Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat refleksologi percuma diperkenal di tiga stesen MRT

Oct 24, 2025 | 6:06 PM
Persatuan Orang Kurang Upaya Penglihatan Singapura, SAVH, SMRT, free massage
SMRT memperkenalkan perkhidmatan urut bahu percuma hasil kerjasama dengan tukang urut daripada Persatuan Orang Kurang Upaya Penglihatan Singapura (SAVH). - Foto ST

Penumpang kereta api kini boleh mendapatkan khidmat urut bahu percuma selama 10 minit di tengah perjalanan mereka, menerusi perkhidmatan refleksologi yang diperkenalkan oleh pengendali rel SMRT di tiga stesen MRT. 

Daya usaha itu merupakan yang pertama seumpamanya dalam rangkaian pengangkutan awam tempatan.

Ia dilancarkan dengan kerjasama tukang urut daripada Persatuan Orang Kurang Upaya Penglihatan Singapura (SAVH), kata SMRT dalam satu kenyataan pada 24 Oktober.

Perkhidmatan itu bermula di stesen Kent Ridge pada 24 Oktober; sebelum diperluas ke stesen Tanjong Pagar pada 17 November; dan stesen Shenton Way pada 1 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Sebanyak 38 slot urut akan disediakan bagi setiap sesi, dan pendaftaran berdasarkan ‘yang dahulu, didahulukan’.

Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, berkata daya usaha itu bertujuan membantu penumpang melegakan tekanan.

Pengendali rel itu turut berharap program tersebut dapat mewujudkan peluang pekerjaan bermakna bagi tukang urut yang mempunyai cabaran penglihatan.

Pengarah Eksekutif SAVH, Encik Samuel Choo, berkata pihaknya berbesar hati dapat menonjolkan kemahiran dan kepakaran tukang urut dengan cabaran penglihatan.

Beliau menambah, harapannya adalah untuk “memupuk keterangkuman lebih tinggi dan memberi peluang kepada lebih ramai individu dengan cabaran penglihatan untuk menyumbang secara aktif kepada masyarakat”.

Di samping itu, SMRT telah memperluas kios kesihatan ke empat lagi stesen MRT di Laluan Circle – iaitu stesen Kent Ridge, Labrador Park, one-north dan Tai Seng – pada 24 Oktober.

Kios kesihatan itu membolehkan penumpang mengakses alat pemeriksaan kesihatan asas seperti untuk mengukur tekanan darah dan Indeks Jisim Tubuh (BMI).

Kios sedia ada SMRT di stesen Tanjong Pagar dan Promenade telah mencatat lebih 200,000 bacaan tekanan darah, sejak daya usaha itu dilancarkan pada Ogos 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg