Masjid Hasanah mahu menyokong dan membantu bekas penagih dan pesalah yang ingin membuat perubahan positif dalam diri mereka.
Masjid ini telah menubuhkan ‘Program Harapan Hasanah’ yang diketuai oleh Pegawai Agama masjid, Ustaz Muhammad Fazli Naim.
Ustaz Muhammad Fazli menerangkan: “Tujuan utama penubuhan ‘Program Harapan Hasanah’ ini khususnya ialah untuk membuka ruang bagi masyarakat memberi peluang kedua kepada bekas pesalah di samping memberikan kesedaran akan bahaya penggunaan dadah.”
‘Program Harapan Hasanah’ itu disokong oleh Reforming Support Group (RSG) dan badan lain seperti Family and Inmates Throughcare Assistance Haven, ataupun Fitrah.
Program itu juga disokong oleh kempen ‘Dadah itu Haram’ (DIH).
Sempena program tersebut, Masjid Hasanah mengadakan program khas, Pendidikan Pencegahan Dadah pada 27 Julai yang dihadiri lebih 70 peserta. Mereka terdiri daripada peserta daripada pelbagai latar belakang.
Program itu menampilkan perkongsian oleh pelatih kumpulan RSG, Encik Ramli Abdullah, dan tazkirah bersama Ketua Jabatan Pembangunan Islam dan Keluarga, Masjid Hasanah, Ustaz Mohammad Badrussalam D’jaffar.
Program Pendidikan Pencegahan Dadah itu juga dimeriahkan dengan kehadiran Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang turut melancarkan logo Harapan Hasanah 2024.
Salah seorang peserta acara tersebut ialah Cik Sakeena Banu Zahiruddin, 45 tahun.
Suri rumah yang mempunyai tiga anak remaja perempuan berkata:
“Saya menghadiri ‘Program Harapan Hasanah’ sekeluarga untuk memberi sokongan kepada masyarakat yang memerlukan.”
Menurutnya, dengan menghadiri program tersebut, beliau dapat mengetahui dan mengenal pasti perilaku anak-anak remaja yang bermasalah terlebih dahulu.
Bagi pelajar Politeknik Singapura, Cik Nurul’ Hidayah Nasir, 19 tahun, beliau pula amat terkesan setelah menghadiri Program Pendidikan Pencegahan Dadah.
Menurutnya, dengan mengetahui kesan pengambilan dadah, ia dapat “membuka minda dan memberi inspirasi” kepada beliau agar lebih aktif melakukan kerja-kerja amal.
‘Program Harapan Hasanah’ itu akan diadakan pada setiap bulan di Masjid Hasanah yang menyasarkan peserta dalam kalangan ibu bapa dan belia.
Di samping itu, Masjid Hasanah sedang mengumpul dana bagi projek naik taraf yang masih memerlukan sekurang-kurangnya $4.2 juta bagi keseluruhan projek tersebut.
Cara menyumbang kepada projek naik taraf masjid
1. PayNow ke UEN: S70MQ0042B.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 591-070164-001. Isikan di ruang ‘rujukan’ dengan ‘Wakaf’ atau ‘Infak’. Jika inginkan resit, sila isikan borang di www.linktr.ee/hasanahmosque
3. Kirimkan cek atas nama ‘LPM Hasanah’. Poskan ke alamat Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878. Tuliskan nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek yang dikirimkan.
* Untuk pertanyaan, hubungi talian 6561-7990.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg