Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teksi Pak Wanca timbul lagi

Kenderaan asing, tidak berlesen tawar khidmat teksi haram di S’pura melalui Telegram
Sep 22, 2024 | 5:30 AM
Penyedia khidmat pengangkutan haram antara Singapura dan Johor Bahru menggunakan Terminal Ban Street untuk mendapatkan penumpang. Mereka biasanya menawarkan tambang sekitar $10 untuk ke Johor Bahru,  berbanding $15 dengan menggunakan teksi JB-Singapura yang disediakan pengendali berlesen.
Penyedia khidmat pengangkutan haram antara Singapura dan Johor Bahru menggunakan Terminal Ban Street untuk mendapatkan penumpang. Mereka biasanya menawarkan tambang sekitar $10 untuk ke Johor Bahru, berbanding $15 dengan menggunakan teksi JB-Singapura yang disediakan pengendali berlesen. - Foto BM oleh KHALID BABA

Perkhidmatan pengangkutan haram Singapura-Johor kini tidak terhad kepada laluan rentas sempadan sahaja. Sebahagian pengendali malah kini menyediakan khidmat pengangkutan haram di Singapura.

Pengendali tidak berlesen dari Malaysia kini menawarkan pelbagai perkhidmatan pengangkutan dalam Singapura, termasuk perjalanan ke Lapangan Terbang Changi, hotel, kasino, serta pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang berbeza lokasi dalam Singapura.

Khidmat pengangkutan P2P sebegini pernah wujud di Singapura dan digelar ‘teksi sapu’ atau Pak Wanca.

Siasatan Berita Minggu (BM) mendapati kebanyakan perkhidmatan ini diuruskan secara terang-terangan melalui pelbagai platform dalam talian, terutama  Facebook dan Telegram. Pengguna hanya perlu menyertai kumpulan ‘chat’ tertentu untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan haram ini, yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding teksi atau khidmat sewa privet e-hailing yang sah di Singapura.

Dalam siasatan BM, wartawan sendiri menaiki kereta Pak Wanca dari Toa Payoh ke Serangoon sekitar 8 malam dengan membayar $16 menerusi platform Telegram. Perjalanan yang sama jika menggunakan platform sewa privet lain, seperti Grab dan Tada, adalah antara $16 dengan $29.

Perkhidmatan dari Lapangan Terbang Changi ke hotel-hotel di Singapura atau kasino boleh diperoleh dengan mudah melalui platform ini. Malah, perkhidmatan limosin eksklusif untuk acara-acara besar seperti Formula 1 turut ditawarkan oleh pengendali tidak sah ini, menunjukkan mereka semakin berani mengembangkan operasi mereka.

Tidak cukup dengan itu, pengangkutan dalam Singapura yang digunakan oleh peniaga tempatan untuk penghantaran barang turut menjadi sasaran mereka.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataannya kepada BM berkata ia sedar ada operasi haram yang dijalankan oleh kereta haram dari Malaysia dalam sempadan Singapura dan giat memantau kegiatan Pak Wanca ini

LTA berkata Singapura telah meningkatkan usaha penguatkuasaan terhadap kegiatan ini dan setakat ini seramai 32 individu telah ditahan dalam tempoh dua tahun ini kerana terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan haram. Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan haram ini dirampas dan denda yang tinggi dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah.

Namun, tindakan penguatkuasaan ini mungkin belum mencukupi untuk menghentikan kegiatan tersebut.

Ini kerana harga yang dikenakan jauh lebih rendah. Sebagai contoh, di Terminal Ban Street, perkhidmatan hantar pulang dari Johor Bahru ke rumah di Singapura ditawarkan pada harga antara $20 hingga $30 seorang, berbanding teksi berlesen yang mengenakan tambang $60 untuk membawa penumpang dari Johor Bahru ke Singapura.

Pemeriksaan BM mendapati sekurang-kurangnya 20 platform dalam talian, termasuk di Carousell, Klook dan KKDay, digunakan oleh pengendali ini untuk memancing penumpang. Difahamkan bahawa LTA telah meminta platform terbabit menurunkan iklan berkaitan perkhidmatan pengangkutan haram ini.

LTA berkata ia akan terus berusaha mengesan platform sedemikian bagi melindungi pengguna daripada risiko menggunakan perkhidmatan tidak sah.

Ia menasihatkan orang awam supaya jangan menggunakan khidmat sedemikian kerana kenderaan dan pemandu yang terlibat dalam perkhidmatan ini tidak mempunyai lesen atau insurans yang sah. Ini bermakna penumpang tidak mempunyai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg