Kim Yong: Ingat masa lampau, pandang ke hadapan, usah terperangkap dalam sejarah
Kim Yong: Ingat masa lampau, pandang ke hadapan, usah terperangkap dalam sejarah
BEIJING – Rantau ini tidak boleh melupakan kesan akibat keganasan dan peperangan, mahupun mengambil mudah keamanan dan kemakmuran, jelas Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong yang menulis di media sosial pada 3 September, selepas menghadiri perarakan tentera di Beijing.
“Adalah penting untuk kita mengingati masa lalu dan menghormati pengorbanan jutaan nyawa yang terkorban... Namun, kita juga mesti melihat ke hadapan dan tidak terperangkap dengan sejarah,” tulisnya di Facebook.
“Singapura tetap komited untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi kami untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau demi kemakmuran dan kemajuan kolektif kami,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa rantau ini telah melangkah jauh sejak tamat Perang Dunia Kedua, lapan dekad lalu.
Awal daripada itu Encik Gan menghadiri Perarakan di Dataran Tiananmen, di atas jemputan China.
Perarakan itu menandakan 80 tahun kekalahan Jepun pada penghujung Perang Dunia Kedua.
Encik Gan dikatakan menyaksikan perarakan tersebut daripada Menara Pintu Tiananmen, bersama pemimpin jemputan daripada lebih 20 negara, lapor The Straits Times.
Presiden China, Encik Xi Jinping diapit oleh Presiden Rusia, Encik Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.
Mereka yang hadir adalah daripada negara-negara yang telah diceroboh oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua atau telah menyumbang kepada usaha perang China.
Bagi Singapura, sebelum jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942, ramai penduduk telah menyumbang dana atau memboikot barangan Jepun bagi menyokong penentangan China selepas pencerobohan besar-besaran Jepun pada 1937.
Sebagai tindakan balas, tentera Jepun membunuh puluhan ribu orang dalam pembersihan yang dipanggil “Sook Ching”.
Di perarakan tersebut, senjata canggih dan kontinjen Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) telah dipamerkan, satu usaha oleh Parti Komunis China untuk mengukuhkan pemerintahan politiknya, serta pengorbanan mereka dalam masa perang sambil menonjolkan kekuatan ketenteraan dan kedudukan kuasa besar di pentas global.
Selepas perarakan, Encik Gan dan pemimpin lain menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Encik Xi di Dewan Besar Rakyat, hanya beberapa langkah dari Dataran Tiananmen.
Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berada di sana sejak 31 Ogos hingga 4 September bagi satu lawatan kerja ke China termasuk ke Guangzhou, Shenzhen dan Beijing.

