Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Sokongan keluarga bakal diperkukuh di bawah semakan menyeluruh
Bertujuan bantu tangani kos besarkan anak, luas akses khidmat jaga anak; butiran didedah semasa Rapat Hari Kebangsaan kelak
Keluarga di Singapura bakal menerima sokongan lebih tinggi dalam menempuh cabaran akan datang menerusi semakan menyeluruh yang bakal dilaksanakan pemerintah.
Mengumumkan demikian, Perdana Menteri Lawrence Wong, berkata kehidupan berkeluarga di seluruh dunia menghadapi tekanan yang kian meningkat dengan jangkaan yang semakin tinggi terhadap ibu bapa.
Selain perlu memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, ramai dalam kalangan golongan ini juga perlu menjaga ibu bapa yang semakin berusia.
Justeru, semakan terhadap rangka kerja sokongan itu – yang bakal dibentangkan lanjut semasa Rapat Hari Kebangsaan – bertujuan membantu keluarga tangani tekanan kewangan dan menyasarkan kos membesarkan anak, meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak yang bermutu serta langkah lain untuk meringankan beban keluarga.
Semakan diterajui Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan yang diumumkan pada April lalu, sedang Singapura berdepan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang mencatat rekod terendah dalam sejarah.
“Ramai keluarga berasa terhimpit sedang mereka cuba mengimbangi pelbagai tuntutan yang bersaing.
“Itulah sebabnya kami sedang membuat satu semakan besar terhadap cara kami menyokong keluarga – bukan sahaja apabila pasangan berkahwin dan menimang cahaya mata. Bahkan, sepanjang kehidupan mereka,” ujar Encik Wong.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan yang dirakamkan di Stadium Negara.
Ini merupakan amanat Encik Wong yang ketiga sejak memegang tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada 2024.
Pada 2025, Encik Wong menggesa rakyat Singapura agar terus teguh mengatasi cabaran-cabaran baharu seumpama yang telah dibuktikan sepanjang 60 tahun sejarah negara meskipun berdepan dengan masa yang sukar.
Semakan ini dilaksanakan ketika Singapura berdepan dengan landskap global yang semakin bergejolak.
Menurutnya, kesan ketegangan geopolitik yang berterusan serta konflik antarabangsa dapat dirasakan secara langsung menerusi harga tenaga yang lebih tinggi dan kos sara hidup yang meningkat bagi isi rumah dan perniagaan di sini.
Beliau menekankan meskipun Singapura tidak mampu mengawal apa yang berlaku di luar negara, pemerintah akan sentiasa bertindak dan “berdiri di samping warganya” dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan.
PM Wong turut memberi jaminan bahawa ekonomi Singapura kekal berdaya tahan serta stabil dengan peluang pekerjaan baharu terus diwujudkan, khususnya dalam sektor semikonduktor yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI).
“Tapi tanggungjawab kami bukan sahaja untuk menghadapi cabaran hari ini, kami juga perlu menyediakan Singapura untuk masa depan,” tambahnya.
Encik Wong menegaskan bahawa Singapura akan memanfaat teknologi mengikut ‘acuan’ tersendiri agar ia kekal menjadi alat yang memperkukuh masyarakat dan memelihara keharmonian sosial.
Ini termasuk melabur dalam kemahiran pekerja untuk mengatasi kebimbangan terhadap peralihan pekerjaan akibat AI, serta mengetatkan perlindungan digital bagi melindungi kesihatan mental kanak-kanak daripada kesan buruk penggunaan media sosial secara berlebihan.
Dalam pada itu, PM Wong menekankan tanggungjawab setiap generasi untuk membina masa depan yang lebih gemilang.
Sebagai sebuah negara kecil, mengekalkan keterbukaan dan rangkaian hubungan global bukan sekadar satu pilihan, malah merupakan satu keperluan untuk kelangsungan hidup negara, ujar Encik Wong.
“Setiap generasi perlu memainkan peranan dalam membina masa hadapan yang lebih baik untuk generasi yang seterusnya. Kita mewarisi Singapura yang dibina hasil pengorbanan, kerja keras dan wawasan generasi sebelumnya.
“Kini, tiba masanya untuk kita sambung legasi tersebut dan wariskan Singapura yang lebih kukuh,” kata beliau.
