Konsultan pendidikan S’pura di Riyadh gagal pulang, harap dapat sambut Lebaran dengan keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsultan pendidikan S’pura di Riyadh gagal pulang, harap dapat sambut Lebaran dengan keluarga

Mar 6, 2026 | 1:22 PM

Konsultan pendidikan S’pura di Riyadh gagal pulang, harap dapat sambut Lebaran dengan keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Norazlan Ibrahim (kiri) seorang konsultan pendidikan yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi, bersyukur mempunyai kenalan dalam kalangan satu masyarakat kecil yang terdiri daripada warga Singapura dan Malaysia untuk menemani dirinya yang berjauhan daripada keluarga.
Encik Norazlan Ibrahim (kiri) seorang konsultan pendidikan yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi, bersyukur mempunyai kenalan dalam kalangan satu masyarakat kecil yang terdiri daripada warga Singapura dan Malaysia untuk menemani dirinya yang berjauhan daripada keluarga. - Foto ihsan NORAZLAN IBRAHIM

Walaupun serangan yang berterusan di Timur Tengah menggagalkan rancangan konsultan pendidikan, Encik Norazlan Ibrahim, untuk pulang awal ke Singapura bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, beliau tetap menemukan ketenangan dalam masyarakat yang menjadi tempatnya bersandar.

Berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi, selama dua tahun sejak 2024, Encik Norazlan, 56 tahun, asalnya merancang untuk pulang ke Singapura pada petang 1 Mac menaiki penerbangan Gulf Air yang akan membuat perhentian di Bahrain.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) pada 4 Mac dari An Nuzha, sebuah bandar yang terletak kira-kira 16 kilometer daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Riyadh, Encik Norazlan menceritakan detik ketika beliau terdengar satu “bunyi luar biasa”.

“Saya terdengar bunyi luar biasa pada 28 Februari yang bukan seperti bunyi kapal terbang biasa, dan saya tidak dapat mengesahkan sumber bunyi itu.

“Tetapi saya tidak rasa begitu cemas kerana saya tahu Riyadh ini selamat.

“Pemerintah Arab Saudi juga kerap menghantar kemas kini kepada rakyatnya yang membuat saya rasa lega jadi saya tidak bertanggapan buruk,” kata Encik Norazlan.

Pada 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel telah melancarkan serangan terhadap Iran sekali gus meletakkan kedudukan Timur Tengah ke arah konfrontasi ketenteraan baru dan menipiskan peluang penyelesaian diplomatik kepada isu nuklear Iran yang berlarutan dengan Barat.

Laporan agensi berita juga menyatakan serangan dron menyasarkan dan mengenai Kedutaan Amerika di Riyadh pada awal 3 Mac.

Serangan dron itu telah mencetuskan kebakaran dan menyebabkan kerosakan kecil dan imej dari tempat kejadian menunjukkan impak terhad di kompleks di ibu kota Saudi.

Dalam pada itu, Encik Norazlan berkata pada awalnya beliau tetap berhasrat meneruskan penerbangan pulangnya pada 1 Mac, sehari selepas mulanya serangan di Timur Tengah.

Ini kerana status penerbangan tidak menunjukkan sebarang perubahan selain dijadualkan.

Namun rancangannya tergendala apabila menerima pengesahan daripada syarikat penerbangan bahawa penerbangan berkenaan tidak lagi beroperasi pada petang 1 Mac.

Perasaan sedih menyelubungi diri Encik Norazlan kerana keadaan belum pasti bertemu isteri tercinta dan anggota keluarga lain yang berada Singapura.

Tetapi, beliau berpegang teguh terdapat hikmah di sebalik situasi tersebut.

Masyarakat sebesar sekitar 30 hingga 40 orang yang terdiri daripada warga Singapura dan Malaysia yang berpangkalan di Riyadh dan Dammam menjadi tonggak kekuatan bagi Encik Norazlan yang hidup keseorangan di sana.

Menyifatkan mereka sebagai keluarga kedua yang menjadi pengubat rindu tanah air, Encik Norazlan berkongsi bahawa mereka kerap berhubung antara satu sama lain, selain keluar untuk menjamu selera atau beriadah bersama.

“Masyarakat Malaysia pernah menganjurkan bazar Ramadan kecil di Istirahas, Riyadh, pada 2025 dan mereka menjual segala macam hidangan seperti nasi lemak, kuih-muih tradisional, mi rebus dan sate. Dapat juga saya mengubat sedikit rindu.

“Saya dan masyarakat Singapura juga mempunyai kumpulan WhatsApp yang sangat ‘happening’ dan kami akan banjiri kumpulan itu dengan kata-kata semangat selain kerap bertanya khabar,” ujar Encik Norazlan.

Sehingga 4 Mac, beliau masih menaruh harapan untuk pulang ke Singapura untuk merasakan suasana riang dan penuh emosi sempena Aidilfitri bersama keluarga.

Namun andai takdir tidak mengizinkan, beliau reda dan akan membuat persiapan yang mana mencukupi untuk menyambut Aidilfitri meski jauh di rantauan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg