Perbicaraan ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, semakin hangat pada 6 November apabila pihak pendakwaan mendesak Ketua Pembangkang itu mengenai pembohongan yang didakawa dilakukannya.
Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock bertanya Encik Pritam mengenai pertemuannya pada 3 Oktober 2021 dengan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang ketika itu, Cik Raeesah Khan, mengenai pembohongannya di Parlimen.
Dalam satu sesi soal balas hangat, DAG Ang mempersoal persediaan Encik Pritam bagi kemungkinan Cik Raeesah mengaku mengenai pembohongannya di Parlimen pada 4 Oktober 2021.
Selepas beberapa kali ditanya, DAG Ang mencelah Encik Pritam supaya “berhenti” bercakap, sebelum Encik Pritam mengakui tiada persediaan yang dibuat.
DAG Ang kemudian berkata Encik Pritam bertindak berdasarkan andaian bahawa Cik Raeesah tidak akan membuat pengakuan pada 4 Oktober, namun Encik Pritam tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Encik Pritam, 48 tahun, berada di mahkamah untuk memberi keterangan atas dua pertuduhan.
Beliau dituduh berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) pada Disember 2021, apabila beliau disoal mengenai niatnya berhubung anekdot palsu Cik Raeesah.
Cik Raeesah, AP baru yang mengendalikan GRC Sengkang selepas Pilihan Raya Umum 2020, berkongsi di Parlimen pada 3 Ogos 2021 bahawa beliau telah pergi ke balai polis bersama seorang mangsa rogol. Anekdot itu kemudian didedahkan sebagai palsu.
Cik Raeesah tidak pergi ke balai polis dengan seorang mangsa rogol, tetapi beliau mangsa serangan seksual pada usia 18 tahun.
DAG Ang memulakan soal jawabnya dengan membawa Encik Pritam mengimbas kembali jawapannya kepada COP pada Disember 2021 dan mengulasnya.
DAG Ang menunjukkan percanggahan antara keterangan Encik Pritam di mahkamah dan semasa perbicaraan COP pada 2021, misalnya sama ada Encik Pritam menjangka Cik Raeesah akan berkata benar pada 4 Oktober.
Di COP, Encik Pritam berkata beliau perlu menjelaskan perkara itu, sama ada ia dibangkitkan atau tidak, tetapi di mahkamah beliau berkata beliau boleh menangani perkara itu pada kemudian hari jika ia tidak dibangkitkan.
Encik Pritam menafikan kata-katanya tidak konsisten, tetapi menambah beliau sepatutnya menyemak dengan Cik Raeesah sebelum itu sama ada Cik Raeesah telah memberitahu ibu bapanya mengenai pembohongannya, agar bekas AP itu dapat menjelaskan perkara itu lebih awal.
Perbicaraan disambung pada 7 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg