Bagi memperingati ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60), Persatuan Bank Singapura (ABS) – bersama bank-bank ahli dan rakan industri – serta syarikat bersekutunya, Biro Kredit Singapura (CBS), berjaya mengumpul sebanyak $2.3 juta untuk Cabaran Presiden.
Dana tersebut dikumpulkan melalui sumbangan dan jualan tiket bagi konsert amal yang diadakan di Dewan Konsert Victoria pada 3 Jun.
Konsert tersebut merupakan salah satu inisiatif industri yang melengkapi program tanggungjawab masyarakat korporat (CSR) bank-bank individu itu.
Ia dianjurkan bersama Wolfgang Violin Studio Singapore, lapor The Straits Times (ST).
Cabaran Presiden bertujuan mengumpul dana bagi membantu pelbagai agensi perkhidmatan masyarakat menjalankan program mereka.
Konsert dinamakan SG60 Celebrate! Honour the Past, Inspire the Future (SG60 Raikan! Hargai Masa Lalu, Ilhami Masa Depan) menampilkan ensembel 60 pemuzik muda, berusia antara tiga hingga 15 tahun, yang memainkan alat muzik seperti biola, viola dan selo.
Antara bakat muda daripada Wolfgang Violin Studio Singapore ialah Mark Chia, pelajar Darjah 6 daripada Sekolah Rendah Temasek, dan Isabel Heng, pelajar Menengah 3 daripada Sekolah Perempuan Methodist.
Ensembel itu dibimbing oleh pemain biola berkemahiran tinggi dari Singapura sendiri, Cik Min Lee. Pada 1995, ketika baru berusia 12 tahun, Cik Lee pernah tampil sebagai pemain solo dalam Konsert Amal Presiden pertama anjuran Orkestra Simfoni Singapura (SSO).
Presiden Tharman Shanmugaratnam merupakan tetamu kehormat bagi konsert pada 3 Jun itu, yang menarik kehadiran seramai 660 orang.
Program konsert itu disusun oleh artis-komposer antarabangsa terkenal, Encik Aleksey Igudesman.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi ABS, Cik Helen Wong, berkata: “Pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan amat berkait rapat dengan kejayaan Singapura, dan ABS berbangga kerana bank-bank telah bersatu sebagai satu industri untuk menganjurkan konsert amal ini bagi meraikan SG60 dan mengumpul dana untuk Cabaran Presiden, seperti yang telah kami lakukan pada 2013 dan 2003.”
“Selama bertahun-tahun, ABS telah menggerakkan sektor perbankan dalam pelbagai program amal industri yang melengkapi usaha CSR bank-bank individu.”
Pengarah Eksekutif CBS, Encik William Lim, menambah: “Konsert ini adalah satu penghormatan kepada perjalanan Singapura yang penuh ketabahan, perpaduan dan kemajuan. Kami berbesar hati dapat menyumbang kepada masa depan Singapura melalui pengukuhan industri kewangan dan sumbangan kepada masyarakat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg