Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman lancar Cabaran Presiden termasuk program iktiraf lulusan ITE berjaya

May 28, 2025 | 9:02 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri), serta isteri, Puan Jane Ittogi (berbaju biru),  menyaksikan persembahan Muhammad Danzril Mohammad Noh, 10 tahun, semasa acara pelancaran Cabaran Presiden 2025 di di Pusat Bola Jaring Kallang ActiveSG pada 28 Mei.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri), serta isteri, Puan Jane Ittogi (berbaju biru), menyaksikan persembahan Muhammad Danzril Mohammad Noh, 10 tahun, semasa acara pelancaran Cabaran Presiden 2025 di di Pusat Bola Jaring Kallang ActiveSG pada 28 Mei. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Satu program persahabatan (fellowship) baru bagi mengiktiraf lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang cemerlang dalam kerjaya mereka telah dilancarkan pada 28 Mei, sebagai sebahagian daripada tiga laluan utama dalam Cabaran Presiden (PC) 2025.

Dikenali sebagai ITE Inspire Fellowship, program ini menghargai individu yang telah membuktikan keupayaan mereka selepas menamatkan pendidikan teknikal.

Ia juga bertujuan melahirkan lebih ramai contoh teladan dan mentor yang dapat memberi inspirasi kepada golongan muda dan masyarakat secara keseluruhan.

Presiden Tharman Shanmugaratnam mengumumkan pelancaran program persahabatan tersebut semasa lawatannya ke Pusat Bola Jaring Kallang ActiveSG pada 28 Mei.

Ketika ditemui pihak media selepas acara pelancaran tersebut, Tuan Presiden berkata:

“Penghormatan ini, meskipun tidak kelihatan, adalah asas yang mendorong kita untuk saling menyokong, memahami perbezaan pengalaman hidup, serta memberi galakan agar semua orang dapat mengatasi cabaran masing-masing.”

Beliau turut menekankan bahawa lebih ramai individu daripada pelbagai lapisan masyarakat wajar diberi peluang untuk menjadi pemangkin perubahan dan contoh teladan yang mampu menjadi inspirasi individu lain.

Dua lagi program persahabatan yang dilancarkan pada 2025 adalah Civil Action dan Springboard.

Program Civic Action akan disasarkan kepada para profesional dalam sektor sosial dan membantu mereka mendalami kepakaran serta membangunkan pendekatan baru bagi sektor itu menerusi sabatikal sepenuh masa atau sambilan selama satu hingga dua tahun.

Program Springboard akan membantu mereka bangkit daripada cabaran yang dilalui dan menawarkan mereka pendidikan, kemahiran dan latihan keusahawanan untuk kembali ke laluan kerjaya baru.

Ketiga-tiga program ini akan memanfaatkan rakan seperti Yayasan Quantedge, Institut Pengurusan Singapura (SIM) dan Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBFF) bagi sumber dan rangkaian mereka.

Cabaran Presiden diperkenalkan pada 2000 oleh mantan Presiden S R Nathan bagi mengumpul dana bagi menyokong pelbagai tujuan sosial.

Ia juga telah menyediakan dana bagi banyak agensi perkhidmatan sosial untuk menguruskan program mereka.

Permohonan bagi program persahabatan Civic Action dan ITE Inspire akan dibuka dari 3 Jun hingga 18 Julai menerusi laman rasmi Cabaran Presiden di (https://www.presidentschallenge.gov.sg).

Bagi program persahabatan Springboard, pencalonan akan dilakukan melalui agensi dalam sektor sosial dan sivik.

Selain itu, Cabaran Presiden 2025 juga akan menyokong 60 program daripada 52 pertubuhan, termasuk enam inisiatif yang akan menerima dana tambahan berjumlah antara $715,000 dengan $1.25 juta bagi tempoh lima tahun.

Ini bagi membolehkan program-program tersebut memperluas impak sosial mereka.

Antara mereka yang bakal meraih manfaat daripada sumbangan ini ialah Muhammad Danzril Mohammad Noh, 10 tahun.

Dia disahkan menghidap disleksia ketika berusia empat tahun dan sering menghadapi kesukaran dalam membaca.

Namun, Danzril mula menunjukkan minat terhadap muzik sebagai cara meluahkan perasaan, khususnya melalui permainan alat muzik yang membantunya berkomunikasi dan meningkatkan keyakinan diri.

Oleh itu, ibu Danzril, Cik Faridah Talib, mendaftarkannya dalam satu program yang menggunakan muzik sebagai saluran pembelajaran untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti disleksia dan autisme ringan.

Cik Faridah 45 tahun, berkongsi bahawa minat Danzril tercetus apabila menonton persembahan tarian singa sekitar dua tahun lalu.

“Sejak hari itu, dia tak berhenti bercakap tentang gendang. Kami perasan bila dia main alat muzik, dia nampak lebih fokus dan ceria,” ujar Cik Faridah.

Dengan dana tambahan daripada Cabaran Presiden 2025, program tersebut, kendalian sebuah syarikat seni bukan meraih keuntungan, dijangka dapat diperluaskan untuk mencapai lebih ramai kanak-kanak seperti Danzril dalam tahun-tahun mendatang.

Cabaran Presiden 2025 turut memperluaskan skopnya untuk merangkumi sokongan dalam bidang seni dan sukan.

Di bawah sokongan ini, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Sport Singapore (SportSG) akan menjadi rakan kerjasama Cabaran Presiden bagi membantu usaha pencarian bakat, khususnya dalam kalangan individu daripada latar belakang yang kurang berkemampuan.

Sokongan juga akan diberikan kepada biasiswa NAC dan SportSG bagi memperkasa lebih ramai individu dalam mengembangkan aspirasi mereka dalam bidang seni dan sukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg