Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga harus terus main peranan membina dalam konflik Israel-Palestin

Maliki: Usah biar perpaduan negara terjejas
Oct 7, 2024 | 8:39 PM
(Dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berbincang dengan sekumpulan belia mengenai ancaman pengganasan dalam talian dan konflik Israel-Palestin dalam satu sesi dialog di Civil Service Club @ Tessensohn pada 1 Oktober, salah satu cara yang mana pemerintah mendekati rakyat Singapura.
(Dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berbincang dengan sekumpulan belia mengenai ancaman pengganasan dalam talian dan konflik Israel-Palestin dalam satu sesi dialog di Civil Service Club @ Tessensohn pada 1 Oktober, salah satu cara yang mana pemerintah mendekati rakyat Singapura. - Foto fail

Rakyat Singapura harus terus memainkan peranan membina dan tidak boleh membiarkan kejadian luar negara seperti konflik Israel-Palestin dan perbezaan pandangan memecahbelahkan perpaduan yang telah terbina selama ini, kata Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Dr Maliki berkata kepelbagaian pandangan mengenai konflik Israel-Palestin adalah suatu perkara yang boleh difahami, namun ia pada dasarnya bergantung kepada kedua-dua negara itu untuk berunding antara satu sama lain untuk mencapai penyelesaian dua negara.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai konflik itu setahun sejak ia bermula pada 7 Oktober 2023, beliau berkata:

“Kepelbagaian pendapat tentang konflik Israel-Palestin boleh difahami. Bagaimanapun, ia akhirnya terpulang kepada Israel dan Palestin untuk bersetuju dan dapat berunding secara langsung antara satu sama lain ke arah penyelesaian dua negara selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

“Rakyat Singapura harus terus memainkan peranan yang membina dan tidak membiarkan peristiwa luar negara seperti konflik ini dan perbezaan pandangan menimbulkan perbalahan dan mengganggu perpaduan yang telah kita bina selama ini.”

Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman. - Foto MDDI

Lebih 40,000 rakyat Palestin telah terkorban, manakala sekitar 2.3 juta penduduk pula perlu berpindah sejak konflik Israel-Palestin itu bermula pada 7 Oktober 2023, dengan peperangan itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keredaan.

Sebaliknya, keadaan kini semakin tegang, dengan konflik kian meluas di Timur Tengah terutamanya setelah Israel melancarkan serangan udara di Beirut, Lebanon pada 27 September lalu.

Serangan itu membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, dan timbalan operasi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Encik Abbas Nilforoushan, dari Iran.

Iran pula telah melancarkan sekitar 200 peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober sebagai membalas dendam perbuatan negara itu membunuh pemimpin Hezbollah.

Dr Maliki berkata rakyat Singapura telah memberi respons secara membina dan penuh belas kasihan terhadap konflik itu dengan menyokong usaha kemanusiaan bagi penduduk Gaza.

“Kita boleh dan kita harus melakukan lebih banyak lagi dalam hal ini,” kata beliau.

BANTUAN KEMANUSIAAN SEGERA

Sejak bermulanya konflik itu pada 7 Oktober 2023, Singapura telah menghulurkan empat bantuan kemanusiaan bernilai lebih $17 juta untuk Gaza hasil sumbangan rakyat Singapura menerusi pelbagai badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan.

Bantuan kemanusiaan yang terakhir melibatkan penghantaran sekitar 300 tan sardin dalam tin dan 1,000 tan beras putih pada Julai 2024, yang menurut Dr Maliki “harus tiba di Cyprus tidak lama lagi” dan Singapura sedang bekerjasama dengan Cyprus serta Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyampaikan bantuan itu dengan pantas kepada Gaza.

Badan-badan tempatan juga terus mengumpulkan derma untuk Gaza, termasuk Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) yang baru-baru ini memulakan usaha pengumpulan dana baru.

“Kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan di rantau itu untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan untuk Gaza,” kata beliau.

Sementara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengiktiraf dan memuji semangat memberi dan kebajikan rakyat Singapura semua kaum dan agama, yang telah memberi respons sepenuh hati kepada situasi Gaza melalui derma kepada pelbagai badan kemanusiaan.

Beliau menambah bahawa adalah semula jadi rakyat Singapura mahu melakukan lebih banyak lagi untuk membantu, sambil menggalak orang ramai terus menyumbang dan mencari peluang kerjasama dalam ekosistem daya usaha kemanusiaan tempatan.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto fail

Dengan konflik yang semakin meluas ke bahagian lain di Timur Tengah, Dr Faishal berkata ini sesuatu yang harus dipantau dengan konsultasi Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

“Mindef/Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) terus memantau dekat keadaan di Timur Tengah dan akan menilai bagaimana kita boleh bekerjasama dengan rakan antarabangsa dan pihak berkepentingan untuk terus menyokong bantuan kemanusiaan untuk Gaza,” kata beliau.

Dalam laporan BH pada 5 Oktober, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Singapura komited untuk terus membantu rakyat Palestin melalui pelaksanaan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) bernilai $10 juta untuk menolong Penguasa Palestin membina keupayaan dan bersedia menjadi negara kelak.

USAH BIAR PERPADUAN NEGARA TERJEJAS

Meskipun situasi di Timur Tengah itu suatu yang menyayat hati bagi ramai orang, Dr Faishal berkata rakyat Singapura perlu bersimpati dengan nasib penduduk Gaza dalam cara yang membina.

Beliau menambah bahawa orang ramai juga harus sedar tentang pengganas yang mengeksploitasi keadaan untuk mempengaruhi individu menjadi radikal.

“Adalah dalam buku strategi pengganas untuk mengeksploitasi keprihatinan kemanusiaan dalam zon konflik asing untuk meradikalisasi orang lain,” kata beliau.

Dr Faishal berkata pelbagai kejadian keganasan dan kata-kata berbaur kebencian yang tercetus oleh konflik itu telah berlaku di luar negara.

Sementara itu, di negara ini pula, beberapa perhimpunan dan perarakan haram berkaitan keadaan Gaza telah diadakan meskipun pemerintah telah berulang kali memberi nasihat agar kegiatan yang mungkin menimbulkan sentimen negatif dan menyemai perpecahan dielakkan.

“Mujur, sentimen dan kejadian sebegini tidak mendapat tarikan di Singapura. Namun begitu, kami baru-baru ini telah mengeluarkan Arahan Sekatan kepada dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang menjadi radikal disebabkan konflik Israel-Hamas.

“Kita mesti berhati-hati untuk tidak membenarkan naratif ekstremis berakar dalam masyarakat kita dan mengancam keselamatan negara dan keharmonian sosial,” kata beliau.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam. - Foto MDDI

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pula berkata pemerintah telah mendekati pelbagai kumpulan masyarakat dan juga telah menjelaskan pendirian negara serta menonjolkan pendekatan konsisten yang telah diambil Singapura di wadah antarabangsa seperti PBB.

Dengan perkembangan terkini melibatkan Iran dan Lebanon dan juga semua pendekatan yang telah diadakan, Cik Rahayu menambah bahawa orang ramai boleh menghargai kerumitan situasi dan juga memahami kesukaran mencapai penyelesaian akhir.

“Risiko kumpulan dalam masyarakat kita terperangkap dalam ‘kepompong’ maklumat dalam talian kerana algoritma adalah sesuatu yang nyata, dan oleh itu, kita harus melindungi diri daripadanya.

“Kita perlu menghargai bahawa perlu ada ruang bagi orang melahirkan pandangan, platform bagi perbincangan membina dan cara untuk menunjukkan sokongan.

“Terdapat cara bagi kita menunjukkan sokongan untuk mangsa. Kita boleh terus melihat pada pelbagai wadah untuk melakukan perkara ini sama ada menerusi dialog atau usaha pengumpulan dana berterusan,” kata beliau.

“Rakyat Singapura harus terus memainkan peranan yang membina dan tidak membiarkan peristiwa luar negara seperti konflik ini dan perbezaan pandangan menimbulkan perbalahan dan mengganggu perpaduan yang telah kita bina selama ini.”
Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

“Adalah dalam buku strategi pengganas untuk mengeksploitasi keprihatinan kemanusiaan dalam zon konflik asing untuk meradikalisasi orang lain... Kita mesti berhati-hati untuk tidak membenarkan naratif ekstremis berakar dalam masyarakat kita dan mengancam keselamatan negara dan keharmonian sosial.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim

“Risiko kumpulan dalam masyarakat kita terperangkap dalam ‘kepompong’ maklumat dalam talian kerana algoritma adalah sesuatu yang nyata, dan oleh itu, kita harus melindungi diri daripadanya. Kita perlu menghargai bahawa perlu ada ruang bagi orang melahirkan pandangan, platform bagi perbincangan membina dan cara untuk menunjukkan sokongan.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg