Dalam masa beberapa minit sahaja, saya berjaya menempah kereta dan pemandu untuk pulang dari pejabat ke rumah baru-baru ini.
Ini perkara biasa yang dilakukan oleh penduduk di sini apabila hendak ke sana sini.
Namun saya tidak menggunakan khidmat kereta sewa privet yang popular di sini seperti Grab, Gojek atau Tada.
Sebaliknya, saya membuat tempahan melalui wadah chat di aplikasi Telegram.
Cara untuk mendapatkan pemandu agak mudah. Saya hanya perlu mengirimkan lokasi pick up dan drop off, serta waktu hendak menggunakan khidmat dalam chat itu.
Sekitar dua minit kemudian, seorang pemandu menghantar pesanan privet dan menawarkan $14 untuk tempahan saya. Saya juga diberitahu saya boleh membuat bayaran dalam bentuk Paynow atau tunai.
Biasanya, tambang bagi khidmat pengangkutan sebegini lebih rendah berbanding yang ditawarkan khidmat kereta sewa privet yang sah, iaitu sekitar $9 hingga $12 untuk ke destinasi dan waktu yang sama.
Bagaimanapun, saya tetap menerima tawaran tersebut dan selepas menunggu sekitar 15 minit, pemandu itu – yang hanya ingin dikenali sebagai Abang Man – tiba di lokasi pick up dengan memandu kereta yang mempunyai nombor plat Malaysia.
Dalam perbualan saya bersama Abang Man, beliau menceritakan bahawa beliau akan memasuki Singapura sekitar 5 petang dan akan pulang ke Johor Bahru pada 2 pagi setiap hari.
Menurutnya, beliau akan mencari penumpang menerusi Telegram dan juga melakukan khidmat rentas sempadan dengan mengenakan harga sekitar $30 bagi satu orang. Beliau enggan berkata sama ada beliau tahu perbuatannya itu melanggar undang-undang, tetapi beliau akur melakukannya kerana terpikat dengan pendapatan yang boleh diraih.
Abang Man juga enggan memberitahu saya jumlah tempahan yang diterimanya setiap hari.
Namun, pemeriksaan rambang ke atas beberapa wadah chat yang wujud di Telegram untuk memadankan penumpang dengan pemandu menunjukkan setiap kumpulan dianggotai puluhan ribu orang.
Kumpulan chat yang saya gunakan untuk mencari khidmat itu mempunyai sekitar 40,000 anggota.
Sebelum ini, kumpulan chat seperti itu memadankan penumpang dengan pemandu bagi khidmat pengangkutan Singapura ke Johor Bahru.
Namun kini, ia juga menjadi tempat pertemuan di alam maya bagi pemandu dan penumpang yang ingin pergi dari satu tempat ke satu tempat (P2P) di Singapura.
Kehadiran pemandu seperti Abang Man, yang masuk ke Singapura dari Johor untuk menyediakan khidmat pengangkutan kepada penduduk di sini, mungkin memenuhi permintaan tertentu.
Tarikan khidmat sebegini adalah jelas – harga yang ditawarkan biasanya lebih murah berbanding khidmat menerusi platform berlesen.
Meskipun begitu, khidmat sebegini sebenarnya melanggar undang-undang. Ia juga diiringi risiko yang besar buat penumpang.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengatakan kenderaan sebegini dan pemandunya tidak mempunyai lesen atau insurans yang sewajarnya. Ini boleh menimbulkan pelbagai kerumitan bagi penumpang, misalnya apabila kemalangan jalan raya berlaku.
Justeru, LTA menggesa orang ramai supaya tidak menggunakan pemandu tidak berlesen untuk sebarang perjalanan P2P tempatan atau perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang boleh didapatkan di media sosial dan wadah permesejan.
Ada juga isu dari segi keselamatan. Tiada rekod ‘hitam putih’ jika anda menggunakan pengangkutan sedemikian yang bermakna anda boleh dianiaya oleh seseorang yang berniat jahat jika menggunakan kenderaan mereka.
Saya akur ada pihak yang mungkin perlukan khidmat sedemikian apabila membawa banyak barang, mempunyai anak kecil dan sebagainya.
Namun bagi saya, risiko keselamatan ini melebihi keperluan saya untuk berjimat.
Mungkin lebih baik saya naik bas dan MRT sahaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg