menjelaskan bahawa polisi insurans kereta tidak membenarkan pemandu untuk menyediakan khidmat pengangkutan berbayar.
“Sekiranya berlaku kemalangan, pemandu tidak dilindungi kerana telah melanggar polisi. Beliau dan juga penumpang tidak akan dapat pampasan,” tambahnya.
Beliau mengatakan bahawa orang awam tidak seharusnya menggunakan pengangkutan itu demi menghentikan permintaan bagi khidmat sedemikian.
“Anda (pemandu) lihat masalah yang terhasil dari perkara ini, anda membahayakan nyawa anda dan penumpang, serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain dengan mengambil risiko kecil ini dan keinginan membuat wang dengan cepat... ini harus dihentikan,” ujar beliau.
Perkhidmatan tidak berlesen ini bukan hanya mempengaruhi penumpang, tetapi juga memberikan kesan kepada pemandu teksi berlesen di Singapura.
Pakar ekonomi pengangkutan, Profesor Madya Walter Edgar Theseira, berkata khidmat P2P tidak sah adalah salah dan seharusnya tidak dibenarkan disebabkan risikonya di samping ia menjejaskan mata pencarian pemandu teksi Singapura dan kereta sewa persendirian.
“Kita tidak mempunyai alasan yang kuat untuk membenarkan khidmat ini kerana di pasaran P2P Singapura, terdapat ruang yang cukup untuk ia berkembang bagi memenuhi permintaan.
“Pada asasnya ia akan menjadikan sangat mencabar bagi pemandu Singapura untuk mencari pendapatan kerana perbezaan kos yang besar.
“Kos operasi kenderaan adalah sangat berbeza bagi kededua pihak kerana perbezaan polisi cukai dan sebagainya,” ujar profesor dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu yang percaya bahawa membenarkan pengangkutan tidak sah ini bermakna ia tidak berlaku adil kepada pemandu sewa persendirian Singapura.
Ketika ditemui BM di Ban San Street – perhentian teksi Singapura/JB – Encik JJ, 40-an tahun, berkata permintaan bagi khidmatnya telah berkurangan berbanding apabila beliau mula memandu di Singapura pada 2021.
“Saya masuk ke Singapura pada 8 pagi dan sekarang sudah 4 petang. Jika nasib tidak baik, kita terpaksa tidur di sini, di dalam kereta sampai keesokan paginya,” ujar beliau yang sudah membawa teksi rentas sempadan ini sejak 2021.
Beliau menyifatkan permintaan sekarang berbeza berbanding sebelum ini, di mana mereka boleh pulang ke JB sekitar tengah hari.
Encik Ahmad Saparun, seorang pemandu teksi berpengalaman dari JB, mendakwa jumlah teksi berlesen hanya 10 peratus daripada jumlah Pak Wanca yang melalui kastam.
Beliau mencadangkan agar teksi berlesen diberi kelonggaran untuk menghantar penumpang ke rumah mereka, bukan hanya di perhentian yang ditetapkan.
“Beza dengan Pak Wanca, teksi sudah ada insurans. Kalau kita dapat menghantar pelanggan ke rumah, ia lagi baik dan pelanggan pun puas hati,” katanya yang sudah merentas sempadan selama 22 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg