Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program Fitrah sokong banduan sebelum, selepas bebas penjara

Sejak 2018, seramai 3,000 banduan telah meraih manfaat daripada program dalam penjara Fitrah
Oct 13, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Encik Mohammed Nurizham Shah Abdullah; rakan bimbingannya; dan anak Encik Nurizham, Encik Muhammad Musa Mohammed Nurizham Shah, 18 tahun semasa projek Agihan Pra-Ramadan Fitrah pada Mac 2024.
(Dari kiri) Encik Mohammed Nurizham Shah Abdullah; rakan bimbingannya; dan anak Encik Nurizham, Encik Muhammad Musa Mohammed Nurizham Shah, 18 tahun semasa projek Agihan Pra-Ramadan Fitrah pada Mac 2024. - Foto FITRAH

Setiap kali seorang bekas banduan dibebaskan, mereka memerlukan sokongan yang kukuh untuk kembali menyertai masyarakat dengan lancar.

Oleh itu, Encik Mohammed Nurizham Shah Abdullah, salah seorang daripada 243 sukarelawan aktif dalam program pendamping atau Befrienders Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), memahami sepenuhnya betapa pentingnya sokongan moral dan sosial bagi bekas banduan ini.

Salah satu contoh komitmennya adalah apabila beliau membantu rakan bimbingannya, yang telah keluar masuk penjara selama 10 tahun, untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pemandu.

Walaupun individu tersebut tidak mempunyai pengalaman kerja yang banyak, Encik Nurizham membimbingnya dalam menyiapkan keterangan ringkas mengenai maklumat dirinya.

Walaupun sibuk dengan pekerjaan sepenuh masa, Encik Nurizham terus bersemangat dalam membantu bekas banduan supaya dapat memutuskan kitaran jenayah berulang.

Apabila ditanya Berita Minggu (BM) mengapa beliau komited membantu bekas banduan ini, beliau menekankan bahawa ketika seseorang banduan memasuki penjara, ahli keluarga mereka akan paling terjejas, justeru itu beliau ingin membantu mereka untuk berubah.

“Saya mempunyai empat orang anak dan saya tahu jika salah seorang ibu atau bapa tiada, rumah akan jadi tidak terurus dan anak-anak tidak mampu membesar dengan baik.

“Maka saya ingin kembalikan bekas banduan itu kepada keluarganya sebagai individu yang mampu memberi manfaat,” ujar Encik Nurizham yang sudah menjadi pendamping sejak 2020.

Pendamping ialah sukarelawan di bawah Fitrah yang memberi sokongan emosi dan sosial kepada bekas banduan.

Menurut Encik Nurizham, beliau akan membawa anaknya untuk turut serta dalam program Fitrah seperti melakukan kegiatan pembahagian makanan untuk mengenalkan mereka dengan dunia sukarelawan.

Program Fitrah, yang ditubuhkan pada November 2018, bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh kepada banduan Islam serta keluarga mereka melalui perkhidmatan dalam penjara (in-care) dan selepas dibebaskan (after-care).

Ini adalah kerjasama antara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan masjid, serta pelbagai organisasi masyarakat.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Fitrah telah menjadi wadah yang bermakna untuk sukarelawan berinteraksi dengan banduan dan keluarga mereka.

“Bagi perkhidmatan in-care, terdapat program-program khusus yang disediakan.

“Saya boleh katakan sekitar 3,000 banduan telah meraih manfaat daripada beberapa program dan perkhidmatan khusus tersebut,” kata Dr Faishal pada taklimat media laporan lima tahun M3 di Hab Islam Singapura pada 10 Oktober.

Perkhidmatan in-care Fitrah termasuk kaunseling, kelas agama, ceramah motivasi dan solat Jumaat dengan sokongan 90 asatizah yang aktif membimbing banduan. 

Malah, kandungan khutbah juga diubah suai oleh Muis untuk mengetengahkan nilai seperti tanggungjawab, ketabahan, dan keinsafan menjadikannya lebih sesuai dengan pengalaman banduan.

Tambahan itu, Encik Shah berkongsi bahawa terdapat wadah kumpulan WhatsApp – terdiri daripada bekas banduan, Asatizah Fitrah, pendamping – untuk berkongsi mengenai kelas agama di masjid, memberi kata perangsang bagi menguatkan sokongan buat bekas banduan.

Sokongan Fitrah tidak tertumpu pada penjara sahaja, tetapi turut menjangkau selepas mereka dibebaskan melalui program after-care, menjadikan pemulihan lebih menyeluruh.

Program seperti Perkhidmatan Pengurusan kes Fitrah menyokong kedua-dua bekas banduan dan keluarga mereka, antaranya isu berkaitan anak dan perceraian.

Menurut Dr Faishal, sekitar 150 keluarga telah menerima bantuan ini, dengan lebih 90 peratus daripada mereka berjaya menyelesaikan program itu dan mendapatinya bermanfaat.

Antara lain, ‘Insan Mukmin’, program kerjasama antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan Fitrah, juga membantu banduan yang sedang menjalani pengakhiran hukuman mereka untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan masjid.

Banduan akan didampingkan dengan pendamping yang akan menyokong mereka dalam integrasi kepada masyarakat.

Dr Faishal juga mengetengahkan Rangkaian Pemulihan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) yang mana menurutnya pada 2024 “lebih banyak (organisasi) bekerjasama, supaya mereka boleh merujuk kes antara satu sama lain”.

Ini meluaskan lagi sumber Fitrah untuk memberi sokongan kepada keluarga banduan terutama anak mereka kepada organisasi yang lebih sesuai untuk menguruskan keperluan mereka seperti pendidikan.

“Saya mempunyai empat orang anak dan saya tahu jika salah seorang ibu atau bapa tiada, rumah akan jadi tidak terurus dan anak-anak tidak mampu membesar dengan baik. Maka saya ingin kembalikan bekas banduan itu kepada keluarganya sebagai individu yang mampu memberi manfaat.”
Encik Mohammed Nurizham Shah Abdullah, sukarelawan program pendamping Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg