Tujuh eksekutif syarikat kontena perkapalan, termasuk veteran perkapalan Singapura, Encik Teo Siong Seng, telah dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) kerana bersubahat untuk menetapkan harga kontena kering dari November 2019 hingga sekurang-kurangnya Januari 2024.

Akibatnya, harga kontena perkapalan standard dilaporkan meningkat sekitar dua kali ganda antara 2019 dengan 2021, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika pada 19 Mei.

Melalui pakatan sulit ini, empat pengeluar terbesar dunia - China International Marine Containers (CIMC), CXIC Group Containers, Shanghai Universal Logistics Equipment, dan Singamas Container Holdings - menyaksikan keuntungan mereka melambung hampir seratus kali ganda semasa pandemik Covid-19 dan krisis rantaian bekalan global yang menyusul, ujar jabatan itu.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan pada 22 Januari dan didedahkan kepada awam pada 19 Mei, eksekutif daripada empat syarikat – CIMC, CXIC Group Containers, Shanghai Universal Logistics Equipment, dan sebuah lagi syarikat yang tidak dinamakan – didakwa telah mengadakan pertemuan di ibu pejabat CIMC di Shenzhen, China, pada atau sekitar 14 November 2019.

Dalam pertemuan itu, mereka didakwa bersetuju menyekat pengeluaran kontena perkapalan dengan pelbagai taktik.

Ini termasuk mengehadkan bilangan syif dan waktu operasi harian bagi setiap barisan, serta menggunakan pengawasan video bagi memastikan firma mematuhi kuota yang dipersetujui.

Mereka juga dikatakan telah menetapkan penalti kewangan terhadap mana-mana firma yang didapati membuat pengeluaran melebihi bahagian yang diperuntukkan.

Wakil firma berkenaan didakwa berkata Singamas dan sebuah lagi syarikat yang tidak dinamakan akan menyertai perjanjian itu kemudian.

Kira-kira seminggu selepas itu, seorang eksekutif Singamas telah memaklumkan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat, Encik Teo, tentang pertemuan ‘enam kilang’ pada 3 Disember 2019 di Shanghai bagi membincangkan “keupayaan pengeluaran dan perkembangan baik industri kontena”.

“Enam kilang” yang terlibat merujuk kepada kemudahan milik empat firma yang telah bertemu sebelumnya, ditambah Singamas, anak syarikat Pacific International Lines (PIL) — dan satu lagi syarikat yang dirahsiakan.

Encik Teo, pengerusi eksekutif PIL dan tokoh utama SBF serta Sert, didakwa telah dimaklumkan mengenai rancangan sekatan pengeluaran kontena tersebut.

Perjanjian pakatan sulit itu telah dimuktamadkan pada Februari 2020 dan ditandatangani oleh keenam-enam firma pada Mac 2020.

Menjelang September 2020, pihak yang bersekongkol itu dikatakan bersetuju untuk mengehadkan bekalan kontena perkapalan untuk pelanggan di Amerika, Eropah, China, dan pasaran antarabangsa lain.

Sekitar Julai 2022, Encik Teo didakwa telah menyuarakan dalam mesyuarat dalaman bahawa firma lebih cenderung kepada pelaksanaan kuota bulanan, sebagai ganti kepada sekatan waktu kerja harian.

Dokumen mahkamah membuktikan peralihan strategi ini dilaksanakan antara September 2022 dan November 2023.

Perikatan itu memberikan impak drastik kepada harga: kontena 20 kaki meningkat lebih dua kali ganda, melonjak daripada kira-kira AS$1,600 kepada lebih AS$3,500 dari 2019 hingga 2021, dengan kontena lebih besar mencatatkan kenaikan yang setara.