Singapura akan menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura yang bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Mengumumkannya dalam ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) berbahasa Melayu di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 18 Ogos, Encik Wong berkata lebih banyak butiran akan diumumkan kelak.
Menurut beliau, pembinaan kolej itu merupakan projek terbaru di bawah kerjasama erat antara pemerintah dan masyarakat Melayu/Islam.
Kolej Pengajian Islam itu pertama kali diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada 2016.
Gagasan itu kemudian digerakkan dan diusahakan oleh penggantinya, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Sejak diusulkan, pelbagai usaha telah dijalankan untuk merealisasikan pembinaan kolej itu termasuk lawatan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke negara seperti Mesir, Jordan dan Turkey untuk meninjau program-program kolej Islam di sana.
Encik Wong menjelaskan bahawa Singapura telah mencapai kemajuan hasil kerjasama dan kepercayaan yang sudah lama terjalin antara masyarakat Melayu dan masyarakat lain serta para pemimpin negara.
Tambahnya, setiap tahun, para pemimpin Melayu/Islam bekerja rapat dengan semua Perdana Menteri Singapura dalam pelbagai isu seperti meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan pengganasan, serta usaha memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan.
“Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani. Setiap kali, masyarakat Melayu/Islam kita berganding bahu dengan penuh azam, dipacu semangat gotong-royong yang padu. Setiap kali itu juga, anda menjaga antara satu sama lain dan sama-sama meraikan kejayaan anda.
“Projek terbaru ialah Kolej Pengajian Islam Singapura. Ia akan melahirkan para pemimpin Islam Singapura masa depan. Saya akan umumkan butirannya kelak,” jelas Encik Wong.
Beliau turut memberi komitmen untuk meneruskan usaha kerjasama kukuh antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam serta menghargai semua maklum balas dan pandangan masyarakat itu.
“Saya akan bekerja rapat dengan anda untuk tangani isu-isu yang dekat di hati anda.
“Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu/Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara kita dan mampu memainkan peranan anda sepenuhnya demi membentuk masa depan kita,” ujar beliau.
Encik Wong turut menekankan sokongannya dalam usaha membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang moden lagi progresif, yang pada masa sama tetap mengekalkan adat resam dan cara hidup yang tersendiri.
“Saya akan terus dampingi anda dan pastikan masyarakat Melayu/Islam maju ke hadapan. Bersama-sama para Menteri, Anggota Parlimen dan pemimpin Melayu/Islam kita, saya akan bekerjasama dengan anda demi mencapai visi kita, visi Masyarakat Gemilang,” kata Encik Wong.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut berkongsi perkembangannya dalam mempelajari Bahasa Melayu.
Menurut beliau, meskipun ibu bapanya berbual sesama mereka dalam bahasa itu semasa beliau kecil dan beliau sendiri tahu sedikit Bahasa Melayu, beliau tidak berpeluang mempelajarinya secara mendalam.
“Tetapi sekarang, saya sedang tekun belajar. Saya harap Bahasa Melayu saya akan bertambah baik. Atas sokongan anda semua, terima kasih!” tambahnya.
Sementara itu, Encik Wong berkongsi yang lebih ramai anak muda Melayu kini cemerlang dalam pelbagai bidang.
Antara yang ditukilnya ialah Cik Nabillah Jalal, anak Melayu Singapura pertama belajar di Royal College of Music di London dan kini memiliki sekolah muzik dan menyediakan pendidikan seni kepada belia kurang bernasib baik. Seorang lagi contoh ialah Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim, saintis yang membangunkan kit ujian Covid pertama di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg