Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontinjen Sukan SEA S’pura pantau situasi banjir di Songkhla

Nov 26, 2025 | 1:41 PM
Anggota pasukan penyelamat mengagih bekalan kepada penduduk yang terperangkap di kawasan banjir di daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, pada 24 November.
Anggota pasukan penyelamat mengagih bekalan kepada penduduk yang terperangkap di kawasan banjir di daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, pada 24 November. - Foto REUTERS

Pegawai dan atlet Singapura sedang memantau rapat keadaan di Songkhla, Thailand, yang dilanda banjir besar. Wilayah tersebut akan menjadi tuan rumah bagi sembilan acara sukan pada Sukan SEA akan datang.

Disebabkan skala krisis itu, kerajaan Thailand telah mengisytiharkan darurat di wilayah berkenaan pada 25 November, sehari selepas gabenor Songkhla mengisytiharkannya sebagai zon bencana, lapor The Straits Times (ST).

Ini berlaku menyusuli hujan selama tiga hari yang memecah rekod 630 milimeter dan telah mencetuskan banjir teruk serta meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa.

Jabatan meteorologi Thailand meramalkan lebih banyak hujan serta kemungkinan banjir kilat dalam beberapa hari mendatang.

Pada 25 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menasihatkan rakyat Singapura supaya mengelakkan perjalanan ke wilayah itu selagi banjir berterusan.

Seorang jurucakap Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) berkata pada 25 November bahawa ia sentiasa berhubung dengan penganjur Sukan SEA mengenai sebarang perkembangan atau kemungkinan perubahan pada jadual atau lokasi.

“Kami sedang memantau situasi di Thailand dengan teliti. Kami berkongsi keprihatinan dengan penduduk Hat Yai dan seluruh wilayah Songkhla, dan kami berharap keadaan pulih dengan segera bagi semua yang terjejas,” tambah jurucakap itu.

Sembilan sukan – catur, judo, karate, kabaddi, muay thai, pencak silat, wushu, gusti dan bola sepak – dijadualkan berlangsung di Songkhla, salah satu daripada tiga kawasan utama, selain Chonburi dan Bangkok, dalam Sukan SEA pada 9 hingga 20 Disember.

Hat Yai, yang akan menjadi lokasi acara karate dan gusti, menyaksikan hujan 335 milimeter pada 21 November, jumlah hujan harian tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 300 tahun.

Sukan yang diadakan setiap dua tahun itu akan menampilkan kontinjen terbesar Singapura setakat ini, dengan lebih 930 atlet merentasi 48 sukan.

Beberapa persatuan sukan Singapura seperti kabaddi, gusti, catur dan wushu berkata mereka akan terus bersiap seperti biasa sambil mengikuti nasihat SNOC dan badan induk masing-masing.

Bagi jaguh catur Singapura, Tin Jingyao, fokus pasukan kini kekal pada latihan dan persediaan untuk Sukan SEA.

“Sebagai atlet, tidak banyak yang boleh kami lakukan pada peringkat individu dalam situasi seperti banjir. Kami kini memberi tumpuan kepada persiapan dan latihan, sambil memantau keadaan.

“Jika keadaan bertambah buruk, saya yakin mereka akan membuat pengaturan yang diperlukan dan kami akan menyesuaikan diri dengan sewajarnya,” kata Tin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg