Kisah lama yang diceritakan datuk dan neneknya bukan sekadar menjadi bahan perbualan keluarga bagi Nur Syakirah ’Alawiah Muhammad Redzuan.

Sebaliknya, pengalaman dan cerita mereka tentang Singapura pada masa lalu menjadi sumber inspirasi buat pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang itu untuk menghasilkan cerpen berunsur patriotik, genre yang tidak pernah dicubanya sebelum ini.

“Sebenarnya saya mendapat inspirasi bagi cerpen saya daripada kisah-kisah yang nenek saya selalu ceritakan sejak saya kecil lagi.

“Beliau selalu bercerita tentang kisah lamanya dengan rakan-rakannya dan juga cerita-cerita tentang sejarah Singapura,” kata Syakirah, 15 tahun.

Usaha anak sulung daripada keluarga tiga beradik itu membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai antara lima pemenang terbaik kategori sekolah menengah dalam Peraduan Menulis Cerpen ‘Orang Singapura’ anjuran Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Peraduan tahunan itu mula diperkenal pada 2025 dan mengundang pelajar untuk menghasilkan cerpen berdasarkan tema daripada lagu-lagu terpilih karya penggubah lagu terkenal Singapura, Allahyarham Zubir Said.

Bagi 2026, seramai 535 pelajar daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pendidikan posmenengah menyertai pertandingan tersebut, yang bertujuan menyediakan wadah buat penulis muda meluahkan kreativiti dan membina keyakinan dalam penulisan bahasa Melayu.

Seramai 30 pelajar muncul sebagai pemenang dan menerima anugerah mereka daripada Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi di majlis sambutan ulang tahun ke-20 MLLPC di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 19 September.

Mengulas tentang tema peraduan itu, Syakirah berkata menghasilkan cerpen berunsur patriotik bukan sesuatu yang mudah baginya.

Sebelum ini, beliau lebih biasa menulis cerpen tentang kehidupan remaja, termasuk isu percintaan dan keluarga, yang lebih mudah digarap berdasarkan pengalamannya sendiri.

Justeru, apabila pertama kali mencuba genre patriotik, Syakirah mengakui beliau pada mulanya buntu mencari idea dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan ceritanya.

Bagi mengatasi cabaran itu, Syakirah kembali mengimbas cerita yang pernah dikongsi datuk dan neneknya.

Pada masa yang sama, beliau turut melakukan penyelidikan sendiri untuk memastikan ceritanya tepat dan mempunyai unsur sejarah yang kukuh.

“Walaupun ia sesuatu yang mencabar, saya menganggapnya sebagai peluang untuk mempelajari lebih tentang sejarah dan negara saya sendiri,” katanya.

Selain melakukan kajian, Syakirah turut mendapatkan idea menerusi perbualan bersama guru serta datuk dan neneknya.

Pengalaman tersebut akhirnya memberi keyakinan kepadanya bahawa beliau mampu keluar daripada zon selesa dalam penulisan.

Malah, proses mendapatkan inspirasi daripada datuk dan neneknya turut mengeratkan hubungan mereka.

Syakirah berkata kisah yang dikongsikan membolehkannya memahami dengan lebih mendalam pengalaman generasi dahulu yang tidak mungkin dapat dialaminya sendiri.