Topik diikuti
Pergi ke BHkuKoroner: Kematian remaja yang dihempap struktur bola keranjang disifat sebagai peristiwa malang
Koroner: Kematian remaja yang dihempap struktur bola keranjang disifat sebagai peristiwa malang
Koroner: Kematian remaja yang dihempap struktur bola keranjang disifat sebagai peristiwa malang
Kematian seorang remaja, Allahyarham Mohd Ridwan pada 2021, selepas sebuah struktur gelanggang bola keranjang di Bedok menimpanya, telah diputuskan sebagai satu peristiwa malang pada 18 September.
Koroner Negara, Adam Nakhoda, berkata beliau tidak mendapati cara Allahyarham Ridwan bermain bola keranjang menyumbang sedikit pun kepada kemalangan itu.
“Beliau telah melakukan gerakan ‘dunk’ dan memegang struktur gelanggang bola keranjang itu untuk seketika. Namun, tindakan ‘dunk’ dan berpaut pada gelung bola keranjang merupakan sebahagian daripada permainan itu sendiri,” kata koroner itu.
Allahyarham Ridwan, yang berusia 17 tahun ketika itu, sedang bermain bola keranjang bersama rakan-rakannya di sebuah gelanggang awam berhampiran Blok 18 Bedok South Road pada 26 Julai 2021, ketika struktur itu runtuh menimpanya.
Beliau dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Besar Changi (CGH), namun meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Koroner Adam berkata struktur itu sepatutnya mampu menanggung berat badan Allahyarham Ridwan dengan mudah, tetapi satu kecacatan tersembunyi dalam pembinaan struktur itu telah menyebabkan kemalangan tersebut.
“Ini benar-benar satu kes yang menyayat hati — seorang pemuda yang seluruh hidupnya masih terbentang di hadapan, tiba-tiba terkorban pada usia mudanya,” kata koroner itu.
Beliau menambah bahawa Allahyarham Ridwan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang jelas, dan tidak terjejas oleh sebarang penyakit kronik yang serius.
Memberikan kesimpulan ringkas penemuannya pada 18 September, koroner itu berkata satu laporan daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan bahawa kedua-dua tiang struktur gelanggang bola keranjang itu telah patah pada bahagian di mana ia dikimpal kepada bahagian struktur yang lain.
Beliau berkata laporan itu mencadangkan bahawa kerja kimpalan tersebut tidak dilakukan dengan baik, dengan ketebalan yang tidak seragam serta jurang yang kelihatan antara bahagian kimpalan dengan permukaan tiang berongga itu.
Kimpalan yang serupa tidak kelihatan pada struktur gelanggang bola keranjang lain di gelanggang tersebut, menyebabkan beliau berpendapat bahawa struktur asal itu berkemungkinan besar pernah rosak, dan telah dibaiki serta dikimpal semula.
Koroner Adam menambah bahawa penemuan lengkapnya akan disediakan pada tarikh kemudian.
