Berikut adalah kandungan khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, pada sesi solat Hari Raya pertama di Masjid Al-Iman yang terletak di Bukit Panjang Ring Road pada 31 Mac.
Sekitar 3,500 anggota jemaah hadir untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri sesi pertama di masjid tersebut, termasuk Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) termasuk Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, serta Pengerusi Masjid Al-Iman, Encik Ridzwan Abu Bakar.
Muslimin Muslimat yang saya hormati,
Pagi ini, kita bangkit dari lena dengan penuh kesyukuran.
Bersyukur kerana telah dianugerahkan Allah nikmat bertemu dan melengkapkan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Bersyukur kerana telah dikurniakan kekuatan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan ketaatan dan keihsanan.
Bersyukur kerana telah merasakan besarnya nikmat rahmat dan kasih sayang Allah swt sepanjang sebulan.
Kesyukuran ini dilafazkan melalui takbir dan tahmid – bahawa Allah Maha Besar; Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah; dan segala pujian hanya milik Allah swt.
Firman-Nya di penghujung ayat berpuasa Ramadan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185.
Yang bermaksud: “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (Ramadan), dan supaya kamu (bertakbir) mengagungkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
Semoga Ramadan yang baru sahaja meninggalkan kita telah mengukuhkan takwa, menyuburkan sanubari, menyegarkan rohani, dan mensucikan hati.
Lantas kita lebih bersedia untuk terus mencari kebaikan dan yakin menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan.
Muslimin Muslimat Yang Dirahmati Allah,
Di samping kita merayakan kemenangan dan meraikan kegembiraan pada pagi Aidilfitri ini, kita perlu terus beristiqamah dalam mencari keredaan dan rahmat Allah swt.
Ia tidak terhenti dengan berlalunya Ramadan.
Bahkan, Ramadan telah membekalkan kita dengan tiga nilai agar kita dapat beristiqamah di atas jalan kebaikan.
Nilai yang pertama adalah kesyukuran, seperti yang baru disebutkan, di atas segala nikmat dan anugerah dari Allah swt. yang telah menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang dapat menghidupkan Ramadan.
Hamba yang benar-benar bersyukur kepada Allah swt akan sentiasa mengejar kebaikan, dengan penuh istiqamah dan ketelitian, di dalam, dan di luar bulan Ramadan.
Hadirin hadirat sekalian, inilah pengertian sebenar kesyukuran.
Ia bukan sekadar pengiktirafan di dalam hati atau ucapan pada lisan.
Kesyukuran juga ditunjukkan dengan mengerjakan kebaikan dan ketaatan secara berterusan. Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Saba’, ayat 13.
Yang bermaksud: “Beramallah wahai keluarga Daud (untuk) bersyukur, (dan sememangnya) sedikit sekali di kalangan hamba-hamba-Ku yang benar-benar bersyukur.”
Masih terdapat banyak lagi wadah dan peluang untuk kita usahakan dan perbaiki.
Kita berharapan usaha yang berterusan ini menjadi bukti kesyukuran dalam diri.
Kita akur, kehidupan di dunia ini tidak sunyi dari cabaran.
Bahkan, dunia masakini tampak semakin tenat, dengan pelbagai bentuk persengketaan, kerosakan dan kebinasaan.
Dalam menghadapi realiti ini, setiap daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan.
Sifat syukur membangkitkan orang beriman untuk terus berusaha menyumbang ke arah kesejahteraan.
Dia bijak memanfaatkan nikmat Allah ke atas dirinya untuk merancang kebaikan jangka panjang, demi agama dan masyarakat.
Di negara kita, institusi-institusi agama memainkan peranan besar dalam membentuk kehidupan beragama masyarakat Islam.
Kita semua, tanpa pengecualian, bertanggungjawab memelihara nikmat ini dan menyokong usaha-usaha untuk memelihara dan membangun institusi sedemikian, khusus bagi generasi-generasi akan datang.
Kita perlu bersatu menyokong usaha ini agar kepimpinan dan kehidupan beragama kita sentiasa berpaksikan keihsanan, rahmah, dan kesantunan, seperti yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Agar anak-anak dan remaja-remaja kita menjadi insan acuan Al-Quran.
Menjadi tauladan kerana berakhlak mulia, menjunjung nilai murni, menjalin hubungan baik sesama insan, dan menyumbang ke arah kemaslahatan jagat.
Muslimin Muslimat sekalian,
Nilai yang kedua adalah keihsanan dan rahmah.
Sepanjang bulan Ramadan yang lalu, kita telah merasakan rahmat dan kasih sayang Allah yang berterusan.
Allah swt, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya yang merangkumi segala sesuatu, menganugerahkan pengampunan-Nya bagi sesiapa sahaja, selagi mana mereka bersungguh-sungguh mendambakan bimbingan-Nya.
Latihan kerohanian yang kita jalani di bulan Ramadan melahirkan sikap keihsanan dan rahmah di dalam jiwa.
Kita merasakan kebergantungan pada bantuan dan rahmat Allah.
Kita lebih sedar tentang kekurangan dan keterbatasan kita.
Kita juga menjadi lebih peka tentang keadaan manusia yang berada dalam kesempitan dan memerlukan bantuan.
Maka tidakkah sepatutnya, kita, sebagai hamba yang bergantung pada bantuan Ilahi, wajar bersikap prihatin dan mengambil berat tentang keadaan manusia yang dihimpit kesempitan?
Apatah lagi dalam suasana pergolakan dunia yang menyemai bibit-bibit kebencian yang semakin berleluasa.
Antara lain, ia disebabkan lenyapnya nilai ihsan dalam jiwa manusia, digantikan dengan sikap hanya mementingkan diri sendiri.
Sifat belas ihsan hilang sama sekali, sehinggakan ia begitu daif untuk menyaksikan penderitaan manusia sebagai satu undangan untuk membantu dan membela.
Umat manusia berada dalam keadaan yang amat merbahaya dan tenat apabila sifat ihsan lenyap.
Kerana itu, umat nabi Muhammad s.a.w. disuruh untuk sentiasa menzahirkan keihsanan.
Ia adalah di antara nilai teras bagi agama kita. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah swt telah menetapkan sikap ihsan atas setiap sesuatu.” (Riwayat Muslim).
Dengan itu, sebagaimana seorang Muslim Mukmin yang berusaha menjaga setiap keperluannya, kita juga perlu mengambil berat dan cuba membantu mereka yang dalam kesusahan, di mana sahaja mereka berada.
Nilai yang ketiga adalah keikhlasan.
Ibadah berpuasa pada bulan Ramadan telah melatih dan menyuburkan keikhlasan dalam diri kita.
Kerana hanya Allah swt yang tahu sama ada kita benar-benar menahan diri daripada makan dan minum, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Hadirin hadirat sekalian, keikhlasan bererti kita tidak melakukan kebajikan kerana menantikan penghargaan dan pandangan manusia, tetapi hanya mencari penerimaan dari Allah swt.
Kerana sesungguhnya, pengiktirafan makhluk tidak dapat mewujudkan kecekalan hati untuk terus menjaga puasa, sedekah, dan perilaku kita, di luar pandangan manusia.
Dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. menggambarkan satu golongan yang begitu mulia kerana keikhlasan mereka.
Yakni orang yang menyembunyikan amalan sedekahnya, dengan perumpamaan sehinggakan tangan kirinya tidak tahu tentang sedekah yang dihulurkan tangan kanannya.
Keikhlasan adalah kunci bagi usaha dan amalan yang istiqamah dan berterusan.
Ia tidak pasang dan surut, kerana Tuhan yang memerhatikan sentiasa wujud melihat segala amalan kita. Firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 19.
Yang bermaksud: “Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.”
Hari ini, kita sering terpanggil untuk membuat atau melaungkan sesuatu, kerana desakan orang atau kepentingan tertentu.
Melalui wadah media sosial, kita sendiri menyaksikan manusia berlumba-lumba memperlihatkan kebajikan yang dilakukannya.
Sehinggakan taubat yang seharusnya rahsia di antara kita dan Tuhan juga diiklankan dan ditayangkan kepada semua.
Ingatlah, keikhlasan perlu dijadikan landasan untuk memperbaiki diri dan membangun masyarakat dan negara, kerana sifat ikhlas yang akan membantu kita untuk terus istiqamah dalam apa sahaja yang kita lakukan.
Saudara Saudari yang dirahmati Allah,
Semoga kesyukuran yang kita ucapkan pada hari ini tidak hanya membasahi lidah, tetapi meresap ke dalam hati dan dilahirkan melalui amal perbuatan.
Semaikanlah dalam diri kita keihsanan, terus meneliti dan memperhalusi lagi keikhlasan, agar semangat melakukan kebajikan terus berkekalan.
Moga Allah terima setiap amal ibadah yang telah kita lakukan, dan mengurniakan kita kegembiraan, di dunia dan di akhirat kelak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg