Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program bercerita asal Jepun perkasa warga emas, galak perkongsian silang generasi

Jan 18, 2026 | 4:11 PM
Program bercerita asal Jepun, perkasa warga emas, galak perkongsian silang generasi
Warga emas berkongsi cerita dengan generasi muda dalam satu program perintis yang diadaptasi daripada model Reprints (Penyelidikan Produktiviti oleh Simpati Silang Generasi) asal Jepun yang terkenal. Turut hadir pada acara pelancaran program tersebut ialah Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How (duduk, kiri). - Foto ST

Sekitar 40 warga emas di sini akan diperkasa untuk membongkar dan mengembangkan bakat bercerita mereka sekali gus membuka pintu kepada pembelajaran sepanjang hayat, hubungan sosial yang lebih mendalam dan perkongsian silang generasi yang bermakna.

Berkongsi cerita dengan generasi muda membolehkan warga emas ini memberi inspirasi, selain menghubungkan dan mengukuhkan ikatan masyarakat.

Ia juga dapat mewujudkan pelbagai peluang baru untuk penglibatan dan pertumbuhan.

Hal tersebut dilakukan melalui satu program latihan bercerita asal Jepun, namun dengan program di sini disesuaikan.

Diadaptasi daripada model Reprints (Penyelidikan Produktiviti oleh Simpati Silang Generasi) asal Jepun yang terkenal, inisiatif perintis tersebut diusahakan oleh Persatuan Khidmat Lions Befrienders (Singapura) (LBSA) dengan kerjasama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Vanguard Healthcare.

Reprints dilancarkan pada 2004 oleh Institut Gerontologi Metropolitan Tokyo (TMIG) dan telah mengubah hubungan antara generasi di Jepun dengan membolehkan warga emas membacakan buku bergambar kepada kanak-kanak.

Sejak pelancarannya, Reprints telah dibangunkan di Jepun dengan tujuan menggalak penyertaan sosial dan persefahaman bersama merentasi generasi dengan melibatkan warga emas dengan kanak-kanak melalui penceritaan.

Melalui kajian terkumpul, program itu telah menunjukkan manfaat psikologi dan sosial kepada warga emas dan kanak-kanak hasil daripada interaksi silang generasi.

Kini, buat kali pertama, Singapura akan menyesuaikan pendekatan yang terbukti ini dengan menggabungkannya bersama model pembelajaran gaya perantisan Jepun yang melatih warga emas dalam seni bercerita.

Satu bengkel dua hari telah diadakan pada 17 dan 18 Januari di Pusat Latihan Lions Befrienders di Stirling Road untuk melatih warga emas yang terlibat.

Sekitar 40 warga emas menghadiri bengkel tersebut dengan latihan dijalankan tiga pakar dari Jepun – dua penyelidik berpengalaman yang boleh berbahasa Cina dan pengurus program mereka.

Pelancaran program tersebut turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.

“Kami berbesar hati program ini kini sedang diadaptasi dan dilaksanakan di Singapura, sebuah masyarakat berbilang budaya, dengan cara yang mencerminkan konteks budaya setempat.

“Penceritaan mempunyai kuasa universal untuk menghubungkan orang ramai melangkaui perbezaan bahasa dan budaya,” kata ketua program Reprints, TMIG, Dr Tomoya Takahashi.

Program perintis itu akan menggabungkan buku bergambar Chingay Unesco pertama bertajuk My Little Chingay Float oleh Persatuan Rakyat (PA) sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan untuk memahami dan mempelajari perbezaan budaya tentang bagaimana hubungan silang generasi diperkukuh melalui penceritaan di Singapura dan Jepun.

Inisiatif itu juga sejajar dengan inisiatif kebangsaan Age Well SG atau Sihat Menua SG yang menggalakkan penuaan aktif dan ikatan masyarakat yang lebih kukuh.

“Inisiatif ini memupuk penuaan aktif dan hubungan yang bermakna – memastikan warga emas terus rasa terlibat, dihargai dan mempunyai tujuan dalam masyarakat yang mereka bantu bentuk.

“Interaksi silang generasi ini membina pengalaman bersama yang memberi semua orang akses kepada perspektif generasi, belajar daripada dan menghargai satu sama lain, membantu memupuk persefahaman dan kesepaduan masyarakat,” ujar Pengerusi LBSA, Encik Alex Lim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg