Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhidmat ulang-alik tanpa pemandu ComfortDelGro kini percuma di Punggol
Khidmat ulang-alik tanpa pemandu ComfortDelGro kini percuma di Punggol
Penduduk kini boleh menempah kenderaan berautonomi (AV) melalui aplikasi Zig atau BookingSG untuk perjalanan di sekitar Punggol.
Khidmat ulang-alik tanpa pemandu ComfortDelGro kini percuma di Punggol
ComfortDelGro (CDG) kini menawarkan perkhidmatan ulang-alik Kenderaan Berautonomi (AV) percuma buat orang ramai di Punggol.
Mulai 22 Jun, perkhidmatan percuma ini boleh ditempah menerusi aplikasi Zig atau platform BookingSG yang disokong pihak pemerintah.
Kenderaan ini menyusuri laluan 25 minit yang menghubungkan Punggol Coast Mall, One Punggol/stesen LRT Sam Kee, serta Blok 420A Northshore Drive.
Perkhidmatan ini beroperasi setiap hari dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Bermula Julai, laluan perkhidmatan 50 minit baharu akan menghubungkan Oasis Terraces, Punggol Plaza serta kawasan perumahan Waterway Sunrise I dan II.
Menurut The Business Times (BT), Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan CDG, Encik Cheng Siak Kian, menjelaskan bahawa syarikat sedang ‘menyelaraskan teknologi, prasarana dan pengetahuan operasi AV bagi menawarkan perkhidmatan yang selamat dan meluas’.
“Pelancaran ini membina keyakinan kami untuk mencapai sasaran menjelang 2030,” katanya.
Pada 22 Jun, Menteri Negara Kanan, Cik Sun Xueling, meluangkan masa di Blok 420A Northshore Drive untuk menyantuni para penumpang yang mencuba perkhidmatan AV.
Menerusi hantaran Facebook, beliau berkongsi bahawa lebih 6,000 penduduk telah dijemput mencuba khidmat AV menerusi tiga laluan berbeza sejak Januari.
Beliau yang juga Anggota Parlimen GRC Punggol berkata: “Saya berharap kenderaan autonomi ini dapat meningkatkan keselesaan dan ketersambungan penduduk serta pengunjung Punggol.”
Projek di Punggol menandakan mercu tanda kedua buat CDG, menyesuli jejak perkhidmatan serupa di Guangzhou, China, yang bermula sejak Mac 2025.
Bercita-cita besar, CDG menyasarkan kenderaan autonomi (AV) merangkumi 10 peratus daripada rangkaian globalnya menjelang 2030, sekaligus memperkukuh kehadirannya di Singapura dan China.
Sejak April lalu, pengalaman masa depan ini telah dirasai oleh lebih 1,500 individu menerusi jemputan khas daripada CDG.
Buat masa ini, lima unit AV pintar telah sedia beroperasi dalam rangkaian kenderaan syarikat.
Langkah proaktif ini mencerminkan azam syarikat tempatan untuk meneroka sempadan teknologi sambil meninjau perspektif awam bagi membentuk kerangka undang-undang yang matang sebelum pengkomersialan penuh.
Punggol kini menjadi medan ujian bagi dua gergasi: CDG yang bekerjasama dengan Pony.ai, serta Grab yang berganding bahu dengan WeRide dari China.
Grab telah menawarkan perkhidmatan percuma yang merangkumi tiga laluan berbeza kepada orang ramai sejak 1 April 2026.
Walau bagaimana pun, perincian mengenai jadual waktu dan struktur kos bagi fasa berbayar masih lagi dalam pertimbangan.
Laporan ada Mac lalu mencadangkan fasa pengenalan ini kekal percuma, sebelum tambang sekitar $4 dijangka mula diperkenalkan pada pertengahan 2026.
CDG belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi dan butiran harga yang akan dikenakan kepada pengguna kelak.
Namun, syarikat itu mengesahkan rundingan aktif sedang dijalankan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menentukan kadar yang sewajarnya.
Grab juga menanti masa yang sesuai untuk memulakan fasa berbayar, dengan jangkaan kadar tambang tetap pada harga $4.
