Kira-kira separuh daripada 1,000 isi rumah yang mendaftar dalam satu program perintis untuk menggalakkan kurang penggunaan tenaga semasa tempoh puncak berjaya mengurangkan penggunaan tenaga mereka pada September sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tahap penggunaan biasa mereka.
Isi rumah tersebut menerima makluman sebanyak 15 kali daripada aplikasi pengendali utiliti SP Group untuk mengurangkan buat sementara atau menangguhkan penggunaan elektrik mereka.
Peserta dalam program itu perlu mengurangkan penggunaan elektrik sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tahap penggunaan biasa mereka semasa satu “acara langsung”, iaitu satu tempoh dua jam untuk meniru kegunaan waktu sibuk, bagi menerima ganjaran wang tunai.
Isi rumah tidak didenda jika tidak bertindak balas terhadap gesaan itu dengan menangguhkan penggunaan peralatan yang memakan tenaga tinggi atau mematikannya.
Program Perintis Tindak Balas Permintaan Isi Rumah itu, yang dilancarkan pada September oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan SP Group, akan berakhir pada 28 Februari 2025.
Mereka tidak mendedahkan jumlah tenaga yang dijimatkan pada September.
Program perintis itu bertujuan menggalakkan isi rumah yang dilengkapi meter bijak supaya mengurangkan penggunaan elektrik mereka secara aktif semasa tempoh permintaan tinggi, bagi mengurangkan tekanan pada grid nasional jika ada gangguan.
EMA berkata keputusan program perintis itu akan membolehkan SP Group menilai daya maju langkah memanfaatkan isi rumah untuk program tindak balas permintaan pada skala yang lebih luas.
Pihak berkuasa itu memberitahu The Straits Times (ST) bahawa memandangkan program perintis itu masih di peringkat awal, adalah terlalu awal untuk menentukan kesannya terhadap penggunaan tenaga, dan data tambahan boleh didapati selepas program itu tamat.
Usaha EMA untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam waktu sibuk termasuk program tindak balas permintaan untuk perniagaan yang dilancarkan pada 2016.
Usaha sedemikian penting sedang Singapura mula menggabungkan sumber tenaga yang berbeza ke dalam campuran tenaganya dalam usaha mengurangkan jejak karbon.
Tenaga suria, contohnya, boleh terputus-putus disebabkan oleh keadaan cuaca seperti litupan awan, manakala elektrik yang diimport berpotensi berubah-ubah berdasarkan ketersediaannya, keadaan pasaran dan kekangan penghantaran.
Menurut EMA, permintaan puncak grid nasional diramalkan meningkat setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, dan program tindak balas permintaan akan membantu memastikan grid itu berjalan lancar dan lebih cekap.
Puncak permintaan dalam sistem kuasa merujuk kepada puncak penggunaan elektrik oleh pengguna, yang lazimnya berlaku pada bulan-bulan yang lebih panas dalam setahun, dan apabila kegiatan komersial dan perusahaan berjalan pada kelajuan penuh pada sebelah petang.
Isi rumah dalam program perintis itu dilengkapi dengan meter elektrik bijak yang dipasang oleh SP Group.
Dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada Ogos, pengendali utiliti itu berkata ia telah memasang 900,000 meter elektrik bijak di premis kediaman dan bukan kediaman.
Pengguna dengan meter bijak itu, yang juga dikenali sebagai meter prasarana pemeteran lanjutan, boleh melihat penggunaan elektrik setiap setengah jam mereka pada aplikasi SP untuk menjejaki corak penggunaan mereka dan mencari cara untuk mengurangkan penggunaan elektrik mereka.
Kebanyakan isi rumah di Singapura kini menggunakan meter terkumpul untuk menjejaki penggunaan elektrik mereka, dengan SP Group menghantar pembaca meter kepada isi rumah ini setiap dua bulan untuk merekodkan penggunaan mereka.
Kesemua 1.58 juta akaun isi rumah di Singapura boleh menjangkakan meter bijak dipasang di premis mereka menjelang 2026, menurut laman Pasaran Elektrik Terbuka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg