Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura akan memenuhi keperluan sosioagama masyarakat Islam Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Mengalu-alukan pengumuman mengenai kolej tersebut, Encik Masagos berkata inisiatif itu akan memenuhi keperluan masyarakat melebihi usaha sedia ada seperti Wakaf Masyarakat Singapura, Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) dan Salam SG.
“Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal dibentuk akan melahirkan barisan ulama Islam Singapura masa hadapan. Terima kasih kepada PM Wong kerana menyokong pembangunan SCIS.
“Ia akan memperkasa barisan ulama Islam Singapura masa hadapan dengan kemahiran yang berlandaskan konteks Singapura,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dalam satu catatan di Facebooknya.
Semasa berucap di Rapat Hari Kebangsaan sulung beliau pada 18 Ogos, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata projek itu akan melahirkan pemimpin Islam Singapura masa depan. Butiran lanjut mengenainya akan dibentangkan kelak.
Projek itu kali pertama diusulkan pada 2016 oleh mantan menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Ketika itu, ia bertujuan melatih asatizah untuk memberi bimbingan agama yang bersesuaian dengan masyarakat Islam dalam konteks berbilang kaum dan agama Singapura.
Sementara itu, Encik Masagos dalam catatan Facebooknya turut menyanjung kejayaan dan sumbangan beberapa belia Melayu/Islam yang mendapat pengiktirafan Encik Wong dalam ucapannya.
Mereka termasuk Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy Ghazali; usahawan Encik Hafiz Kazman; saintis Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim, dan pemuzik, Cik Nabillah Jalal.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata mereka telah berjaya dalam bidang masing-masing dan turut meluangkan masa sebagai relawan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Dalam kiriman Facebooknya, Encik Masagos berkata: “Seperti yang dikongsi PM Wong, kejayaan mempunyai banyak definisi, dan kita harus meraikan kesemuanya. Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam telah mengikuti minat masing-masing dan berjaya dalam bidang kepakaran mereka, dan ini sesuatu yang harus kita banggakan.
“Saya bangga belia dan karyawan Melayu/Islam kita menempa nama dalam pelbagai bidang dan memaparkan semangat 3K – kemahiran, kewarganegaraan dan keperibadian – untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.”
Dalam ucapannya, Encik Wong mengetengahkan kecemerlangan profesional Cik Guy Ghazali sebagai Presiden Kanan wanita Mahkamah Syariah yang pertama, lantas membuka jalan bagi pemimpin wanita generasi masa depan.
Dr Muhammad Nadjad pula sebahagian daripada pasukan tempatan di sebuah syarikat bioteknologi yang membangunkan kit ujian Covid-19 pertama di Singapura dan kini mengetuai penerokaan syarikat itu di Arab Saudi.
Encik Hafiz, seorang pengasas bersama sebuah syarikat pemula teknologi pendidikan, telah berjaya menembusi pasaran Indonesia.
Cik Nabillah merupakan orang Melayu Singapura pertama memasuki Royal College of Music di London dan telah menubuhkan sebuah sekolah muzik sendiri yang menyediakan pendidikan seni kepada belia kurang bernasib baik.
Dalam hantarannya, Encik Masagos turut mengalu-alukan komitmen Encik Wong untuk terus bekerjasama lebih erat dengan masyarakat Melayu/Islam, sama seperti semua Perdana Menteri sebelumnya.
“Kita sedang mengorak langkah demi membina masyarakat Melayu/Islam moden dan progresif, sambil mengekalkan adat resam dan cara hidup kita yang tersendiri.
“Saya menyeru masyarakat supaya berganding bahu agar dapat mengukuhkan lagi kepercayaan yang sudah lama terjalin. Bersama-sama, kita akan membina masa hadapan yang makmur untuk Singapura,” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg