Orang ramai yang ingin mengitar semula barangan elektronik besar mereka seperti peti sejuk, alat hawa dingin, mesin cuci baju dan televisyen boleh melakukannya dengan lebih mudah mulai 2025.
Ini kerana mereka boleh memanfaatkan satu khidmat percuma yang akan ditawarkan kepada semua isi rumah - perumahan awam dan privet - di Singapura.
Mengumumkannya di acara Hari E-Sisa Antarabangsa di pusat beli-belah Westgate di Jurong East pada 13 Oktober, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, berkata khidmat itu akan membolehkan barangan elektronik besar dikutip dari rumah oleh syarikat ALBA, iaitu pengendali Skim Tanggungjawab Pengeluar (PRS) yang dilantik Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Dr Khor berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan langkah mengitar semula sisa elektronik, atau e-sisa, lebih mudah.
Di samping usaha baru itu, terdapat juga Skim Ambil Balik 1-untuk-1 Peruncit dan khidmat pembuangan sisa besar kendalian majlis bandaran.
“Saya amat menggalak semua orang untuk memanfaatkan sepenuhnya khidmat percuma ini untuk membuang peralatan rumah besar yang tidak diperlukan lagi,” kata beliau.
Singapura menghasilkan sekitar 60,000 tan e-sisa setiap tahun, dan untuk menangani masalah tersebut, NEA telah melaksanakan skim Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar (EPR) bagi pengurusan e-sisa sejak tiga tahun lalu.
Skim itu menjadikan pengeluar peralatan elektrik dan elektronik tertentu bertanggungjawab untuk memastikan kutipan dan rawatan produk yang betul pada akhir hayat peranti atau perkakas.
Sejak itu, jumlah e-sisa yang dikutip telah meningkat di Singapura, daripada 3,500 tan pada Februari 2022 kepada lebih 22,300 tan hingga September 2024.
Bilangan tempat kutipan e-sisa juga telah bertambah daripada 300 kepada sekitar 870 tempat di serata Singapura, seperti kedai elektronik, pusat beli-belah, kelab masyarakat, pasar raya dan bangunan pemerintah serta komersial.
Namun begitu, Dr Khor berkata jumlah e-sisa di seluruh dunia semakin meningkat disebabkan kitaran hayat produk yang lebih pendek serta penggunaan alat elektrik dan elektronik yang berleluasa sedang jutaan alat seperti komputer riba dan telefon bimbit dibuang apabila ia menjadi lapuk atau tidak lagi berfungsi.
Menurut data Pemantauan E-Sisa Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada awal 2024, hanya sekitar 22 peratus e-sisa dikitar semula.
Peratusan itu dijangka turun kepada 20 peratus menjelang 2030 disebabkan perbezaan yang semakin besar antara usaha kitar semula berbanding jumlah e-sisa yang terus bertambah di seluruh dunia.
Di Singapura, Dr Khor berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, orang ramai sering membiarkan alat elektronik yang lama dan rosak disimpan di rumah disebabkan keprihatinan keselamatan data.
Justeru, beliau berkata adalah tepat tema bagi Hari E-Sisa Antarabangsa tahun ini, iaitu berkenaan keselamatan data untuk mewujudkan kesedaran tentang cara melindungi data peribadi sebelum menghantar alat yang mengandungi data untuk dikitar semula.
Contohnya, individu boleh mengambil langkah seperti log keluar semua akaun peribadi, mengeluarkan kad SIM dan memadamkan semua data dan fail sebelum memasukkan alat mereka ke dalam tong kitar semula e-sisa.
Di bawah undang-undang Singapura, semua alat mengandungi data yang dihantar ke tempat kitaran semula berlesen mesti terlebih dahulu menjalani “sanitasi data” dan penghapusan fizikal demi memastikan alat tersebut dikitar semula secara selamat, tambah Dr Khor.
Dr Khor turut menekankan pentingnya memastikan alat elektronik dirawat dan dikitar semula dengan betul apabila ia dibuang.
“E-sisa mengandungi logam berat dan bahan berbahaya, dan langkah pembuangan tidak betul boleh mencemarkan sekitaran dan membahayakan kesihatan awam.
“E-sisa juga mengandungi logam dan bahan lain yang perlu diperolehi semula untuk pembuatan produk baru. Ini mengurangkan keperluan mendapatkan lebih banyak bahan mentah.
“Langkah kitaran semula, justeru, merupakan cara penting untuk menangani masalah e-sisa dengan memastikan pengendalian dan pengekstrakan sumber dengan baik di akhir hayatnya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg