Agensi dan rakan kongsi M3 sedang berusaha mengukuhkan beberapa komponen program berkaitan perkahwinan dan keluarga, bagi memberi sokongan lebih baik kepada pasangan dan keluarga dalam masyarakat Melayu/Islam.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyatakan hal ini pada taklimat media mengenai ‘Laporan Lima Tahun M3’ pada 10 Oktober di Hab Islam Singapura.
Di bawah daya usaha M3, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bekerjasama dengan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan rakan kongsi lain dalam mengukuhkan perkahwinan dan keluarga masyarakat Melayu/Islam, yang merupakan salah satu bidang tumpuan (FA 1) gerakan M3.
Dr Faishal menambah bahawa sokongan yang diberikan melalui program ini telah mendapat maklum balas positif daripada benefisiari.
Beliau memberikan contoh program ‘Bersamamu’, sebuah program di mana Kadi dan Naib Kadi memberi bimbingan kepada pasangan sebelum dan selepas perkahwinan, pada dua tahun pertama perkahwinan mereka.
“Hari ini, sekitar 30,000 pasangan telah memperoleh manfaat daripada ‘Bersamamu’. Maklum balas yang kami terima sangat positif, bukan sahaja daripada pasangan tetapi juga daripada keluarga dan ibu bapa mereka.
“Mereka berasa gembira kerana anak-anak mereka yang bakal berkahwin memperoleh tunjuk ajar daripada asatizah kami, serta meraih cara bagaimana mereka boleh dapatkan bantuan,” ujar Dr Faishal.
Program ‘Bersamamu’, yang diperkenalkan pada 1 Julai 2019, telah membantu pasangan untuk lebih memahami cabaran perkahwinan serta memberi inspirasi kepada Kadi dan Naib Kadi untuk terus mempertingkatkan diri.
“Mereka (Kadi) kini berkumpul dan benar-benar menyertai latihan khusus. Di samping itu, mereka juga berkongsi pengalaman, bagaimana mereka boleh mengemudi beberapa isu.
“Dengan berbuat demikian, mereka dapat meningkatkan diri mereka, memperkaya pengalaman yang mereka miliki, serta berkongsi sesama mereka,” tambah Dr Faishal yang menambah bahawa mereka akan terus mendalami kemampuan Kadi dan Naib Kadi agar dapat menerima bimbingan dan peluang untuk memainkan peranan mereka dengan baik.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Muis pada 13 Oktober, ROMM juga telah memperkenalkan modul baru dalam rangka kerja ‘Bersamamu’ seperti kesihatan mental dan latihan media sosial untuk Kadi dan Naib Kadi.
ROMM akan terus bekerjasama dengan Muis dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mengembangkan lagi kecekapan Kadi dan Naib Kadi.
‘Bersamamu’ juga telah menyertakan asatizah wanita supaya dapat memberikan nasihat agama dan dorongan emosi kepada kaum Hawa mengenai masalah keluarga dan pasangan suami isteri.
Satu lagi program utama ialah ‘Projek Arif’, yang dilancarkan pada 21 Mac 2021, sebagai kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Muis, dan Angkatan Karyawan Islam (AMP).
“Program ini bukan sahaja memberikan sokongan agama, ia juga menyediakan sokongan kesihatan dan sosial untuk anak dan ibu, sekali gus memberikan sokongan untuk seisi keluarga,” tambah Dr Faishal.
Sehingga kini, lebih 3,200 pasangan telah menerima manfaat daripada ‘Projek Arif’, yang merangkumi penjagaan semasa hamil, penyusuan, kesihatan mental, dan persediaan bersalin bagi ibu dan anak.
Program ‘Persediaan Perkahwinan Cinta Abadi dan Program Memperkaya Perkahwinan Cinta Abadi’ juga telah dilaksanakan untuk membantu pasangan membina asas kukuh dalam perkahwinan.
Program ini merangkumi topik seperti komunikasi, penyelesaian konflik, pengurusan kewangan, dan memahami perspektif Islam mengenai perkahwinan.
Kenyataan Muis itu turut berkongsi bahawa lebih 98 peratus peserta mendapati Program Persediaan Perkahwinan bermanfaat, manakala 91 peratus peserta memberi maklum balas positif selepas menghadiri Program Memperkaya Perkahwinan.
Dengan pelbagai program ini, M3 akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keluarga Melayu/Islam di Singapura.
Menurut Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian untuk 2023, bilangan perkahwinan orang Islam merosot daripada 6,010 pada 2022 kepada 5,396 pada 2023.
Dalam tempoh sama, perceraian orang Islam juga merosot daripada 1,505 pada 2022, kepada 1,200 pada 2023.
“
“Mereka berasa gembira kerana anak-anak mereka yang bakal berkahwin memperoleh tunjuk ajar daripada asatizah kami, serta meraih cara bagaimana mereka boleh dapatkan bantuan... Mereka (Kadi) kini berkumpul dan benar-benar menyertai latihan khusus. Di samping itu, mereka juga berkongsi pengalaman, bagaimana mereka boleh mengemudi beberapa isu. Dengan berbuat demikian, mereka dapat meningkatkan diri mereka, memperkaya pengalaman yang mereka miliki, serta berkongsi sesama mereka.”“
“Program ini bukan sahaja memberikan sokongan agama, ia juga menyediakan sokongan kesihatan dan sosial untuk anak dan ibu, sekali gus memberikan sokongan untuk seisi keluarga.”“


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg