Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koloni penguin Bird Paradise sambut tiga ‘muka’ baru

Dec 5, 2024 | 7:34 PM
Penjaga penguin memberi makan kepada anak penguin ‘gentoo’ (kiri) dan penguin ‘rockhopper’ yang diselamatkan dari Australia (kanan).
Penjaga penguin memberi makan kepada anak penguin ‘gentoo’ (kiri) dan penguin ‘rockhopper’ yang diselamatkan dari Australia (kanan). - Foto MWG

Perayaan Krismas tiba lebih awal bagi koloni penguin di Bird Paradise, dengan kedatangan tiga ‘muka’ baru.

Dalam satu kenyataan pada 5 Disember, Mandai Wildlife Group (MWG) mengumumkan kejayaan pertama penetasan sepasang anak penguin gentoo, bersama kedatangan seekor penguin rockhopper utara yang diselamatkan dari Australia.

Ditempatkan di Ocean Network Express Penguin Cove, anak penguin gentoo tersebut menetas selang dua hari dan merupakan cahaya mata pasangan Riki dan Peach – yang tiba di Singapura dari Jepun, pada 2023 di bawah kerjasama antara MWG dengan Toyohashi Zoo & Botanical Park.

Anak pertama mereka yang menetas pada 25 November membesar dengan baik di bawah penjagaan ibu bapanya, namun penjaga penguin menyedari bahawa anak kedua haiwan itu kurang diberi makan.

Mengulas masalah itu, Cik Anais Tritto, penolong naib presiden MWG berkata:

“Riki dan Peach mungkin tidak mempunyai pengalaman membesarkan dua anak sekali gus. 

“Ini adalah cabaran semula jadi bagi ibu bapa kali pertama, bahkan dalam kehidupan liar, satu anak sahaja yang selalunya dapat terus hidup.”

Bagi memastikan kelangsungan hidup anak kedua, pasukan penjagaan penguin mengambil tindakan dengan mengeluarkan anak penguin berusia lapan hari itu untuk dibesarkan secara manual di bilik penyelidikan, dan pengunjung boleh melihatnya semasa waktu makan yang dijadualkan.

Anak pertama pula, akan kekal bersama ibu bapanya dan pengunjung boleh melihatnya membesar di habitat penguin Bird Paradise, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Cik Tritto, penetasan anak penguin gentoo itu adalah pencapaian pertama yang penting buat mereka.

Selain dua anak penguin itu, Pascale, seekor penguin rockhopper utara betina berumur setahun juga akan membuat penampilan pertama di habitat penguin pada pertengahan Disember selepas menjalani tempoh pengasingan selama dua minggu.

Diselamatkan pada Februari di Australia Barat, Pascale menjalani pemulihan di Perth Zoo sebelum tiba di Singapura pada 28 November.

Menurut MWG, habitat air garam sejuk di Ocean Network Express Penguin Cove sangat sesuai untuk memenuhi keperluan jangka panjang spesies ini.

Pascale akan diperkenalkan kepada Pierre, satu-satunya rockhopper utara lain di taman itu, dengan harapan mereka akan membentuk pasangan dan membantu usaha pemuliharaan spesies yang terancam itu.

“Kami teruja untuk menyambut kedatangan Pascale dan anak-anak penguin gentoo yang comel ke dalam keluarga (Bird Paradise),” kata Cik Tritto.

Bird Paradise, yang dibuka pada Mei 2024, kini menjadi tempat tinggal bagi lebih daripada 30 ekor penguin daripada empat spesies – gentoo, humboldt, king, dan rockhopper utara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg