Singapura menyeru semua pihak terlibat dalam konflik Israel-Palestin supaya mengawal tindakan mereka dan mengambil langkah meredakan keadaan bagi mengelak memburukkan lagi ketegangan, yang boleh membawa kepada persengketaan serantau lebih luas, kata Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Beliau berkata Singapura kekal sangat prihatin akan situasi kemanusiaan teruk di Gaza, serta perkembangan terkini di Timur Tengah yang menjejas usaha mencapai perjanjian gencatan senjata, yang akan membolehkan pembebasan semua tebusan serta mempermudahkan bantuan kemanusiaan segera kepada orang awam di Gaza.
Menjawab pertanyaan Berita Harian mengenai konflik itu, yang telah berlarutan selama setahun sejak ia bermula pada 7 Oktober 2023, Dr Maliki berkata:
“Semua pihak mesti mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ini termasuk mengutamakan keselamatan orang awam dan menghentikan serangan ke atas, dan pemusnahan, prasarana awam.”
“Krisis kemanusiaan ini memerlukan perhatian segera antarabangsa. Lebih banyak perlu dilakukan untuk mempertingkat penghantaran bantuan kemanusiaan,” tambah beliau.
Konflik Gaza-Israel itu masih berterusan, malah semakin tegang dan tidak menunjukkan tanda-tanda keredaan.
Bahkan, peperangan itu semakin meluas di Timur Tengah, terutamanya setelah Israel melancarkan serangan udara di Beirut, Lebanon, pada 27 September. Serangan itu membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, dan timbalan operasi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Encik Abbas Nilforoushan.
Pada 1 Oktober, Iran melancarkan sekitar 200 peluru berpandu ke arah Israel bagi membalas dendam terhadap tindakan Israel membunuh pemimpin Hezbollah.
Tentera darat Israel pada hari sama menyerbu Lebanon selepas beberapa hari serangan sengit dibuat ke atas kubu kuat Hezbollah di seluruh negara itu.
Menjelang ulang tahun pertama serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan konflik semasa, Israel mengebom sasaran di Lebanon dan Jaluran Gaza pada 6 Oktober, dengan menteri pertahanan Israel mengisytiharkan semua pilihan terbuka untuk negara itu membalas dendam terhadap musuh ketatnya, Iran, lapor Reuters.
Roket Hezbollah yang diluncurkan lewat pada 6 Oktober pula telah melepasi sistem pertahanan udara Israel dan melanda di Haifa, bandar ketiga terbesar Israel, menyebabkan kerosakan pada bangunan, kata polis.
Konflik berpanjangan itu telah meragut nyawa hampir 42,000 rakyat Palestin, manakala sekitar 2.3 juta penduduk pula perlu berpindah.
Dr Maliki berkata Singapura sedang memantau dengan teliti perkembangan di Timur Tengah, sambil menambah bahawa ada bahaya sebenar dan semakin meningkat konflik serantau itu menjadi semakin meluas, “yang akan memudaratkan semua orang”.
Singapura, kata beliau, terus menggesa pemimpin kedua-dua belah pihak supaya mencari kemahuan politik bagi meneruskan rundingan langsung, dengan sokongan masyarakat antarabangsa, demi mencapai kemajuan ke arah huraian dua negara.
“Ini satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai huraian menyeluruh, adil dan bertahan lama terhadap konflik Israel-Palestin yang berlarutan.
“Ini menjadi pendirian berprinsip dan konsisten Singapura dan tercermin dalam rekod undian PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kita, yang juga mengkritik Israel kerana kegiatan pendudukannya dan gesaan bagi Israel menarik balik semua langkah yang mengubah status Baitulmakdis,” kata beliau.
Antaranya, Singapura mengundi menyokong resolusi di Perhimpunan Agung PBB (Unga) pada 27 Oktober 2023, yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, perdamaian segera antara Israel dan Palestin, serta menuntut perlindungan bagi orang awam dan akses bantuan ke Gaza.
Pada 10 Mei, Singapura menyertai 142 negara lain mengundi menyokong resolusi di Unga yang menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam badan dunia itu dan berkata keputusan tersebut dibuat selepas “pertimbangan serius dan teliti”.
Dengan konflik itu semakin meluas ke Lebanon, Dr Maliki berkata Singapura menggesa semua pihak supaya melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB sepenuhnya.
Resolusi itu, antara lain, meminta agar pertempuran dihentikan sepenuhnya dan bagi zon bebas tentera diwujudkan di selatan Lebanon hingga Sungai Litani.
Ini juga termasuk pelucutan senjata kumpulan bersenjata, kecuali bagi angkatan bersenjata Lebanon dan Pasukan Sementara PBB di Lebanon.
“Huraian diplomatik mesti dicari dan orang awam di kedua-dua belah Jalur Biru (merujuk kepada jalur yang memisahkan Lebanon dari Israel dan Bukit Golan) harus dibenarkan kembali ke rumah mereka dengan selamat secepat mungkin dan hidup dalam aman dan selamat,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg