Topik diikuti
Pergi ke BHkuKios daftar masuk Lapangan Terbang Changi terjejas susulan gangguan teknikal
Beberapa syarikat penerbangan terpaksa kendali urusan secara manual
Kios daftar masuk Lapangan Terbang Changi terjejas susulan gangguan teknikal
Sebilangan kios daftar masuk layan diri di Lapangan Terbang Changi mengalami gangguan sementara pada pagi 2 November, menyebabkan terminal tidak dapat memproses urusan daftar masuk sendiri mahupun mencetak pas masuk penerbangan penumpang.
Changi Airport Group (CAG) memaklumkan bahawa masalah itu timbul sekitar 8.30 pagi “susulan gangguan global pada sistem Pemprosesan Awal Penumpang (APP)”.
Akibatnya, beberapa syarikat penerbangan terpaksa mengendalikan urusan daftar masuk secara manual.
“Lapangan terbang lain turut terjejas dengan masalah serupa,” tambah CAG sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST).
Gangguan itu berlarutan sekurang-kurangnya dua setengah jam, sebelum proses daftar masuk bagi semua syarikat penerbangan terjejas pulih seperti biasa pada kira-kira 11 pagi.
“Sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan Lapangan Terbang Changi membantu pihak syarikat penerbangan dan penumpang di terminal,” kata CAG.
Tinjauan ST di Lapangan Terbang Changi pada 10 pagi mendapati sebahagian kios daftar masuk layan diri di beberapa terminal kelihatan tidak beroperasi.
Di Terminal 3 (T3), skrin kios daftar masuk automatik di kaunter Garuda Indonesia kelihatan gelap sepenuhnya.
Penumpang bagi penerbangan GA829 ke Jakarta, yang dijadualkan berlepas pada 11.45 pagi, dilihat diarahkan ke lorong berasingan bagi pemeriksaan bagasi secara pantas.
Menurut laman maklumat penerbangan lapangan terbang itu, tiada penerbangan lain didapati tertangguh disebabkan gangguan berkenaan.
Sementara itu, kios di kaunter daftar masuk Singapore Airlines di T3 dilihat beroperasi seperti biasa.
Di Terminal 4 (T4), kios daftar masuk layan diri di barisan kaunter Korean Air dan Cathay Pacific didapati tidak berfungsi pada 10.30 pagi, dengan notis ‘taking a break’ (berehat sebentar) dipaparkan pada skrin.
Kios bagi syarikat penerbangan Sun PhuQuoc Airways turut dilihat tidak beroperasi.
Kira-kira 10 kumpulan penumpang dilihat beratur di kaunter daftar masuk manual pada 11.25 pagi.
Apabila ST meninjau Terminal 1 (T1) sekitar 12.30 tengah hari – selepas waktu CAG memaklumkan isu berkenaan telah diselesaikan – kebanyakan kios daftar masuk layan diri dilihat sudah beroperasi seperti biasa.
Namun, sistem berkenaan masih tidak berfungsi bagi beberapa syarikat penerbangan, termasuk China Southern Airlines dan Xiamen Airlines.
Barisan penumpang di kaunter daftar masuk manual China Southern Airlines bergerak lancar dengan lapan kaunter dibuka buat penumpang.
Sebaliknya, barisan penumpang yang menunggu giliran untuk mendaftar masuk dan mendaftar masuk bagasi di kaunter Xiamen Airlines bergerak lebih perlahan.
Scoot, sebuah lagi syarikat penerbangan yang terjejas di T1, memaklumkan melalui respons kepada pertanyaan media bahawa pihaknya mengalami gangguan pada proses daftar masuk penumpang selama kira-kira 45 minit pada pagi 2 November akibat masalah teknikal.
Syarikat penerbangan itu telah mengerahkan kakitangan tambahan di kaunter daftar masuk manual bagi membantu penumpang.
Di Terminal 2 (T2) pula, operasi kembali berjalan seperti biasa semasa ST membuat tinjauan pada sekitar 1.30 tengah hari, dengan sebahagian besar kios daftar masuk automatik beroperasi.
ST mendapati kakitangan yang mengenakan baju kemeja-T dengan logo SITA sedang menjalankan kerja penyelesaian masalah pada beberapa kios daftar masuk layan diri di T1 dan T2.
SITA merupakan penyedia prasarana teknologi maklumat (IT) global yang membekalkan perkhidmatan teknologi, rangkaian data dan komunikasi kepada syarikat penerbangan.
