Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah memaparkan semangat bersatu-padu yang kukuh sepanjang Ramadan, dengan berganding bahu untuk memberi sumbangan dan membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang menghadapi bencana, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Ini bukan sahaja dilihat di peringkat negara, dengan masjid-masjid di sini berusaha membantu golongan yang memerlukan seperti melalui inisiatif ‘Our Community Pantry’ atau Pantri Masyarakat, di Masjid Al-Iman di Bukit Panjang, yang menyediakan bekalan makanan kepada keluarga susah tanpa mengira bangsa atau agama.
Bahkan, semangat murni dan murah hati ini turut dilihat di peringkat antarabangsa, di mana masyarakat Melayu/Islam dan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang bersama-sama menyokong kempen kutipan dana untuk Gaza, hasil kerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Berkat sokongan padu masyarakat dan rakyat, kempen tersebut berjaya mengumpulkan hampir $1 juta sejauh ini, kata Encik Masagos.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut, yang bakal menyediakan makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza demi meringankan beban mereka di sana.
Encik Masagos berkongsi demikian dalam Amanat Hari Raya Aidilfitri 2025 yang disampaikan dari Masjid Al-Iman pada 30 Mac.
Menyifatkan sifat gotong-royong sebagai tonggak masyarakat, Encik Masagos berkata:
“Saya gembira melihat semangat bersatu-padu yang kukuh dalam masyarakat kita.
“Sempena kita meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura tahun ini, semangat kepedulian, sumbangan dan kerjasama terus diperkukuhkan dalam masyarakat.
“Kita juga berganding bahu membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang menghadapi bencana,” tambah beliau, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Encik Masagos melahirkan rasa syukur masyarakat Melayu/Islam dapat berkumpul untuk mengerjakan ibadah dan mempereratkan silaturahim pada Ramadan kali ini dalam keadaan yang tenang, aman dan selesa di masjid serta kariah.
Masjid-masjid menyambut jemaah untuk pengagihan bubur, berbuka puasa, solat tarawih, sesi ceramah dan pelbagai kegiatan lain.
Pada masa yang sama, masyarakat dapat melakukan kerja-kerja amal yang menyumbang kepada keharmonian agama dan perpaduan sosial di Singapura, tambah beliau.
“Pada dasarnya, kebaikan dan kemajuan ini dipacu keperibadian yang tinggi, kemahiran yang tajam dan kewarganegaraan yang kukuh.
“Semuanya merupakan teras Masyarakat Gemilang kita,” kata beliau.
Encik Masagos menggesa agar masyarakat terus memupuk nilai-nilai murni yang disemai sepanjang Ramadan seperti sifat belas ihsan, prihatin dan murah hati, semasa bulan Syawal ini.
“Bersama-sama, kita dapat membuat perubahan positif dan meninggalkan warisan yang boleh dibanggakan generasi akan datang – mencerminkan visi ‘Masyarakat Gemilang, Masa Depan Cemerlang’.
“Bagi pihak rakan-rakan Anggota Parlimen, saya Masagos Zulkifli mengucapkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg