Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $1j dikumpul dalam kempen kutipan dana untuk Gaza

Masagos: Ini buktikan masyarakat di S’pura terus prihatin terhadap mangsa Gaza walau ekon dunia tidak menentu
Mar 31, 2025 | 12:21 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tiga dari kiri) bersama anggota jemaah selepas menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Iman pada 31 Mac, yang diimamkan oleh Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (dua dari kanan). Bersama beliau ialah Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman (kiri); dan Pengerusi Masjid Al-Iman, Encik Ridzwan Abu Bakar (dua dari kiri)
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tiga dari kiri) bersama anggota jemaah selepas menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Iman pada 31 Mac, yang diimamkan oleh Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (dua dari kanan). Bersama beliau ialah Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman (kiri); dan Pengerusi Masjid Al-Iman, Encik Ridzwan Abu Bakar (dua dari kiri) - Foto ST

Di sebalik ekonomi dunia yang tidak menentu, rakyat Singapura bermurah hati memberi sokongan dengan menyalurkan derma kepada dana bantuan kemanusiaan mangsa di Gaza, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dalam tempoh sebulan lalu, lebih $1 juta telah dikumpul dalam kempen kutipan dana untuk Gaza, hasil kerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Berkata demikian selepas sesi solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Iman, yang terletak di Bukit Panjang Ring Road, pada 31 Mac, Encik Masagos berkata sambil masyarakat Melayu/Islam di Singapura menyambut Hari Raya bersama keluarga dan orang yang tersayang, adalah penting untuk mengingati mereka yang terus menderita akibat peperangan, konflik dan musibah yang melanda baru-baru ini.

“Alhamdulillah, dalam kita menjalani hidup yang aman, harmoni di Singapura, kita tidak lupa pada mangsa Gaza di Palestin, yang masih menjalani keadaan yang tidak stabil dalam kehancuran walaupun dalam suasana Aidilfitri.

“Walaupun ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu, masyarakat Islam kita, masyarakat umumnya, masih bermurah hati mengingati mereka yang menjadi mangsa peperangan di Gaza,” kata Encik Masagos.

Dalam sesi tersebut, Encik Masagos ditemani oleh pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), termasuk Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Pengerusi Masjid Al-Iman, Encik Ridzwan Abu Bakar.

Seramai 3,500 anggota jemaah hadir untuk sesi pertama solat Hari Raya Aidilfitri di masjid tersebut, yang diimamkan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Encik Masagos juga menyatakan bahawa Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah mengumpul lebih $1 juta dalam masa hanya sebulan untuk menyediakan bantuan kepada mangsa di Gaza.

Beliau juga memberikan penghargaan kepada pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang berlepas ke Myanmar pada 29 Mac untuk membantu mangsa gempa bumi di sana.

Ramai dalam kalangan 80 anggota pasukan Operation Lionheart (OLH) adalah pegawai Melayu/Islam yang meninggalkan keluarga mereka, meskipun dalam tempoh sambutan Hari Raya, demi menjalankan tugas kemanusiaan, kata Encik Masagos.

Sementara itu, Encik Masagos juga mengunjungi inisiatif masyarakat Masjid Al-Iman, iaitu Our Community Pantry, atau Pantri Masyarakat Kita, yang bertujuan untuk menangani masalah kekurangan makanan dalam kalangan masyarakat melalui bantuan bersama.

Dirasmikan oleh Menteri Ehwal Luar yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan, pada Ogos 2022, inisiatif tersebut telah menyediakan bantuan barangan makanan kepada lebih 250 keluarga yang memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama.

Encik Masagos juga menekankan pentingnya rakyat bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dinikmati di Singapura, serta mengajak masyarakat untuk terus bersatu demi kemajuan bersama.

“Kita telah dapat mendengar daripada Mufti tadi dalam khutbahnya, yang menekankan betapa kita harus meningkatkan kesyukuran kerana kita hidup dalam negara yang aman dan makmur, dan dapat menjalankan ibadah kita dengan tenang dan berharmoni dengan masyarakat lain,” kata beliau.

Dalam khutbah yang bertajuk Nilai-Nilai Murni: Kesyukuran, Keihsanan dan Keikhlasan, Dr Nazirudin menekankan pentingnya terus meneruskan amalan baik yang diperolehi sepanjang Ramadan.

Ini termasuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, terutamanya menerusi rasa syukur, ihsan dan ikhlas.

Menyentuh tentang kesyukuran, Dr Nazirudin menekankan bahawa sifat syukur bukan hanya sekadar pengiktirafan dalam hati atau diucapkan dengan lisan, tetapi juga diterjemahkan melalui amalan kebaikan yang berterusan.

Berkenaan dengan keihsanan, beliau berkata melalui latihan kerohanian semasa Ramadan, masyarakat Islam akan menjadi lebih sedar tentang kekurangan dan keterbatasan diri, serta lebih peka terhadap keadaan orang lain yang berada dalam kesempitan dan memerlukan bantuan.

“Umat manusia berada dalam keadaan yang amat merbahaya dan tenat apabila sifat ihsan lenyap. Kerana itu, umat Nabi Muhammad saw disuruh untuk sentiasa menzahirkan keihsanan.

“Dengan itu, sebagaimana seorang Muslim Mukmin yang berusaha menjaga setiap keperluannya, kita juga perlu mengambil berat dan cuba membantu mereka yang dalam kesusahan, di mana sahaja mereka berada,” ujar beliau.

Mengenai keikhlasan, Mufti juga mengingatkan masyarakat Islam bahawa keikhlasan bukan untuk mendapatkan pengiktirafan manusia, tetapi hanya untuk mencari keredaan Allah swt, yang mana setiap tindakan perlu dilakukan dengan niat yang tulus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg